wrapper

Berita Terkini

الأحد 11 جمادى الثانية 1442   |   Monday 25 January 2021


SERI KEMBANGAN - Lebih 17 pertubuhan-pertubuhan Islam hari ini melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Majlis Tertinggi Ulama Arab Saudi yang mengisytiharkan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas dan sesat daripada ajaran Islam sebenar pada 10 November lalu.

“Gerakan Ikhwanul Muslimin adalah sebuah pertubuhan yang mempelopori gelombang kesedaran Islam sejagat termasuk membawa pemikiran bebas merdeka taktala dunia Islam masih dicengkam penjajahan dunia baratpada awal abad ke-20 yang lalu,” kata Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim dalam sidang media bersama NGO-NGO Islam hari ini.

 

Beliau menegaskan, walaupun berdepan dengan pelbagai halangan dan para aktivisnya menjadi mangsa penindasan dalam sejarah Ikhwanul Muslimin, komitmen pertubuhan itu sentiasa berpegang dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi yang merupakan manifestasi penting kepada hak asasi manusia.

 

“Selepas kerajaan pilihan rakyat Mesir digulingkan menerusi rampasan kuasa yang diketuai Jeneral As-Sisi, ramai pemimpin dan aktivis Ikhwanul Muslimin telah menjadi mangsa kezaliman dan penindasan politik ganas rejim As-Sisi termasuk Presiden Mesir yang dipilih menerusi lunas demokrasi yang luhur, Mohammad Morsi,” kata Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman.

 

Tambahnya lagi, ribuan ditahan tanpa bicara dan tidak diberikan hak pembelaan dan keperluan asasi.

 

“Namun, Ikhwanul Muslimin tetap dengan pendekatan aman dan tanpa keganasan.”

 

Dalam pada itu, CEO Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Ir Hj Mohd Jamal Shamsuddin memaklumkan bahawa pertubuhan Islam sentiasa terbuka dengan kepelbagaian fikrah dan perbezaan pandangan yang merupakan wacana penting dalam perkembangan intelektual Islam.

 

“Namun kepelbagaian pendapat ini perlu berpandukan adab ikhtilaf yang meletakkan fakta, kejujuran dan kebenaran sebagai asas rujukan utama. Ia tidak harus membawa kepada tindakan secara membuta tuli tanpa pertimbangan adil dan rasional,” tegasnya.

 

Jelasnya, tindakan Majlis Tertinggi Ulama’ Arab Saudi ini hanya akan mengheret umat Islam ke kancah perpecahan dan menyemarakkan gejala ekstremisme yang ditolak sama sekali dalam ajaran Islam.

 

 

“Kami menyeru institusi ulama agar tegas berpegang dengan kebenaran dan menerangkan hakikat kebenaran kepada ummah tanpa perlu menjadi alat kepada kepentingan politik pihak tertentu,” ujar Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad.

 

Menurutnya, suatu yang menghairankan kenyataan Majlis Tertinggi Ulama Arab Saudi ini ditentang oleh majoriti Ulama Islam seluruh dunia dan hanya mendapat pujian dan sokongan rejim Yahudi yang menjajah bumi Palestin tercinta.

 

“Sebanyak 18 kesatuan ulama seluruh dunia bersatu mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan ini, bahkan meminta kenyataan mereka ini dikaji semula kebenaran dan kewajarannya.”

 

Pertubuhan-pertubuhan Islam yang terlibat juga berkata, laras bahasa kenyataan itu juga tidak seperti laras bahasa fatwa agama yang dipenuhi dengan dalil, fakta dan tabayun realiti yang berlaku.

 

“Hubungan sesama Islam dan seluruh bani insan haruslah dipasakkan atas dasar kasih sayang, saling menghormati, bermuafakat dan Rahmatan lil A’lamin.”

 

Jawatankuasa Pilihan Hal Ehwal Luar Negeri Dewan Rakyat (House Of Commons Foreign Affairs Committee) United Kingdom (UK) dalam Laporan ‘Political Islam and the Muslim Brotherhood Review’ pada Nov 2016 telah mendapati bahawa Ikhwanul Muslimin UK tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti keganasan.

 

Realitinya, Ikhwanul Muslimin adalah sebuah jemaah Islamiah yang sangat sederhana. Walaupun tindakan kumpulan ekstrem yang kemudian menyandarkan fahaman ekstremnya kepada Ikhwanul Muslimin, ia tidaklah sekali-kali mengubah dasar-dasar Ikhwan yang dibawa oleh Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna.

 

Kekesalan tersebut disuarakan melalui sidang media yang diadakan di Kompleks Pertubuhan IKRAM Malaysia bersama beberapa pertubuhan Islam yang lain di sini, dengan menyeru seluruh ummah menjadikan ilmu yang benar dan kajian berfakta sebagai landasan untuk menentukan sesuatu keputusan.

 

Turut hadir secara maya dalam sidang media ini Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden HALUAN, Prof Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dan wakil Hj Mohd Ghani Salleh, Setiausaha Agung Islamic Information & Services Foundation (IIS), Zuhri Yuhyi serta wartawan Sinar Harian, Malaysiakini, Bernama TV dan IKRAMedia.

 

Kenyataan penuh sidang media: https://bit.ly/damai-ikhwan

Last modified on Monday, 23 November 2020

Leave a comment

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!