wrapper

Berita Terkini

الإثنين 5 ذو القعدة 1442   |   Monday 14 June 2021
Friday, 11 June 2021 11:00

Kepemimpinan lelaki dan urusan jodoh wanita - Respons Dr Harlina

Written by Dr Harlina Halizah Siraj
Rate this item
(1 Vote)

Hari ini saya dihujani perkongsian beberapa rakan, mengenai kenyataan Bonda Prof Datuk Dr Muhaya dalam satu sedutan video berdurasi 56 saat yang menyentuh perihal kepimpinan lelaki dan urusan jodoh wanita.

Dalam video pendek itu (https://youtu.be/iCrwdr6pkII), Prof Muhaya membangkitkan beberapa perkara:

 

1. Perlunya menghargai dan meraikan (celebrate) kepimpinan lelaki sebagai ketua, walau setinggi mana pun kedudukan dan berpangkat besarnya seorang wanita.

 

Alasan yang diberikan, lelaki tetap menjadi imam dalam solat berjemaah (walaupun pangkat rendah) dan semua nabi juga adalah lelaki.

 

2. Larangan kepada wanita supaya jangan sibuk-sibuk nak bebaskan diri (liberate) dan mahu demand (tuntut) kedudukan supaya sama dan setaraf dengan lelaki.

 

3. Pandangan mengenai naiknya tahap hormon testosteron bila wanita sibuk nak buat apa yang lelaki buat. Bila testosteron tinggi; wanita nak drive, nak achieve dan nak independent, akhirnya menyebabkan wanita itu lambat bertemu jodoh.

 

4. Lelaki suka wanita yang lembut-lembut, high estrogen, mengharapkan, perlu ditolong, biarlah macam bodoh-bodoh sikit.

 

5. Siapa yang lambat jodoh tu, kena tengok karakter masing-masing.

 

Reaksi Dr Har

 

Reaksi spontan selepas selesai menonton video itu - Dr Har rasa kaget, terkejut besar dan kecewa bercampur-baur dengan apa yang dinyatakan. Dr Har memahami mengapa ramai warga netizen yang turut merasa terkilan.

 

Malahan pastinya ada yang tersinggung, terguris dan berkecil hati, khususnya bila aspek sensitif seperti jodoh disentuh secara langsung, tanpa berlapik dan berselindung.

 

Terus Dr Har hubungi sendiri Prof Muhaya dan tim beliau untuk mendapatkan pengesahan sama ada video tersebut asli dan original.

 

Tabayun atau clarification ini Dr Har anggap sangat penting sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran (Al-Hujurat ayat 6) untuk menyemak sumber berita, dan mengesahkannya sebelum membuat sebarang kesimpulan dan keputusan.

 

Dr Har difahamkan video itu merupakan sedutan daripada sesi pengisian ilmu yang Prof Muhaya pernah sampaikan. Dr Har tiada maklumat mengenai tajuk besar sesi perkongsian ilmu tersebut, dan apa yang menjadi fokus perbincangan sebelum dan selepas segmen yang menyentuh bab kepimpinan lelaki dan urusan jodoh wanita tersebut.

 

Dr Har memberitahu Prof Muhaya yang Dr Har akan memberikan respons kepada isu yang hangat diperkatakan. Beliau sedia maklum dan tidak menghalang Dr Har berbuat demikian. Dr Har hargai sifat keterbukaan Prof Muhaya dan yakin beliau sudi menerima maklum balas konstruktif Dr Har ini dengan lapang dada, insya-Allah.

 

Pendirian Dr Har

 

Berikut adalah pendirian Dr Har berkaitan isu yang berbangkit:

 

1. Kepimpinan adalah amanah yang dipikul secara kolektif oleh semua lelaki dan wanita. Rujukan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim:

 

“Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin."

 

Dalam beberapa urusan khusus yan telah digariskan dalam al-Quran Dan hadis, lelaki diberi tanggungjawab memimpin keluarga (qawama), sebagai suami dan bapa yang menjaga dan menyediakan keperluan ahli keluarganya, menjadi ketua pembangunan spiritual famili, sebagai imam solat berjamaah; kewajipan yang mesti dilaksana dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat.

 

Qawama bukanlah keistimewaan dan kelebihan untuk disalah guna dan alasan untuk menindas atau menganiaya.

 

2. Selepas tanggungjawab kepimpinan dan setiap peranan dilaksanakan dengan sebaiknya, setiap lelaki dan wanita berhak mendapatkan pengiktirafan terhadap sumbangan masing-masing.

 

Hak-hak ini mesti dipenuhi dan dihormati pula oleh orang lain. Kesetaraan dan kesaksamaan ini yang amat perlu digapai dalam keluarga sehingga lahir hubungan harmoni yang berdasarkan rasa percaya-mempercayai dan saling hormat yang tinggi terhadap potensi dan kebolehan setiap seorang, baik lelaki mahupun wanita.

 

Kesetaraan, kesaksamaan dan keadilan ini yang mesti diperjuangkan oleh setiap individu.

 

3. Bukannya secara bertanding dan bersaing dengan kaum yang berlainan jantina yang dianggap jauh lebih baik, mulia dan hebat.

 

Emansipasi, liberasi atau usaha pembebasan wanita seperti itu sudah lapuk ditelan zaman. Kaedah ini berasaskan tanggapan lelaki lebih baik daripada wanita, sehingga formula untuk wanita berjaya, mestilah bersifat dengan ciri-ciri kelelakian.

 

Lelaki dan wanita sepatutnya saling membantu, berkolaborasi dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk kebajikan semua.

 

4. Pernyataan mengenai naiknya tahap hormon testosteron bila wanita sibuk nak buat apa yang lelaki buat - ini belum pernah Dr Har temui dalam pembacaan ilmu perubatan dan pengalaman klinikal Dr Har setakat ini.

 

5. Jodoh pertemuan di tangan Allah SWT. Lambat dan cepat jodoh seseorang itu juga dalam ketentuan-Nya. Faktor tarikan dan penolakan jodoh juga sangat subjektif dan tidak konsisten.

 

Sememangnya masih ramai lelaki yang lebih suka kalau pasangan isterinya mempunyai ciri-ciri yang lebih rendah dan kurang dalam segala aspek berbanding dirinya, kurang rasa tercabar dan dicabar. Lelaki begini mungkin lebih suka isteri yang kurang cerdik dan sentiasa bergantung dengannya.

 

Namun terdapat lelaki yang lebih suka wanita yang independent, tegas dan cerdik, tidak lembut-lembut, tidak manja serta tidak lemah gemalai, tidak bodoh -bodoh biarpun sedikit, apatah lagi kalau jelas kebodohannya.

 

Pernah terbaca 'The most attractive part of a woman, is her intelligence & wisdom!' (Bahagian seorang wanita yang paling menarik adalah kepintaran dan kebijaksanaannya).

 

Begitu juga bila wanita memilih suami, masing-masing punya cita rasa yang berbeza. Dan wanita tidak perlu menjadi orang lain dan menyekat potensi akal serta diri yang dianugerahkan Allah SWT semata-mata untuk mempercepatkan jodoh dan dikahwini oleh seorang lelaki.

 

Manusia hanya mampu merancang, Allah SWT yang menentukan segalanya.

 

Harapan Dr Har

 

Dr Har sangat berharap agar kita semua lebih berhati-hati apabila menyentuh aspek jodoh pertemuan dan tidak dengan mudah atau secara simplistik, menyalahkan faktor-faktor yang sangat variabel seperti karekter, personaliti dan jangkaan seseorang semata-mata.

 

Semoga Prof Muhaya dapat menerima maklum balas Dr Har ini dengan terbuka sebagai tanda persahabatan yang selama ini terjalin.

 

Yang baik itu datangnya daripada Allah SWT, sementara yang silap dan salah itu adalah lambang kekurangan Dr Har sebagai makhluk biasa.

 

Wallahu a'lam.

 

Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj
Pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan UKM

Sumber: FB Dr Harlina

Read 357 times Last modified on Friday, 11 June 2021 11:42

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!