Print this page

SERI KEMBANGAN - Setiausaha Agung IKRAM, Hj Mahdzir Md Isa menjemput mereka yang menyebarkan tuduhan terhadap IKRAM untuk bertemu atau berkomunikasi secara terus dengan pemimpin IKRAM.

Baru-baru ini pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah telah membuat kritikan terbuka terhadap IKRAM antaranya tentang 'Ikramisasi IPTA', dan kaitan antara IKRAM dan Freemason di media sosial.

 

"IKRAM mengambil sikap terbuka dan menganjurkan pendekatan kerjasama dan perkongsian dengan pelbagai pihak untuk membangunkan negara," kata beliau.

 

Menurutnya, IKRAM tidak mudah mengambil sikap bermusuh dengan sesiapa, apatah lagi sesama Muslim kerana menyedari manusia boleh sahaja mempunyai perbezaan pandangan, membuat kesilapan dalam mendapatkan sumber maklumat, ataupun membuat kesilapan dalam menafsirkan maklumat.

 

"Sehubungan itu, jika ada yang bertindak mengkritik IKRAM secara ilmiah mahupun memfitnah, langkah pertama kita ialah memberi peluang untuk kedua-dua pihak saling memahami dan mencari kebenaran demi menegakkan keadilan," tambah beliau.

 

Hj Mahdzir memaklumkan yang surat jemputan untuk bertemu telah dihantar hari ini kepada dua individu tersebut.

 

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan umat Islam akan keburukan dan bahayanya kritikan yang diberikan secara melulu jika didapati kemudiannya adalah fitnah.

 

"Kesannya kelak boleh memudaratkan individu dan masyarakat bukan sahaja kepada yang difitnah, tapi juga yang membuat fitnah, dan yang membaca, percaya, dan menyambung penyebaran fitnah," kata beliau.

 

Justeru tambahnya, IKRAM ingin mengajak masyarakat untuk sentiasa menyemak sebarang berita berdasarkan fakta yang benar dan tafsiran fakta yang juga benar.

 

"Terlalu banyak maklumat di media sosial yang bercampur baur antara fakta dan rekaan, antara kepentingan peribadi dan organisasi. Oleh itu, kaedah bertemu dan bertukar maklumat adalah langkah yang positif dan proaktif untuk meleraikan silap faham," jelas beliau.

 

Ketika ditanya tentang tindakan perundangan ke atas mereka yang memfitnah, beliau berkata, belum masanya untuk melakukan tindakan tersebut kerana pertemuan dan perbincangan adalah langkah permulaan.

 

"Kita ada beberapa langkah untuk menyelesaikannya, tapi tindakan perundangan adalah langkah yang terakhir," tegasnya.

Last modified on Thursday, 16 April 2020

47 Comments

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd