wrapper

Berita Terkini

السبت 13 ربيع الثاني 1442   |   Saturday 28 November 2020

KELAZIMAN BAHARU PEMBELAJARAN IPT

Sesi pembelajaran di universiti bagi sesi 2020/2021 telah pun bermula sejak awal bulan Oktober yang lalu. Suasana baharu yang dilihat semasa permulaan sesi baharu ini adalah sesi pendaftaran pelajar baharu dan pelajar semasa yang terpaksa dibuat secara dalam talian disebabkan wabak COVID19 yang telah menunjukkan kenaikan secara mendadak dari segi jumlah kes baharu sejak dari bulan September yang lalu. Akibat dari kenaikan kes tersebut, pihak Kementerian Pengajian Tinggi terpaksa membuat keputusan segera bagi memastikan penularan wabak tersebut dapat disekat dan tidak memberi risiko kepada para pelajar yang akan kembali ke kampus bagi sesi pembelajaran sesi 2020/2021 yang akan bermula. Lanjutan dari itu juga, sesi pembelajaran di kebanyakan university juga telah disepakati untuk diadakan secara dalam talian bagi meminimumkan pergerakan pelajar untuk hadir ke kuliah, sekaligus mengekang penularan wabak COVID19 dari terus merebak. Norma baharu ini pasti memberi pelbagai cabaran kepada kedua-dua pihak pentadbiran universiti mahupun kepada para pelajar.

Antara tips yang boleh diamalkan oleh para mahasiswa disenaraikan seperti berikut.

 

Capaian internet stabil

Perkara paling utama yang perlu diberi perhatian dalam memastikan pembelajaran dalam talian berjalan dengan lancar ialah capaian internet yang baik. Perkara ini mungkin tidak menjadi isu bagi mahasiswa yang berada di kawasan bandar dengan capaian internet yang baik dan stabil, namun ia tidaklah semudah itu bagi mereka yang berada di kawasan yang jauh dari bandar dan berada di pedalaman. Perkara ini harus diberi perhatian bagi mahasiswa di mana alternatif lain bagi capaian internet yang baik perlu dicari di kawasan berhampiran kediaman atau di bandar terdekat dengan kediaman mereka. Terdapat alternatif seperti Pusat Internet 1 Malaysia, IPT berdekatan ataupun pejabat kerajaan yang boleh mempertimbangkan peminjaman ruang dan khidmat internet mereka kepada para mahasiswa. Oleh itu, mahasiswa perlu cuba mencari dan memanfaatkan alternative yang ada bagi menyokong proses pembelajaran mereka.

Urus masa dengan bijak

Sesi pembelajaran dalam talian memberi alternatif kepada pensayarah untuk menyampaikan kuliah sama ada secara bersemuka atau tidak bersemuka dengan menggunakan rakaman kuliah . Perkara ini boleh menjadi cabaran kepada para mahasiswa baik bagi kuliah bersemuka mahupun tidak bersemuka. Ini kerana kuliah bersemuka selama 2 jam di dalam talian boleh menjadi sangat memenatkan serta sukar untuk diberikan fokus, manakala kuliah secara rakaman lebih mencabar kerana mahasiswa perlu memperuntukkan masa sendiri bagi menonton video mengikut topik-topik yang telah disusun oleh pensyarah. Sekiranya tiada jadual yang tersusun, mahasiswa dengan mudah boleh terlepas menonton kuliah berkenaan topik tertentu dan seterusnya akan menghadapi masalah apabila pensyarah telah meneruskan kuliah dengan topik seterusnya. Selain itu juga, perlu dielakkan menonton rakaman kuliah secara pukal di saat-saat akhir semester kerana ia akan merugikan masa dan menyukarkan fokus serta persediaan untuk peperiksaan akhir. Justeru, pengurusan masa harus dibuat dengan bijak dan teratur.

Manfaatkan Portal Pembelajaran Dalam Talian

Bagi memastikan pembelajaran atas talian para mahasiswa berjalan lancar, setiap universiti menyediakan portal pembelajaran dalam talian sendiri di mana portal ini menjadi medium pengajaran serta sumber rujukan pensyarah dan mahasiswa. Penggunaan portal ini harus diberi prioriti tinggi oleh para mahasiswa kerana ia adalah medium utama komunikasi antara pensyarah kursus dan para pelajar. Bahan pengajaran, sumber rujukan, soalan tutorial dan ujian serta pelbagai makluman terkini akan disampaikan kepada para pelajar menggunakan portal ini. Sehubungan itu, mahasiswa perlu merujuk portal tersebut setiap hari, malah berkali-kali sehari bagi memastikan memperolehi maklumat terkini berkaitan setiap kursus yang diambil pada semester tersebut.

Berhubung dengan pensyarah dan rakan

Sesi pengajaran kursus secara dalam talian memelukan komitmen serta fokus yang tinggi baik di pihak pensyarah mahupun para pelajar. Sungguhpun dunia teknologi telah memudahkan komunikasi dua hala dengan kewujudan media sosial serta system e-mel yang canggih, perlu diakui bahawa ia tidak semudah itu dalam konteks komunikasi bagi pembelajaran dalam talian. Pembelajaran dalam talian akan memerlukan para pensyarah dan pelajar berkomunikasi dengan efektif bagi memastikan maklumat terkini berkaitan pembelajaran dapat disampaikan dengan pantas dan mudah difahami oleh para pelajar. Di samping itu juga, para pelajar juga pastinya mempunyai pelbagai persoalan mahupun penerangan lanjut berkaitan aktiviti berkaitan pembelajaran. Justeru, para mahasiswa perlu cakna nombor serta alamat e-emel penting di university, serta segera menguhubungi rakan-rakan serta pensyarah berkaitan sekiranya mempunyai perkara yang ingin ditanyakan. Selain berkaitan pembelajaran, terdapat juga pelbagai isu lain yang berkaitan pengajian seperti isu yuran, kredit, kewangan serta isu-isu lain yang perlu diberi perhatian sepanjang pengajian.

Secara keseluruhannya, pandemic COVID19 telah mengubah lanskap dunia pendidikan tinggi lebih jauh dari jangkaan semua. Namun demikian, sistem pendidikan harus terus berjalan bagi memastikan kelestarian dunia akademik serta terus dapat melahirkan pada cendekiawan yang boleh terus meneraju negara kita. Sehubungan itu, para pelajar di pusat pengajian tinggi harus mempunyai respons yang pantas serta cepat beradaptasi dengan suasana baharu ini serta terus berusaha memastikan kecemerlangan diri dan seterusnya kecemerlangan negara kita di persada dunia.

Selamat maju jaya buat semua!

 

Artikel ini telah diterbitkan di akhbar Suara Sarawak pada Sabtu 31 Oktober 2020. Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuuteraan Mekanikal dan Pembuatan, juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Pertubuhan IKRAM Negeri Sarawak. Beliau boleh dihubungi di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Read more...

SABAR HADAPI UJIAN

Pengenalan

KINI sudah masuk gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia, ujian besar bagi manusia sejagat. Virus Covid-19 ini pandemik yang menakutkan.Hampir 1.2 juta kematian dilaporkan akibat serangan wabak ini di serata dunia, bahkan di negara maju yang mempunyai peralatan kesihatan dan saringan yang serba canggih pun tidak dapat mengatasi masalah ini. Bahkan menjadi antara negara terjejas teruk mengikut statistik dunia. Ini juga sebagai petanda wabak ini tidak mengira bangsa, kulit, rupa mahupun status ekonomi. Perkara yang berlaku di Malaysia juga tidak kurang getirnya.Yang membimbangkan kini, semakin meningkat kadar dijangkati dan bilangan kematian bertambah. Di Sarawak, terdapat pelbagai kluster seperti kluster arnab, kluster sekolah dan sebagainya.Pelbagai usaha dilakukan terutama golongan barisan hadapan yang tidak jemu memastikan wabak ini diputuskan rangkaiannya.Seperti beberapa negara lain, Malaysia juga menyahut seruan untuk duduk di rumah atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 1 September sehingga 31 Disember ini dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk sesetengah daerah, bagi membantu menyekat penularan wabak ini.Pendek kata, seluruh sistem kehidupan manusia berubah secara mendadak daripada aspek keagamaan, sosial, ekonomi, hubungan dalam dan luar negara, budaya dan lain-lain.

Kelaziman Baharu

Kelaziman baharu hidup harian setiap individu juga terkesan dan terhenti seketika. Diharapkan masyarakat dapat menjadikan kelaziman baharu sebagai peribahasa, ‘alah bisa tegal biasa’.Sebagai manusia mempunyai pegangan agama, seharusnya kita mengambil pengajaran dan hikmah daripada wabak Covid-19. Dalam kata lain, setiap yang berlaku dalam kehidupan bagi orang yang beriman, sarat dengan hikmah dan bukan perkara sia-sia.Selain itu, perkara itu merugikan jika seorang itu hanya beranggapan virus Covid-19 hanya jangkitan penyakit semata-mata. Bahkan, lebih utama ialah Allah memperlihatkan kepada manusia Allah SWT mempunyai kuasa untuk menghidupkan sesuatu,mencipta, mematikan dan melenyapkan. Manusia berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada wabak ini sebenarnya lemah dan tidak berupaya melainkan berusaha dan berterusan memohon doa kepada-Nya. Kesabaran diiringi dengan doa dan usaha yang menjadi kunci tawakal seorang hamba kepadaTuhan.

Sabar Menurut Pandangan Agama

Setiap agama mempunyai pegangannya tersendiri dalam soal bersabar dalam musibah. Menurut pandangan ulama Islam, sabar bermaksud menahan diri daripada berbuat sesuatu dan tidak mudah putus asa. Justeru, sabar dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu menahan diri daripada perasaan gelisah, tidak tenteram dan berfikir perkara membawa kepada stres. Manakala menahan lidah daripada mengeluh, memaki, mencaci atau berkata sesuatu yang tidak berfaedah. Selepas itu, menahan diri daripada tindakan menampar pipi atau mengoyakkan pakaian apabila ditimpa musibah seperti kematian insan yang disayangi. Dalam konteks kaunseling juga, sabar bererti menahan diri dari melakukan sesuatu yang merosakan diri dan orang lain dari sudut mental, fizikal, emosi, perkataan dan tindakan.Selain itu, kita juga tidak sepatutnya bersikap sambil lewa dan berserah kepada Allah tanpa ada usaha.Oleh itu, kita sentiasa mematuhi arahan pemerintah seperti kekal dirumah, pakai pelitup muka apabila berada ditempat umum, jaga kebersihan diri dan menjaga jarak sosial.

Cara Tingkatkan Kesabaran

Pelbagai cara untuk tingkatkan kesabaran diri boleh dilakukan seperti amalan sunah puasa Isnin dan Khamis. Selain itu, perbanyakkan solat sunat seperti tahajud, Dhuha, tasbih dan hajat. Ketika ditimpa ujian wabak ini, kita dituntut untuk banyak bersabar dan bertawakal. Sabar dalam beribadat sebagai contoh bersolat, berpuasa, berzikir (mengingati Allah), bangun pada tengah malam, dan sabar ketika memikul tanggungjawab atau tugas penting. Sabar dalam menjauhkan diri daripada larangan Allah terutama maksiat, menyebarkan fitnah,bercakap bohong, mengadu domba, mengambil hak orang lain dan sebagainya. Sabar ketika menerima ketentuan takdir yang berhubung dengan penderitaan atau kesulitan terutama berhadapan dengan ujian sakit, kemiskinan, kelaparan, kehilangan orang tersayang dan sebagainya. Bersabar menempuh ujian yang mendatang adalah ibadah yang sangat mulia dan dianggap penting. Ini kerana tanpa persediaan dan pemahaman akidah yang betul mampu menjerumus umat Islam kepada kufur.

Yakinlah Segalanya Pasti Ada Kesudahan

Yakin bahawa musibah dalamkehidupan ada jalan penyelesaiannya.Begitu juga dengan wabak Covid-19 tidak kekal selama-lamanyadan lenyap juga. Penyakit ini juga menjadi petanda agar semua umat manusia kembali kepada jalan yang benar dan bertaubat daripada melakukan segala maksiat. Sekiranya kita bersabar dengan ujian ini, maka kita pasti diberikan ganjaran dan balasanyang baik di dunia atau akhirat kelak.Setiap ujian yang melanda, pasti mempunyai hikmah yang tersendiri.Jangan bersangka buruk terhadap ujian yang diberikan oleh Allah terhadap manusia. Sentiasa bertaubat dan muhasbah diri. Kasihani petugas barisan hadapan negara. Mereka berkorban demi kita dan negara buat sekian kalinya lagi apabila gelombang ketiga melanda negara .Pengalaman penulis dan keluarga merasai perintah kuarantin 14 hari lalu dan berurusan terus dengan mereka membawa keinsafan pada diri penulis.

Di sebalik MusibahAda Rahmat-Nya

Reda dan positif dengan ujian. Elakkan sikap berputus asa, kecewa dan merungut ketika berhadapan dengan musibah kerana perbuatan ini dikhuatiri menjerumus kita ke dalam kalangan manusia yang tidak bersyukur. Masyarakat cuba sentiasa bersikap positif dalam menghadapi wabak koronavirus ini. Ujian yang datang bukan semata-mata untuk memberatkan beban seseorang, tetapi peluang untuk menguji diri seseorang itu. Pada masa yang sama,kuatkanlah hati kita dan sentiasabersikap positif dalam kehidupansebagai seorang yang beragamaIslam.Ujian bukan bebanan. Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya melihat ujian itu dengan pandangan mata yang penuh hikmah. Walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan, namun berusaha mencari potensi diri ketika berhadapan dengan sebarang kesulitan. Hakikatnya, kita pasti mampu berhadapan dengan ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Dimaklumkan dalam media menyatakan PKPB di tempat tertentu dilanjutkan ke 9 November lalu. Ujian yang datang bukan semata-mata untuk memberatkan beban seseorang, tetapi datang sebagai peluang untuk menguji diri seseorang itu. Sekiranya seseorang berjaya dalam sesebuah ujian, maka Allah mengangkat darjat atau martabatnya ke peringkat yang lebih tinggi di sisi-Nya. Ujian ini bermakna Allah melihat tahap kesabaran kita sebagai hamba-Nya.

Artikel ini ditulis oleh Pn Shamsiah Jayos, dan telah diterbiatkan di akhbar Suara Sarawak pada Sabtu 31 Oktober 2020.

Read more...

Hijrah Kepada Kebaikan

hijrah ke arah kebaikan.jpg

Dalam kita berniat berhijrah,kita berniat berhijrah, kadang-kadang ada “angin munafik sepoi-sepoi” hadir dalam hati kita. Bisikan ke cuping telinga sehingga akal menerbitkan ingin menangguh lagi. Daripada situ, bermula perdebatan antara akal terbatas dengan kebenaran.Adakah wajar kita menyalahkan ibu bapa kerana kurang didikan agama kepada kita semenjak kecil? Tidak, itu mungkin dosa mereka. Usah ditambah lagi belenggu dosa yang sudah punsarat. Kita minta sahaja ampunan bagi mereka. Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan dosa atas ketelanjuran mereka. Setelah dewasa, bukankah kita mampu berfikir sendiri?

 

Jiwa Meronta

Bangkitlah! Dengarkan tangisan jiwa yang meronta-ronta meminta kita kembali kepada Tuhan atau fitrah diri sebagai hamba sebenar.Usah membiarkan jiwa kita terperangkap dalam penjara nafsu dan godaan syaitan yang lemah. Mulakanlah langkah berhijrah,sekali pun harus mengengsot! Tanya kepada diri sendiri sampai bila aku harus begini? Sampai bila aku harus terus derhaka kepada Allah SWT yang menciptakan kita dan ingatlah sakaratul maut itu kiamat paling hampir dengan diri kita.

 

Usah Tangguh

Itulah hakikat yang tidak dapat kita sangkal lagi, terjadi pada bila-bila masa sahaja! Bayangkanlah! Berhijrahlah. Usah ditangguh lagi. Usah tertipu lagi. Berhentilah menyeksa batin meronta-ronta meminta dikembalikan kepadaTuhannya. Hijrah mempunyai dua pengertian. Pertama, hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah. Namun,kini tiada lagi kecuali bagi mereka yang hidup di negara yang sukar mengamalkan ajaran Islam. Maka, mereka dibenarkan berhijrah ke tempat lain.Dalam konteks di Malaysia,negara kita aman dan beramal dengan Islam. Jadi hijrah kita di sini ialah hijrah ke arah yang lebih baik.

 

Hijrah Zahir dan Batin

Sikap segelintir masyarakat yang cantik dari segi penampilan, tetapi tidak pada dalamannya iaitu hati. Penampilan sahaja tidak cukup. Sekadar pakai tudung atau menutup aurat, tetapi pecah amanah dan lain-lain. Kita perlu ingat perbuatan jahat sebenarnya bermula daripada dalaman.Memetik kata mutiara Imam al-Ghazali: Hati itu ibarat raja,manakala anggota zahir (badan yang lain) ibarat rakyat. Justeru, pesanan ini perlu dilakukan dengan memperbaiki hati dan pada masa yang sama turut mengubah penampilan diri.Jika kita hanya berhijrah dari segi penampilan secara zahir,sedangkan hati tidak seperti yang ditampilkan itu menjadikan kita tidak seimbang.

 

Panduan Terbaik Hijrah

Jika membaca al-Quran, fahamilah maknanya supaya mudah untuk kita bertadabur dengannya. Jika sekadar membaca sahaja kalam Allah SWT tanpa memahami apa-apa yang dibacanya, percayalah sukar untuk kita berubah.Namun, kita tetap memperoleh pahala membaca al-Quran.Bagaimanapun, jika kita membaca al-Quran dan faham kandungannya,dua pahala diperoleh iaitu pahala membacanya dan apabila kita berubah pun kita dapat pahala. Itulah cara hijrah yang sebenarnya.

 

Hijrah Untuk Semua

Benarkah hijrah hanya untuk orang yang banyak dosa? Semua orang dapat melakukan hijrah iaitu bermuhasabah diri. Hijrah bukan orang yang berdosa atau banduan dalam penjara sahaja, tetapi untuk kita semua. Kita perlu melakukan perubahan yang lebih baik. Jika seseorang itu tidak baik, dia perlu mengubah dirinya kepada yang baik, manakala mereka yang baik pula perlu menjadi lebih baik. Terdapat juga dalam kalangan mereka sudah baik tetapi datang pula sikap buruk sangka terhadap orang lain.Maka, gantikan sikap itu dengan berbaik sangka. Bagi yang kedekut, gantikan sikap itu dengan dermawan dan lain-lain. Manusia sifatnya dinamik dan sentiasa bergerak ke hadapan.

 

Kesimpulan

Setiap kali memasuki tahun baharu Islam, umat Islam sepatutnya memiliki semangat baharu untuk merancang dan melaksanakan hidup ini lebih baik dan teratur. Hijrah bukan semata-mata proses perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain,tetapi memberi makna signifikan sebagai proses perpindahan atau transformasi daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik. Perubahan masih tidak disempurnakan kerana sikap masih berada di takuk lama.Yang tinggal hanya azam dan keinginan. Ingatkah anda pada azam tahun baharu yang dirancang pada setiap tahun? Sudahkah anda merealisasikannya? Tapi tidak mengapa, ada niat pasti ada jalan-Nya kerana Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-Nya.

 

 

 

Read more...

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd