wrapper

Berita Terkini

الإثنين 5 ذو القعدة 1442   |   Monday 14 June 2021
Saturday, 28 November 2020 18:40

Seminar 'Lelaki Hebat Keluarga Cemerlang'

Rate this item
(0 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
28 November 2020 / 12 Rabiulakhir 1442H

SEMINAR 'LELAKI HEBAT KELUARGA CEMERLANG'

Pada hari ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia mengadakan Seminar 'Lelaki Hebat Keluarga Cemerlang' dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Seminar ini adalah sebahagian daripada sambutan bulan November sebagai  Bulan Keluarga Kebangsaan yang bertemakan “Kita Jaga Keluarga”.

 

Seminar ini bertujuan (1) mengiktiraf dan menuntut penglibatan lelaki dalam urusan rumahtangga dan pendidikan anak-anak untuk menjamin kesejahteraan individu, memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat; (2) menyebarluaskan konsep lelaki sebagai hero atau super hero dalam keluarga; (3) mewujudkan kerjasama dengan semua pemegang taruh yang terlibat bagi menentukan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk meningkat advokasi memperkasakan peranan lelaki dalam pembangunan keluarga.

 

Seminar ini dilaksanakan secara maya mengambil kira kekangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB). Program setengah hari ini dirasmikan oleh YBrs Tuan Haji Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN dengan penampilan tiga pembentang hebat dan banyak pengalaman dalam usaha membangun keluarga sejahtera di negara ini.

 

YAA Dato’ Dr Mohd Naim Mokhtar, Ketua Hakim Syariah Malaysia akan membincangkan topik 'Lelaki Pemimpin dan Pelindung Keluarga'; Prof Dr Suresh Kumar A/L P Govind, seorang ahli Lembaga Pengarah LPPKN mengupas topik 'Lelaki Kunci Kebahagian Keluarga'; manakala Prof Datuk Dr Harlina Halizah Hj Siraj yang merupakan Pengarah Pusat Citra UKM pula membincangkan topik “ Lelaki dan Wanita, Sokong Menyokong Bina Keluarga”. Perbincangan forum antara ketiga-tiga penceramah ini dikendalikan oleh personaliti terkenal Da’i Azam Al-Kankari yang juga  seorang pendakwah.

 

Seminar ini adalah antara usaha pendidikan masyarakat Pasukan Advokasi Keluarga Rahmah, Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui kempennya iaitu Kempen 'Lelaki Hero Keluarga (LHK)'. Seminar ini adalah kesinambungan kepada program 'Sembang Santai Hero Keluarga Rahmah' yang telah diadakan pada 15 Disember 2019 di mana kempen ini telah dilancarkan dengan nama 'Hero Keluarga Rahmah' sebelum berlakunya penjenamaan semula kepada kempen LHK.

 

Antara tujuan utama kempen ini adalah untuk memberi kesedaran akan kepentingan kaum lelaki memainkan peranan pentingnya sebagai pemimpin dan pelindung kepada keluarga seperti yang disarankan dalam surah An-Nisaa' ayat 34 yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita…”.

 

Pembangunan negara yang pesat telah menghasilkan pelbagai manfaat termasuklah peningkatan ke tahap yang membanggakan bagi struktur keluarga dan gaya hidup keluarga di Malaysia.

 

Pelancaran Dasar Keluarga Negara (2011) serta Inisiatif Strategik Perubahan dalam Program Transformasi Kebangsaan (2010) meletakkan sasaran peningkatan bilangan pekerja wanita terutama di bahagian pembuat keputusan dan menjanjikan sokongan bersistem untuk penjagaan anak-anak dan ahli keluarga lain supaya menggalakkan wanita berkerjaya dan membantu pembangunan keluarga yang sejahtera.

 

Namun pembangunan juga membawa kepada beberapa perubahan sampingan dan cabaran yang kritikal, termasuk nilai murni yang kian terhakis dalam kehidupan berkeluarga, ketidakstabilan emosi dan ekonomi keluarga, impak perceraian, gejala sosial dan keganasan rumahtangga yang semakin meruncing.

 

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 23,212 kes keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017. Data daripada Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan bahawa kes keganasan rumah tangga adalah sebanyak 69,978 kes dari tahun 2010 sehingga Mei 2018. Manakala bagi kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh 2010 hingga 2016 pula adalah sebanyak 28,365 kes.

 

Kajian telah menunjukkan bahawa penglibatan lelaki atau bapa dalam kerja jagaan harian, memberikan manfaat bukan sahaja kepada semua ahli keluarga malahan pada diri mereka sendiri. Penjagaan bersama (shared caregiving) ini bermanfaat bagi lelaki dalam aspek fizikal, mental, kesihatan seksual dan pengurangan 'risk-taking' serta ini menjadikannya sumber kebahagian dan kesejahteraan keluarga. 

 

Keterlibatan bapa adalah baik untuk kesihatan mental dan fizikal wanita, hubungan suami isteri dan dikaitkan dengan pengurangan kadar keganasan terhadap wanita. Keterlibatan bapa juga adalah baik untuk anak-anak, iaitu mempunyai impak positif terhadap anak lelaki dan perempuan, di mana anak perempuan diperkasakan dan lelaki berfikiran positif tentang pandangan mereka dan tanggungjawab mereka terhadap wanita. Anak mereka mempunyai pencapaian akademik yang baik, kemahiran sosial dan kognitif, harga diri yang tinggi, kurang masalah tingkah laku dan toleran tinggi terhadap stres.

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia menegaskan bahawa:

 

  • Peranan wanita dan lelaki adalah penting dalam pembangunan diri dan keluarga yang mana peranan mereka adalah lengkap melengkapi dalam usaha mewujudkan keluarga yang sejahtera.

 

  • Prinsip kesamarataan dan kesaksamaan lelaki dan wanita perlu diiktiraf dengan mengambil kira fungsi biologi, peranan serta kemampuan mereka dalam memberi khidmat yang terbaik kepada keluarga.

 

  • Lelaki dan wanita adalah diiktiraf dan dituntut berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga.

 

  • Pihak berkuasa khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu terus berperanan secara bersinergi dalam usaha membangun keluarga sejahtera.

 

  • Dasar Keluarga Negara perlu dijadikan panduan dan rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam urusan pembangunan negara supaya mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam proses penggubalan perundangan dan dasar secara menyeluruh.

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia mengajak semua warga Malaysia untuk bersama-sama:

 

1. Memberi kesedaran dan pendidikan kepada pentingnya peranan dan sokongan lelaki sebagai ketua dan pelindung keluarga; serta sebagai rakan kongsi bagi wanita dalam membangunkan satu institusi keluarga yang utuh. Keutuhan keluarga ini seterusnya dapat membangunkan satu masyarakat yang sihat dan sejahtera seterusnya dapat menghasilkan kemajuan dan kemakmuran kepada negara.

 

2. Menzahirkan sokongan terhadap usaha-usaha NGO bagi mengembalikan keutuhan institusi keluarga. Antaranya adalah kempen Pertubuhan IKRAM Malaysia iaitu kempen LHK ini bagi mempromosikan peranan mulia lelaki sebagai seorang anak, abang atau adik, bapa, bapa saudara dan seorang datuk dalam membangun keluarga yang harmoni dan sihat.

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak LPPKN dan JKSM yang telah sudi bekerjasama dalam menjayakan seminar ini. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar tercapai matlamat menghasilkan keluarga sejahtera bagi menuju kepada pembangunan masyarakat dan negara Malaysia yang progresif dan maju.

 

Haji Nahar Md Nor
Ketua
Pasukan Advokasi Keluarga Rahmah
(Ahli Jawatankuasa Pusat)
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 563 times Last modified on Saturday, 28 November 2020 18:46

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd