wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 7 شوّال 1442   |   Tuesday 18 May 2021
Wednesday, 05 May 2021 12:05

Tiga keadaan setelah berakhirnya Ramadan

Written by Meirose
Rate this item
(0 votes)

Waktu terasa cepat berlalu. Ramadan perlahan-lahan pergi meninggalkan kita. Sebahagian umat Islam ada yang berasa sedih dan sebahagian yang lain pula berasa biasa sahaja. 

Apabila hari-hari dan malam-malam Ramadan telah berlalu, ada manusia yang beruntung dan ada pula yang rugi. Maka di sini ada tiga jenis keadaan manusia setelah berakhirnya Ramadan.

 

Pertama, di antara mereka ada yang berpuasa dan solat malam iaitu tarawih, dan Allah SWT melihat kebaikan pada dirinya. Kemudian pahalanya adalah ampunan daripada Allah atas dosa-dosanya yang telah lalu.

 

Ia keluar pada hari raya seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya, dengan lembaran hidup yang baru, hati yang putih cemerlang dan pakaian yang baru. Tidak ada hari yang paling utama dalam kehidupan ini melainkan hari yang mana Allah Taala mengampuninya.

 

Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

"Barang siapa berpuasa Ramadan dengan iman dan berharap pahala daripada Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)

 

"Barang siapa melakukan qiyam Ramadan (solat tarawih) dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)

Kedua, di antara mereka ada yang keluar pada hari raya Aidilfitri dalam keadaan telah dibebaskan daripada neraka, kerana ia telah bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang sebenarnya). Pada sepertiga malam, matanya menangis, mulutnya tidak henti-hentinya memohon keampunan kepada Allah.

 

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang pada malam hari berjaga kerana membela agama Allah.” (HR Tirmidzi)

 

Maka dengan asbab keikhlasannya ini, insya-Allah taubatnya diterima, dibebaskannya daripada neraka dan syurgalah tempatnya. 

 

Ketiga, di antara mereka ada yang keluar daripada bulan Ramadan dalam keadaan muflis!

 

Dalam hadis sahih disebutkan, "Alangkah rugi dan celakanya seseorang yang bertemu Ramadan, akan tetapi tidak diampuni Allah." (HR Tirmidzi)

 

Walaupun ia memiliki amalan yang banyak pada bulan Ramadan seperti puasa dan solat malam namun ia tetap melakukan maksiat seperti meninggalkan solat yang wajib dan terus-menerus melanggar larangan Allah maka ia termasuk ke dalam sabda Nabi SAW berikut ini: 

 

"Banyak orang yang berpuasa namun tidak mendapat apa pun daripada puasanya selain lapar dan dahaga. Dan banyak orang yang solat malam namun tidak mendapat apa pun daripada solatnya selain lelah dan berjaga malam." (HR Ibnu Majah)

 

Hendaklah setiap Muslim dan Muslimah berusaha menjadi seperti golongan yang pertama dan kedua.

 

Marilah kita berlumba-lumba dalam beramal kebaikan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini yang mana Allah melipat gandakan pahala kita. Sungguh rugi apabila kita sia-siakan kesempatan yang ada. Maka untuk masa Ramadan yang masih tersisa, gunakanlah dengan sebaiknya.

 

Semasa kita sedang bekerja, kita boleh basahkan lidah dengan banyak zikir dan istighfar kepada Allah. Sehabis solat, bacalah al-Quran walaupun hanya selembar.

 

Sambil menunggu kenderaan ataupun seseorang, apa salahnya mendengar bacaan al-Quran ataupun kuliah-kuliah agama melalui telefon genggam berbanding kita melihat perkara-perkara yang lagha di media sosial.

 

Pada waktu malam pula, usahakan  tidur awal agar dapat bangun pada sepertiga akhir malam untuk melakukan ibadah. Ibadah pada waktu ini terasa lebih khusyuk. Banyakkan berdoa kepada Allah dan memohon keampunan kepada-Nya.

 

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

''Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah aku.''

 

Jauhilah hal-hal yang dimakruhkan (dibenci). Ketahuilah bahawa puasa itu bukan setakat menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh sahaja. Akan tetapi, puasa juga menahan diri daripada perbuatan sia-sia dan perkataan kotor.

 

Hindarilah bersembang dengan kawan-kawan tentang hal-hal yang tidak bermanfaat apatah lagi perbicaraan yang buruk. Sebaliknya berdiskusilah tentang perkara agama atau isu semasa yang berfaedah.

 

Untuk kaum lelaki, setelah berbuka puasa, janganlah duduk melepak terlalu lama. Sebaiknya persiapkan diri untuk pergi solat berjamaah di masjid ataupun solat berjamaah di rumah bersama keluarga.

 

Untuk kaum perempuan pula, jangan disibukkan dengan hal masakan dan makanan sahaja, tapi fokuslah terhadap ibadah juga. Bagi yang sudah mempunyai anak, beritahu dan ajarkan mereka kelebihan-kelebihan beribadah pada bulan Ramadan.

 

Boleh juga membaca al-Quran bersama anak-anak. Ingatlah kaum hawa, bulan Ramadan hanya setahun sekali, sungguh rugi jika masa itu digunakan hanya untuk perihal masakan dan makanan.

 

Semoga dengan amalan yang ikhlas dan menepati sunnah yang kita lakukan selama bulan puasa ini, menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik untuk hari-hari seterusnya. Mudahan-mudahan kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang muflis apabila bulan Ramadan telah berakhir.

 

Meirose

Read 221 times Last modified on Wednesday, 05 May 2021 12:18

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd