wrapper

Berita Terkini

الإثنين 5 ذو القعدة 1442   |   Monday 14 June 2021
Monday, 08 February 2021 11:53

Pentingnya peranan bapa membesarkan anak sebagai Muslim

Rate this item
(16 votes)

KENYATAAN MEDIA
IKRAM LEGAL
8 Februari 2021M / 26 Jamadilakhir 1442H

IKTIBAR DARIPADA PENGHAKIMAN KES ROSLIZA BINTI IBRAHIM: PENTINGNYA PERANAN BAPA DALAM MEMELIHARA NASAB DAN MEMBESARKAN ANAK SEBAGAI SEORANG MUSLIM

IKRAM Legal menyeru umat Islam khususnya para bapa untuk mengambil iktibar daripada Penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosliza binti Ibrahim v. Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Selangor (Rayuan Sivil No.: 01(f)-2-01/2020 (B)) pada 5 Februari 2021 yang lepas (“Kes Rosliza”).

 

Kes ini menunjukkan betapa pentingnya para bapa untuk memelihara kehormatan diri dan nasab keturunan selari dengan prinsip Maqasid Syariah dalam mengelakkan masalah yang lebih besar pada kemudian hari khususnya berkenaan status agama anak.

 

Dalam masa yang sama, para bapa juga perlu mengambil pengajaran bahawa mereka perlu memainkan peranan yang aktif dalam membesarkan anaknya sebagai seorang Muslim sekali pun anak yang dilahirkan tersebut adalah merupakan anak tidak sah taraf dan/atau membesar dengan si ibu yang bukan beragama Islam.

 

Hal ini adalah selaras dengan saranan daripada Nabi SAW dalam hadisnya yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”. (Hadis Riwayat Bukhari [No. 4775] dan Muslim [No. 2658]).

 

Walaupun anak tersebut dilahirkan dalam keadaan ibu bapanya berdosa kerana melakukan persetubuhan haram iaitu zina, anak tersebut tetap dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa. Oleh itu, si bapa yang beragama Islam tetap mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk mendidiknya dan membesarkannya dalam agama Islam.

 

Begitu juga dalam kes jika anak tersebut dibesarkan oleh si ibu yang bukan beragama Islam sekali pun, si bapa tetap mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk memperkenalkan dan membesarkan si anak dengan agama Islam, di samping agama ibunya, sehinggalah si anak layak membuat keputusan untuk memilih agamanya sendiri apabila telah mencapai umur majoriti dan/atau akil baligh.

 

Dalam kes Rosliza tersebut, Mahkamah Persekutuan telah membuat satu penghakiman yang menjadi mercu tanda kes (landmark case). Kesemua sembilan (9) panel Hakim telah bersetuju secara sebulat suara bahawa Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan seseorang untuk mengesahkan bahawa beliau bukannya seorang Muslim dari awal lagi (berbeza dengan kes pengesahan status Murtad yang hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah).

 

Walau bagaimanapun, tujuh (7) orang Hakim memutuskan yang Rosliza binti Ibrahim bukanlah seorang Muslim dari lahir menurut Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sementara dua (2) orang lagi Hakim memutuskan bahawa isu tersebut hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menurut Seksyen 53 Enakmen yang sama.

 

Dalam penghakiman majoriti setebal 49 muka surat yang ditulis oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun binti Tuan Mat, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Rosliza binti Ibrahim bukanlah seorang Muslim dari lahir kerana ketiadaan bukti yang mencukupi untuk membuktikan bahawa Rosliza binti Ibrahim sememangnya adalah seorang Muslim sejak dari lahir dalam keadaan beliau merupakan anak tidak sah taraf dan dibesarkan oleh ibunya yang beragama Buddha.

 

Bukti dokumentari yang dikemukakan hanyalah butiran dalam kad pengenalan dan dalam permohonan semasa membuat kad pengenalan yang menyatakan status beliau sebagai beragama Islam, namun Mahkamah Persekutuan memutuskan yang butiran tersebut tidak memadai untuk diterima sebagai bukti yang muktamad dan ianya hendaklah dibuktikan sebagai benar sekiranya berlaku pertikaian.

 

Justeru, IKRAM Legal berharap rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya dapat menerima dan/atau menghormati penghakiman tersebut. Dalam masa yang sama, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu lebih berhati-hati selepas ini dalam menerima apa-apa permohonan untuk mengeluarkan kad pengenalan khususnya berkenaan identiti agama seseorang bagi mengelakkan kes sebegini berulang kembali.

 

Marwan bin Abdullah
Pengerusi IKRAM Legal

Read 1153 times Last modified on Monday, 08 February 2021 15:07

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd