wrapper

Berita Terkini

الأحد 9 شوّال 1441   |   Sunday 31 May 2020
Saturday, 23 May 2020 07:07

Teks cadangan Khutbah Hari Raya Aidilfitri 1441H

Rate this item
(0 votes)

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

 الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

 

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 

Para jamaah (wahai ahli keluargaku) yang dikasihi Allah dan yang ku cintai.

 

Hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri, hari penuh kegembiraan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba yang taat menjalani ibadah puasa selama sebulan Ramadan.

 

Mudah-mudahan kegembiraan hari ini kita sambut setelah kita mendapat keampunan Allah SWT sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis Nabi SAW:

 

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

“Barang siapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat al-Bukhari: 38 dan Muslim: 760)

 

Kegembiraan ini bukan kegembiraan biasa. Ia adalah satu daripada dua temasya yang dijanjikan kepada orang-orang yang berpuasa iaitu ketika berbuka atau menyambut Hari Raya. Ia adalah temasya untuk menanti temasya yang amat besar yang menanti apabila seseorang itu menemui Tuhannya di dalam syurga Allah SWT. Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

 

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَان: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Rabb-nya.” (Riwayat al-Bukhari: 1894)

 

Para jamaah yang dikasihi sekalian.

 

Kita menyambut sebulan Ramadan dan berhari raya dalam suasana yang sangat berbeza dengan apa yang lazim sebelumnya. Inilah kali pertama dalam sejarah hidup generasi kita atau yang sebelumnya menempuh bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya dalam suasana terkurung.

 

Kita telah melakukan ibadah puasa pada siang hari dan qiamullail pada malam hari dalam keadaan duduk di rumah, berjaga-jaga daripada musibah wabak penyakit.

 

Kini kita juga diuji dengan penularan wabak COVID-19 yang telah meragut hampir setengah juta nyawa dan menjangkiti hampir mencecah 5 juta manusia di seluruh dunia.

 

Kita bukan sahaja berhadapan dengan risiko jangkitan, bahkan ramai yang menerima kesan daripada langkah-langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ada yang kehilangan punca pendapatan bahkan ketiadaan bekalan makanan.

 

Kita benar-benar teruji dengan satu ujian yang tidak pernah kita jangka selama ini. Kita diingatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran:

 

فَأَمَّا ٱلۡإِنسَـٰنُ إِذَا مَا ٱبۡتَلَىٰهُ رَبُّهُۥ فَأَكۡرَمَهُۥ وَنَعَّمَهُۥ فَیَقُولُ رَبِّیۤ أَكۡرَمَنِ ۝ وَأَمَّاۤ إِذَا مَا ٱبۡتَلَىٰهُ فَقَدَرَ عَلَیۡهِ رِزۡقَهُۥ فَیَقُولُ رَبِّیۤ أَهَـٰنَنِ ۝ كَلَّاۖ بَل لَّا تُكۡرِمُونَ ٱلۡیَتِیمَ ۝ وَلَا تَحَـٰۤضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِینِ ۝ وَتَأۡكُلُونَ ٱلتُّرَاثَ أَكۡلࣰا لَّمࣰّا ۝ وَتُحِبُّونَ ٱلۡمَالَ حُبࣰّا جَمࣰّا۝

 

“Maka adapun manusia, apabila Tuhan mengujinya lalu memuliakannya dan memberinya kesenangan, maka dia berkata, “Tuhanku telah memuliakanku”. Namun apabila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata, “Tuhanku telah menghinaku.” Sekali-kali tidak! Bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim, dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, sedangkan kamu memakan harta warisan dengan cara mencampurbaurkan (yang halal dan yang haram), dan kamu mencintai harta dengan kecintaan yang berlebihan.” (Surah al-Fajr: 15 - 20)

 

Ayat-ayat di atas adalah peringatan daripada Allah SWT supaya manusia sentiasa berbaik sangka pada-Nya. Nikmat dan musibah yang datang sama sekali tidak bermaksud bahawa seseorang itu dimuliakan atau dihina oleh Allah SWT.

 

Apa juga ujian yang datang termasuklah wabak penyakit yang mengancam nyawa dan segala aspek kehidupan adalah ujian untuk menilai sejauh manakah umat Islam bersedia untuk menginfakkan harta, tenaga dan semua sumber yang ada untuk membantu sesama insan.

 

Apabila ada anggota masyarakat yang diuji dengan kehilangan pekerjaan dan terputus bekalan makanan, apakah kita mengambil tahu dan berusaha mengeluarkan mereka dari kesulitan itu?

 

Apakah masyarakat berganding bahu untuk memastikan tidak ada dalam kalangan kita yang tertinggal dan tidak terbela; anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, orang tua yang tidak berdaya, golongan yang kehilangan pekerjaan, mereka yang tidak dapat melunaskan sewa rumah, mereka yang sakit dan tidak mampu untuk mendapatkan rawatan? Semua mereka ini adalah tanggungjawab yang wajib dipikul bersama.

 

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

 

Para jamaah yang dikasihi sekalian.

Kita diperingatkan juga dengan ayat-ayat berikut:

 

فَلَا ٱقۡتَحَمَ ٱلۡعَقَبَةَ ۝ وَمَاۤ أَدۡرَىٰكَ مَا ٱلۡعَقَبَةُ ۝ فَكُّ رَقَبَةٍ ۝ أَوۡ إِطۡعَـٰمࣱ فِی یَوۡمࣲ ذِی مَسۡغَبَةࣲ ۝ یَتِیمࣰا ذَا مَقۡرَبَةٍ ۝ أَوۡ مِسۡكِینࣰا ذَا مَتۡرَبَةࣲ ۝ ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ ۝ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَیۡمَنَةِ ۝

 

“Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar? Dan tahukah kamu apakah jalan yang mendaki dan sukar itu? (Iaitu) melepaskan penghambaan (hamba sahaya), atau memberi makan pada hari terjadi kelaparan, (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau orang miskin yang sangat fakir. Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan.” (Surah al-Balad: 11 - 18)

 

Para jamaah yang dikasihi sekalian.

 

Allah SWT telah menganugerahkan bulan Ramadan pada saat kita menghadapi wabak COVID-19. Ia satu peluang keemasan yang amat rugi jika kita tidak merebut peluang pada bulan yang menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Semua amalan fardi (individu) seperti membaca al-Quran, solat fardu dan nawafil, zikir dan munajat semuanya akan diganjari oleh Allah SWT berlipat ganda.

 

Apatah lagi amal-amal yang menyangkut hablun minannas, bersedekah kepada ahli keluarga, jiran tetangga, membantu meringankan tanggungan, melangsaikan hutang yang tidak dapat dilunaskan semuanya adalah satu sunnah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Dalam Sahihain, daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata:

 

كَانَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ

“Nabi SAW adalah orang yang paling paling pemurah (gemar bersedekah). Semangat beliau dalam bersedekah lebih membara lagi ketika bulan Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari: 3554 dan Muslim: 2307)

 

Para jamaah yang dikasihi sekalian.

 

Kita juga mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang meletakkan diri mereka di barisan hadapan dan berkorban segala-galanya termasuklah keselesaan, bahkan keselamatan diri dan nyawa mereka sendiri apabila bertungkus lumus memberikan rawatan kepada semua pesakit agar pulih dan sembuh sepenuhnya.

 

Mereka ini sama ada para doktor, jururawat, pembantu perubatan, pemandu ambulan, bahkan para amah dan pekerja am terpaksa berpisah dengan ahli keluarga bahkan ada yang tidak sempat melihat anak yang baru lahir sudah pandai diagah.

 

Begitu juga kepada pasukan keselamatan yang terdiri daripada pihak polis, tentera, anggota rela dan bomba yang memainkan peranan yang terbaik untuk memastikan keselamatan rakyat diberikan keutamaan meskipun mereka terpaksa berhujan panas bahkan dalam cuaca paling buruk sekalipun.

 

Kita juga menginsafi serta mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang telah kehilangan ahli keluarga mereka yang tersayang kerana korban COVID-19, meskipun ahli keluarga mereka tidak dapat berada di sisi pada saat menghembuskan nafas yang terakhir, bahkan tidak dapat menguruskan jenazah, menghantar ke kuburan dan mendakap jenazah buat kali terakhir.

 

Kita mendoakan agar mereka semua mendapat pahala syahid dan dikumpulkan semula dengan ahli keluarga mereka di syurga Allah kelak. Ameen Ya Rabbal Alamin.

 

Para jamaah yang dikasihi sekalian.

 

Meskipun kita menyambut Hari Raya dalam suasana yang sederhana, namun tetap ceria dengan pakaian baru serta juadah hidangan yang serba enak dan lazat hasil air tangan kita sendiri. Oleh itu, jangan kita terlupa dengan saudara kita di serata dunia yang dilanda dengan musibah peperangan, dizalimi dan ditindas.

 

Umat Islam Rohingya yang terus diburu dan dibunuh, umat Islam Syria yang masih dilanda peperangan, umat Islam Yaman yang terjejas akibat peperangan dan kebuluran, umat Islam Uighur yang masih terkurung dan dipaksa meninggalkan amalan Islam, umat Islam Kashmir yang disekat kebebasannya dan dizalimi sekian lama, umat Islam di India yang dibunuh semata-mata kerana agamanya dan sudah tentu umat Islam Palestin yang terus diancam dengan penjajahan, pembunuhan dan pengusiran, penduduk Gaza yang masih dikepung dan dikenakan sekatan sejak 13 tahun yang lalu.

 

Hulurkan bantuan kewangan melalui pelbagai inisiatif dan NGO yang membantu. Sekurang-kurangnya titipkanlah doa agar Allah SWT memberikan mereka kesabaran dan kekuatan untuk mengatasi penindasan yang mereka hadapi.

 

اللّهُ أكبر اللّهُ أكبر اللّهُ أكبر

لا إلَهَ الا اللّه واللّهُ أكبر

اللّهُ اكبر و لِلّه الحمدَ

 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

  

Disediakan oleh:
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi MyCARE

Read 407 times Last modified on Saturday, 23 May 2020 07:25

1 Comment

  • Comment Link Royal CBD Saturday, 23 May 2020 23:29 posted by Royal CBD

    I pay a visit everyday a few web sites and information sites
    to read articles, except this weblog presents quality based posts.


    P.S. If you have a minute, would love your feedback on my new website
    re-design. You can find it by searching for «royal cbd» — no sweat if you can’t.


    Keep up the good work!

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd