Print this page


SERI KEMBANGAN - Tokoh wartawan, Allahyarham Hj Subky Abdul Latif, 80, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak jam 11.00 pagi hari ini.

"Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif menghembuskan nafas terakhir. Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Amin."

 

Khabar pemergian Allahyarham tersebut dikongsikan dalam satu status Facebook rasminya hari ini, yang dimuat naik oleh anaknya, telah disahkan oleh anak sulungnya, Dang Fatiha Subky.

 

Dang Fatiha berkata, pada saat akhir hayat Allahyarham dikelilingi isteri, Naznah Taha dan lima orang anaknya.

 

"Allahyarham meninggal dunia akibat sakit myelodyplastic syndrome (MDS) pre-leukimia yang ada kaitan dengan darah," katanya.

 

Jenazah telah disolatkan di Masjid Bilal bin Rabah selepas Zohor dan disemadikan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur.

 

Menurut bekas Ketua Pengarang Akhbar Harakah, Ahmad Lutfi Othman, sumbangan beliau dalam alam kewartawanan dan perintis akhbar bebas terakam dengan tinta emas.

 

“Titipan ilmu dan perkongsian pengalamannya, yang membesarkan kami dalam dunia kewartawanan ini, didoakan agar menjadi amal jariah buatnya.”

 

Allahyarham Subky yang dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 28 Julai 1940, berkahwin dengan Naznah Taha dan dikurniakan lima anak iaitu Dang Fatiha, Hang Muhammad Iftitah, Abdul Latif Rahbar, Muhammad Ramadhan Subky dan Ahmad Huzaifah.

 

Beliau telah memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang pada tahun 1963.

 

Selain itu, beliau merupakan bekas wartawan kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu yang sangat disegani dan popular dengan penulisan rencana serta pojok.

 

Sebelum menyertai politik, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Last modified on Tuesday, 23 June 2020
DMC Firewall is a Joomla Security extension!