wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 18 ذو الحجّة 1442   |   Tuesday 27 July 2021
Saturday, 12 June 2021 10:39

Lautan sedang 'sakit', mampukah kita selamatkannya?         

Written by Dr Hamidah Mat
Rate this item
(1 Vote)

Bermula tahun 2008, tarikh 8 Jun berbeza daripada 8 Jun pada tahun-tahun sebelumnya. Lipatan sejarah dunia telah mencatatkan satu inisiatif baharu apabila setiap 8 Jun diisytihar oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Lautan Sedunia.

Sejak itu, setiap tahun, masyarakat dunia terutamanya para aktivis alam sekitar akan meraikannya dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab terhadap tonggak ekosistem alam iaitu laut.

 

Bertitik tolak daripada Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992, tarikh 8 Jun telah dipilih untuk memberikan peluang kepada masyarakat dunia mengkhususkan waktu untuk mengulang kaji semula hubungan manusia dengan lautan dan segala isinya.

 

Pada sudut survivalnya, kebergantungan manusia terhadap laut terutama pada hasilnya tidak dapat disangkal lagi. Bagi Malaysia khususnya, lautan merupakan sumber alam yang penting kepada ekonominya. Ia merupakan sumber utama kepada sektor makanan, perdagangan, pengangkutan dan pelancongan.

 

Pada sudut estetiknya, laut merupakan ‘harta’ kekayaan yang akan menjadikan sesuatu tempat itu menarik dan mendamaikan. Laut seringkali dikaitkan dengan ketenangan dan keindahan yang tiada bandingannya.

 

Ringkasnya, kelestarian laut bukanlah perkara yang boleh diambil mudah memandangkan pentingnya laut pada manusia bukan sahaja pada ekosistem kehidupan fizikalnya, malah pada keperluan manusia kepada laut sebagai terapi kepada kepenatan emosi dan mindanya.

 

Laut adalah sebuah anugerah

 

Jika disorot dalam al-Quran, Allah SWT telah merakamkan tentang kewujudan lautan dalam pelbagai situasi, malah frekuensi sebutan tentang laut melebihi frekuensi sebutan tentang daratan yang menjadi tempat tinggal asal manusia. 

 

Justeru, dalam Al-Quran terdapat 32 ayat yang menyebut kata 'laut', sedangkan kata 'darat' terkandung dalam 13 ayat al-Quran.

 

Oleh itu, ada sebahagian pemikir yang mentafsirkan bilangan yang berlebihan ini memberikan isyarat kepada keluasan fizikal lautan yang mendominasi bumi berbanding daratan. Wallahu a’lam.

 

Sebagaimana berbilangnya frekuensi sebutan laut dalam al-Quran, berbilanglah juga tujuan dan mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, dalam Surah al-Nahl (16:14), Allah SWT telah berfirman:

 

وَهُوَ الَّذِيْ سَخَّرَ الْبَحْرَ لِتَأْكُلُوْا مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا وَّتَسْتَخْرِجُوْا مِنْهُ حِلْيَةً تَلْبَسُوْنَهَاۚ وَتَرَى الْفُلْكَ مَوَاخِرَ فِيْهِ وَلِتَبْتَغُوْا مِنْ فَضْلِهٖ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ

 

Maksudnya: "Dialah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daging yang segar (ikan) daripadanya, dan (daripada lautan itu) kamu mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai. Kamu (juga) melihat perahu berlayar padanya, dan agar kamu mencari sebahagian kurnia-Nya, dan agar kamu bersyukur."

 

Dalam ayat di atas, Allah SWT telah menegaskan bahawa laut ialah sumber kepada makanan, perhiasan dan juga kemudahan untuk pergerakan, semuanya supaya manusia menginsafi dan bersyukur terhadap nikmat yang tiada tolok bandingnya ini.

 

Dalam ayat yang lain, Allah SWT  telah menggunakan laut untuk manusia berfikir dan melakukan refleksi. Contohnya dalam Surah al-Kahf (18:109), Allah Taala telah berfirman tentang perbandingan akan ilmu-Nya yang sangat luas dengan ilmu manusia yang sangat terbatas.

 

قُلْ لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمٰتِ رَبِّيْ لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ اَنْ تَنْفَدَ كَلِمٰتُ رَبِّيْ وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهٖ مَدَدًا

 

Maksudnya: "Katakanlah (Nabi Muhammad), “Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, nescaya habislah lautan itu sebelum kalimat-kalimat Tuhanku selesai (ditulis) meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)."

 

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menerangkan tentang keluasan ilmu-Nya dengan bahasa yang sangat halus sekali. Allah SWT telah menggambarkan bahawa air laut yang luas pun tidak akan cukup untuk menulis ilmu dan hikmah-Nya yang sangat luas.

 

Justeru, laut menjadi sumber inspirasi kepada manusia untuk bertafakur dan bertadabbur. Ini bermakna, lautan bukan sahaja layak menjadi sumber makanan jasmani kepada manusia, malah menjadi makanan rohani yang boleh menyegarkan keimanan dan menyuntik keinsafan terhadap kebesaran Allah Yang Maha Pencipta. 

 

Lautan sedang ‘sakit’

 

Apabila kita mengiktiraf laut sebagai sebahagian daripada ekosistem yang memerlukan keseimbangan, pengurusan laut amatlah penting kerana kewujudan laut bukanlah hasil ciptaan manusia, sebaliknya merupakan amanah yang perlu diuruskan dengan penuh integriti.

 

Hakikatnya, laut yang menjadi harta kita sedang mengalami ‘kesakitan’. Kajian saintifik telah mengesahkan bahawa krisis perubahan iklim dan isu pencemaran marin yang tidak terkawal merupakan ancaman utama kepada kelestarian laut. 

 

Jika diteliti, kebanyakan masalah yang timbul kepada laut adalah berpunca daripada tindakan manusia itu sendiri. Walhal, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk memastikan kelangsungan kesihatan laut kerana sekiranya berlaku sebarang ancaman di lautan, ia bakal menjejaskan ekonomi serta keselamatan manusia itu sendiri. 

 

Hal ini telah menarik perhatian masyarakat global hinggakan PBB telah menetapkan penjagaan terhadap kelestarian laut sebagai salah satu daripada Matlamat Pembangunan Lestari yang 17 atau lebih dikenali sebagai Sustainability Development Goals (SDG).

 

Dalam gagasan ini, pembangunan kelestarian lautan termaktub di bawah Matlamat Pembangunan Lestari yang ke-14 iaitu bertujuan memelihara dan menggunakan laut secara mapan dan penuh tanggungjawab.

 

 

Antara ‘kesakitan’ laut yang menjadi masalah sejagat ialah pencemarannya yang berpunca daripada plastik yang dibuang oleh manusia secara tidak bertanggungjawab.

 

Pencemaran plastik merupakan isu sejagat sejak zaman berzaman. Plastik telah digunakan secara meluas dalam pelbagai aktiviti kehidupan manusia, mungkin juga berpunca daripada kosnya yang lebih murah berbanding penggunaan bahan lain.

 

Tetapi kos yang murah ini datang dengan pakej yang sangat mahal, malah tidak tergantikan iaitu laut tercemar dan menderita akibat tindakan manusia ini. 

 

Sekali difikirkan, menjadi sesuatu yang tidak dijangkau akal, mengapa pula plastik yang kita buang ke dalam tong sampah di rumah boleh berakhir ke laut? Bagaimana pula penyedut minuman plastik boleh sampai ke hidung penyu jauh di lautan sana? 

 

Hakikatnya, hasil perangkaan global mendapati bahawa 5 trilion beg plastik digunakan setiap tahun dan 13 juta tan daripadanya dibuang ke laut. Bukan itu sahaja, dianggarkan sejuta botol plastik dibeli setiap minit dan 100,000 hidupan laut terbunuh disebabkan lastik setiap tahun.

 

Manakala di Malaysia, dianggarkan secara purata sebanyak 9 bilion plastik digunakan oleh rakyat Malaysia pada tiap tahun yang sebahagian besarnya berakhir di lautan. 

 

Untuk memahami keadaan ini dengan lebih jelas, kita perlu faham akan komponen plastik itu sendiri iaitu plastik merupakan komponen yang tidak mudah mereput. 

 

Plastik hanya akan pecah menjadi partikel kecil dan terurai apabila terdedah kepada sinaran ultraungu, oksigen, suhu yang tinggi dan aktiviti mikroorganisma dalam tempoh masa tertentu.

 

Plastik yang pecah dan terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik (zarah plastik berukuran antara 5 millimeter dan 0.1 mikrometer) dan nanoplastik (saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009), yang akan mengundang bahaya kepada pelbagai hidupan laut (daripada plankton sehinggalah haiwan yang besar seperti burung laut, penyu, ikan lumba-lumba dan ikan paus).

 

Partikel plastik ini bukan sahaja bahaya secara langsung apabila dimakan oleh haiwan di lautan, sebaliknya bahan kimia yang terdapat dalam plastik juga akan menyerap ke dalam tisu haiwan berkenaan.

 

Keadaan ini pastinya akan memberi ancaman yang besar kepada kelangsungan hidupan marin dan kesihatan manusia apabila memakan sumber makanan laut yang dicemari oleh mikroplastik dan nanoplastik.

 

Partikel kecil plastik yang kekal dalam lautan selama berabad ini bukan sahaja mengancam hidupan marin, sebaliknya turut mencemarkan keseluruhan ekosistem marin sekali gus menganggu gugat serta merencatkan sistem rantaian makanan di lautan.

 

Peningkatan kadar pencemaran plastik di lautan yang serius telah mengundang para penyelidik menjalankan kajian terperinci ke atas hidupan dan sumber laut. 

 

Antaranya, kajian yang diketuai oleh Universiti California Davis ke atas ikan di pasar Indonesia dan California, Amerika Syarikat telah mendapati bahawa sebanyak 25 peratus sampel ikan yang dikaji mengandungi plastik dan fiber tekstil di dalam perut haiwan berkenaan.

 

Penemuan daripada kajian-kajian ini pastinya menggusarkan ramai pihak, lebih-lebih lagi apabila mikroplastik juga dikaitkan dengan logam berat seperti kadmium, plumbum dan kromium yang berbahaya kepada kesihatan manusia. 

 

Bahan-bahan kimia seperti logam berat berkenaan boleh menyebabkan kanser, endometriosis, kerosakan sistem saraf, gangguan sistem endokrin, kesan kepada pertumbuhan bayi, kerosakan sistem pembiakan dan gangguan sistem keimunan.

 

Kalau bukan kita, siapa lagi?

 

Melihat kepada fakta yang menggerunkan ini, sudah pasti ada sesuatu yang perlu kita lakukan. Sebagai insan rabbani yang menggalas tanggungjawab untuk memakmurkan alam supaya menjadi tempat yang sejahtera untuk didiami, sudah pasti kita perlu mengorak langkah proaktif yang tidak boleh ditangguhkan lagi. 

 

Sebagai seorang manusia yang faham akan tujuan kehidupan dan misi dihidupkan, kita bukan sahaja perlu memulakan dengan diri sendiri, malah mengajak mereka di sekeliling kita untuk sama-sama berusaha memastikan kelestarian laut yang tiada galang gantinya. 

 

Marilah kita mula kurangkan penggunaan plastik di rumah mahupun di tempat kerja. Tukarkan botol minuman plastik kepada botol yang boleh diisi kembali. 

 

Tukarkan beg plastik di kedai dengan beg membeli-belah yang dibawa daripada rumah. Banyak lagi yang boleh kita buat. Tetapi jika tidak dimulakan dengan yang mana-mana, kita tidak akan membuat apa-apa perubahan.

 

Usah fikirkan tentang gagasan negara yang besar-besar sekiranya pilihan untuk menyelamatkan alam pun kita tidak boleh usahakan. Bukankah itu seringkas-ringkas manifestasi kepercayaan seorang Insan Rabbani?

 

Selamat Hari Lautan Sedunia.

 

Dr Hamidah Mat

Kredit: Puan Puan Rosmidzatul Azila Mat Yamin, Ancaman Pencemaran Plastik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Read 369 times Last modified on Saturday, 12 June 2021 11:21

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!