wrapper

Berita Terkini

الإثنين 8 رمضان 1442   |   Monday 19 April 2021
Saturday, 27 February 2021 11:17

Jika rahsia, biarlah rahsia

Written by Rif'ah
Rate this item
(0 votes)

Rahsia antara dua jiwa; antara Sang Pencipta dengan hamba, antara hamba dengan hamba, mungkinkah ia akan terungkap jua? Terkadang kita suka persoalkan, apakah rahsianya? Mengapa harus ia dirahsiakan? Bila masa ia akan dibuka?

Waima berita kedatangan hari kiamat juga satu rahsia, malah ia dibuktikan dengan terdapat 10 perkataan hari kiamat yang mempunyai makna tersendiri dalam al-Quran (3). Tidak dinafikan naluri manusia itu harus disantuni, tetapi juga ia harus didik mengikuti ajaran Quran dan sunnah dalam mengetahui ilmu rahsia ini.

 

Pada era milenium ini, maklumat semuanya di hujung jari. Ada yang mahu kongsi dengan tujuan mendidik, mengingatkan atau sekadar suka-suka. Dengan fenomena ‘viral’ di alam maya, masing-masing mahu bersaing siapa juara mengulas isu.

 

Maka bagi diri kita, harus berhenti sejenak dan menilik. Apa tindakan terbaik yang Allah reda, hati senang dan tenang dalam menjalani hari-hari yang kian tergugat dek penangan limpahan maklumat dan informasi? 

 

Mari berhenti sejenak, kita menelusuri sirah nabawiyah ini. 

 

Pada tengah malam yang gelap dan menakutkan dalam Perang Khandaq, Huzaifah bin al-Yaman radiallahuanhu (RA) diutus sebagai pengintip dengan risiko yang tinggi. Beliau menyelinap di khemah musuh, menembusi kepungan dikala angin kencang telah memadamkan api yang menerangi Kawasan musuh.

 

Beliau berada di tengah musuh dengan amanah daripada Rasulullah agar tidak bertindak apa-apa. Sebaliknya, beliau hanya diarah mengintip strategi musuh. Walaupun beliau berkesempatan berhadapan dengan ketua musuh, Abu Sufyan, tetapi beliau tenang dan teguh dengan pesanan Rasullullah (2).  

 

Malah, beliau terkenal sebagai penyimpan rahsia Rasullullah SAW. Di kala Saidina Umar al-Khattab RA ingin mengorek rahsia, lihatlah jawapan beliau yang bijaksana. 

 

Umar RA: “Wahai Huzaifah , adakah aku termasuk dalam daftar orang-orang munafik yang disebutkan oleh Rasulullah?”

 

Hudzaifah RA menjawab, “Tidak, dan aku tidak akan menyebutkan kesucian orang lain setelahmu ini.” 

 

Beliau seorang yang beriman, berilmu, teguh pendirian, bijak dalam strategi perang. Namun, beliau juga lembut dan bijaksana di tempat ibadahnya.

 

Beliau berbicara tentang hati. Hati itu ada empat jenis: 

a. Hati yang tertutup (orang kafir).

b. Hati yang memiliki dua muka (orang munafik).

c. Hati yang suci bersih (orang beriman).

d. Hati yang berisi keimanan dan kemunafikan.

 

Keimanan itu laksana sebatang kayu yang dihidupkan oleh air yang bersih, sedang kemunafikan itu bagai bisul yang disertai darah dan nanah, maka mana yang lebih kuat, itulah yang menang. 

 

Disebabkan beliau menyimpan rahsia-rahsia Nabi SAW, beliau juga pernah menyebut, “Demi Allah, sesungguhnya aku adalah manusia yang paling banyak mengetahui dengan setiap fitnah yang akan berlaku antaraku dan hari kiamat”. 

 

Selain itu, mari kita lihat kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang membocorkan rahsia. Ketika Rasullullah SAW dan kaum Muslimin bersiap siaga menjelang Fathu Makkah, beliau menulis surat untuk memberitahu hal itu dengan menulis kepada kaum kafir Quraisy :

 

“Sesungguhnya Muhammad ingin memerangi kamu, maka berhati-hatilah kamu”. Lalu wahyu turun kepada Rasullullah SAW dan soal siasat dijalankan. Begitulah peristiwa yang berlaku, walaupun beliau adalah generasi Muslim pertama, akan tetapi jiwa manusia mengalami saat lemah dan keliru dalam langkahnya. 

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.”

 

“(Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia daripada jalan yang betul.” (Surah al-Mumtahanah: 1).

 

Dalam menjaga rahsia itu terkandung komponen percaya (tsiqah). Tsiqah terbahagi kepada tujuh bahagian; tsiqah pada Allah, pertolongan Allah, pahala Allah, syariat Islam, pemimpin, tentera dan diri sendiri (1). 

 

Al-Quran mengajarkan agar berhati-hati dan waspada agar rahsia terpelihara. 

 

“Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.” (Surah an-Nisaa’: 71) 

 

Sikap berhati-hati dan waspada ini bukanlah bererti takut dan berdiam diri, tetapi tetap bergerak, bersiap sedia dan waspada. Rasulullah SAW bersabda: “Gunakanlah cara yang tertutup (rahsia) dalam menyelesaikan urusan-urusanmu”. 

 

Pada tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah SAW dan sejumlah kaum Muslimin mendapat kejayaan walaupun bilangan mereka sedikit kerana mempraktikkan strategi rahsia ini iaitu bersembunyi pada waktu siang dan bergerak menuju ke Daumatul Jandal pada malam hari. 

 

Manfaat menjaga rahsia (4) :

a. Menggagalkan rencana musuh untuk memburu para aktivis dan membunuhnya.

b. Mewujudkan keselamatan buat para aktivitis dakwah daripada rancangan musuh dan menjaga daripada fitnah orang-orang zalim.

c. Menguatkan ketsiqahan (kepercayaan) antara para aktivis dakwah, tidak mudah berpecah-belah, dan akan semakin kukuh.

d. Mencipta suasana yang kondusif untuk proses tarbiah dan takwin (pembentukan) dengan menfokuskan kerja pada bidang itu daripada menghabiskan masa dan mensia-siakan waktu untuk pertikaian pada masalah yang tidak prinsip.

e. Menumbuhkan ketakutan pada diri musuh, kerana mereka tidak mengetahui kekuatan dakwah yang sebenar, sehingga mereka harus berfikir beribu kali. 

 

Pilihan di tangan kita, menjaga rahsia itu lebih baik. 

 

Rif'ah

 

Rujukan:

1. Majdi al-Hilali. (2007). Rakaiz Dakwah: Konsep Dasar Gerakan Dakwah. Indonesia: Media Insan Press. 

2. Khalid Muhammad Khalid. (2007). 60 Sirah Sahabat Rasulullah. Jakarta: Al-I’tishom Cahaya Umat. 

3. Nathir, K. A. M., Othman, M. S., Sulong, W. M. W., & Mustapha, N. F. (2019). Variasi Perkataan Hari Kiamat Dalam Al-Qur’an: Satu Tinjauan Umum. International Journal of Humanities, Philosophy, Language, 2 (5), 25-40. 

4. Muhammad Abduh. (2005). Memperbaharui Komitmen Dakwah. Jakara: Robbani Press. 

Read 139 times Last modified on Saturday, 27 February 2021 11:42

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!