wrapper

Berita Terkini

الخميس 7 صفر 1442   |   Thursday 24 September 2020
Wednesday, 25 March 2020 12:49

COVID-19: Empat peringatan untuk pendakwah

Written by UsTACZ
Rate this item
(0 votes)


Sungguh apa yang sedang ditimpa oleh semua manusia adalah penyakit dan wabak yang dahsyat seperti api sedang memakan rumput kering dengan rakusnya. Manusia ditimpa ketakutan yang amat sangat, bukan sahaja rakyat bahkan pemimpin dan orang-orang kaya.

Hal ini berlaku tidak lain melainkan disebabkan perbuatan buruk sebahagian manusia untuk Allah merasakan azab-Nya kepada sebahagian yang lain. Manusia melakukan kerosakan, merubah dan meminda pelbagai perkara dosa tanpa rasa bersalah.

 

Justeru para duat (pendakwah-pendakwah) berkewajipan memainkan peranan mereka. Mereka perlu menasihati pemimpin masyarakat, mengislahkan kerosakan yang sedang berlaku. Berikut adalah empat perkara penting sebagai peringatan bersama.

 

Pertama: Bertaubat kepada Allah Taala, meminta manusia semua bertaubat kerana semua musibah dan bala yang berlaku disebabkan dosa-dosa.

 

Allah berfirman:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

 

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” (Surah As-Syura: 30).

 

Firman-Nya lagi:

ظهر الفساد في البر والبحر بما كسبت أيدي الناس ليذيقهم بعض الذي عملوا لعلهم يرجعون

 

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat.)” (Surah Ar-Rum: 41).

 

Nabi SAW bersabda:

لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلَّا فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ

 

“Tidak lahir satu perbuatan dosa yang dilakukan oleh suatu kaum sehingga ia terpapar terang di khalayak ramai melainkan Allah pasti sebarkan kepada mereka taun dan penyakit yang belum pernah berlaku ke atas mereka sebelum mereka.” (HR Ibn Majah dan Hakim).

 

Justeru mengangkat bala ialah dengan mengiklankan taubat dan kembali taat kepada Allah dan menggantikan perkara keji dengan perkara baik. Ini kewajipan kita para duat mengingatkan manusia.

 

Kedua: Selepas bertaubat, hendaklah kita merendah diri dan patuh kepada perintah-Nya sambil berdoa memohon Allah mengangkat bala ini. Kita memohon manusia semua melakukan demikian kerana Allah Taala ketika menurunkan azab-Nya kepada si zalim, Dia mahu agar si zalim kembali insaf, merendah diri dan kembali kepada-Nya.

 

Allah berfirman:

فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

 

“Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am: 43)

 

Ayat itu berkaitan mereka yang kufur kepada Allah. Bagaimana pula bersama orang-orang beriman? Tentu sahaja Allah menerima permintaan mereka bila mereka kembali merendah diri kepada-Nya.

 

Ketiga: Antara faktor turunnya bala ialah kealpaan, kurang mengingati Allah, mengabaikan istighfar, bacaan al-Quran serta tadabbur maknanya, sibuk dengan dunia dan abaikan akhirat.

Allah berfirman:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

 

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (Surah Al-An’am: 44)

 

Maka sayugialah diingatkan manusia semua dengan kealpaan ini dan segera bertasbih kepada Allah seperti yang dilakukan oleh Nabi Yunus alaihissalam. Allah berfirman:

 

فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَن لا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ . فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنجِي الْمُؤْمِنِينَ

 

“..(setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.

 

Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” (Surah Al-Anbiya’: 87-88)

 

Marilah sama-sama kita beristighfar kepada Allah dan mengajak semua manusia untuk beristighfar. Allah tidak mengazab kafir Quraisy yang beristighfar seperti diceritakan Allah dalam firman-Nya:

 

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

 

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Surah Al-Anfaal: 33)

 

Jika Allah boleh menangguh azab ke atas kaum musyrikin dengan sebab istighfar mereka, maka Allah pasti merahmati para mukmin yang beristighfar.

 

Keempat: Antara faktor turunnya bala ialah manusia menahan harta yang ada dalam miliknya daripada orang-orang fakir, miskin, mereka yang berhajat dan mereka yang ditimpa bencana. Mereka sibuk dengan kehidupan selesa mereka; membeli-belah, berkebun, leka dengan binatang-binatang ternak dan lupa terhadap saudara-saudara mereka yang susah.

 

Nabi SAW mengingatkan dalam hadis:

{ إذا ضن الناس بالدينار والدرهم ، وتبايعوا بالعينة ، واتبعوا أذناب البقر ، وتركوا الجهاد في سبيل الله أنزل الله بهم بلاء ، فلا يرفعه حتى يراجعوا دينهم } . رواه أحمد وأبو داود

“Bila manusia bakhil dengan dinar dan dirham, berjual beli secara riba, leka dengan ternakan dan tanaman (hingga lupa beribadat), meninggalkan jihad di jalan Allah, maka Allah menurunkan bala ke atas mereka. Bala itu tidak akan terangkat sehingga mereka kembali kepada agama mereka.” (HR Ahmad dan Abu Daud)

 

Maka wajib bagi kita mengoreksi diri masing-masing…. Melihat kembali hak-hak mereka yang memerlukan dan para duat adalah orang pertama melaksanakannya dan mengingatkan kaum muslimin agar menunaikan tanggungjawab tersebut.

 

Kita berdoa kepada Allah agar Dia membantu kita sekalian kembali bertaubat dan menginsafi atas keterlanjuran kita selama ini...

 

Siri Sudut Pandang Masyaratkat (1)

Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria
Yang Dipertua IKRAM Putrajaya

Read 1462 times Last modified on Thursday, 26 March 2020 13:34

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!