wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 18 ذو الحجّة 1442   |   Tuesday 27 July 2021

SERI KEMBANGAN - Memandangkan keadaan Covid-19 yang semakin buruk di Malaysia, terutama di Lembah Klang, beberapa NGO telah memutuskan untuk membentuk satu gabungan masyarakat madani yang dinamakan Pelan Bertindak Rakyat (TINDAK!).

“Tujuan gabungan ini adalah untuk menggerakkan sokongan besar-besaran untuk rangkaian Pelan Tindakan Kecemasan, terutama dalam sektor Kesihatan dan Ekonomi,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam sidang media penubuhan gabungan itu hari ini.

 

Jelasnya, Pelan Tindakan Kecemasan ini disediakan oleh kelompok pakar berkenaan dasar yang bersifat bebas dengan rangka polisi terperinci yang perlu dilaksanakan segera dan tanpa penangguhan. 

 

Pelan tersebut diterbitkan pada pagi ini oleh Dato’ Dr Amar Singh HSS, Dr Khor Swee Kheng, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Dato' Dr Zainal Ariffin Omar, dan telah disahkan oleh pelbagai organisasi dan individu dalam sektor kesihatan.

 

Tambahnya, kegagalan melaksanakan polisi seperti ini akan mengakibatkan jumlah kematian meningkat dan kadar jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi, serta memburukkan lagi isu kemelaratan hidup serta kesukaran ekonomi rakyat yang semakin mencanak.

 

“Walaupun kita tidak perlu untuk menimbulkan rasa panik dan cemas, namun pihak pemerintah seolah tidak menanggapi masalah yang kita hadapi ini dengan serius.”

 

“Maka, sekiranya mereka tidak bertindak dalam keadaan penuh kewaspadaan dan serius, maka rakyat akan melakukan sesuatu untuk mereka berwaspada.”

 

Sebagai inisiatif akar umbi dari rakyat, kata beliau lagi, keprihatinan gabungan itu adalah bagi memastikan keprihatinan dan suara semua rakyat didengar dengan kuat dan jelas, terutama suara semua petugas barisan hadapan Covid-19 yang semakin dibebani oleh wabak yang semakin buruk.

 

“Kita secara jelas memerlukan pendekatan menyeluruh masyarakat dan seharusnya memperakui tanggungjawab bersama untuk membawa penyelesaian menerusi pendekatan kepimpinan dari rakyat.”

 

“Sekiranya pihak berkuasa terus bertindak terlalu perlahan, kami akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran (yang tidak melibatkan perhimpunan besar-besaran - fizikal, kerana keadaan Covid-19) untuk menekan pihak-pihak yang berkenaan untuk segera melaksanakan tuntutan tersebut,” tegas Faisal.

 

Ujarnya, Jawatankuasa TINDAK! merancang untuk mengumumkan senarai tuntutan pada akhir minggu ini.

 

Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin, gabungan masyarakat madani berasa terpanggil untuk menubuhkan TINDAK! kerana mereka mendapati krisis yang melanda negara ini semakin meruncing.

 

Jadi, mereka merasakan perlu adanya satu gabungan yang dapat mengetengahkan dan menawarkan solusi kepada krisis yang sedang melanda negara.

 

“Peranan masyarakat madani ini bukan untuk menggembar-gemburkan masalah sahaja, kami pun sebenarnya solution-driven, kami juga ingin mengetengahkan dan menawarkan solusi,” kata beliau yang juga Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

 

Tambah Badlishah, Jawatankuasa TINDAK! menyokong Pelan Tindakan Kecemasan ini kerana ia satu pelan tindakan yang tepat, munasabah dan praktikal untuk menangani krisis terutamanya krisis pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

 

Katanya lagi, TINDAK! juga ingin menekankan pendekatan keseluruhan masyarakat (whole-society approach) untuk menangani krisis ini dan menyeru masyarakat supaya memainkan peranan masing-masing, menjaga SOP, menjaga lingkungan supaya dapat menjauhkan diri daripada terjangkit dengan penyakit Covid-19.

 

“Jadi, kita semua kena mainkan peranan kita, bukan sahaja peringkat individu, tetapi peringkat masyarakat dan seterusnya peringkat negara.”

 

“Kita ingin supaya perkara ini (Pelan Tindakan Kecemasan) dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk kita sama-sama menangani krisis yang sedang melanda negara sekarang ini.”

 

Sehingga kini, TINDAK! dianggotai ABIM, IKRAM, GBM, Projek #BangsaMalaysia, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Jawatankuasa Marhain, Projek Wawasan Rakyat (POWR), Undi18, Komrad Borneo dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

 

Maklumat lanjut gabungan ini boleh dilayari di laman Facebook Pelan Bertindak Rakyat di pautan https://www.facebook.com/PelanBertindakRakyat/.  

Last modified on Monday, 19 July 2021

Leave a comment

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!