wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 18 ذو الحجّة 1442   |   Tuesday 27 July 2021
Tuesday, 04 May 2021 07:00

Sifat negarawan sejahterakan negara

Written by Dr Harlina Halizah Siraj
Rate this item
(0 votes)

Setiap kali perkataan negarawan disebut, akan muncul di benak fikiran kita nama dan wajah beberapa susuk individu dalam lipatan sejarah tempatan serta dunia yang dinobatkan gelaran itu.

Sejarah hidup mereka diabadikan dalam memorial khusus. Begitu sekali sanjungan dan penghormatan masyarakat kepada jasa dan sumbangan negarawan.

 

Sementara gelaran negarawan itu mungkin hanya wajar diberikan kepada seseorang yang terbukti berjasa secara luar biasa kepada negaranya, bolehkah rakyat biasa dan marhaen menghayati dan membangunkan sifat kenegarawanan atau statesmanship dalam jiwa raga mereka?

 

Aspek kenegarawanan perlu diperhalusi, khususnya untuk memastikan kecintaan terhadap tanah air terus subur, mendalam dan sebati dalam diri setiap warganegara.

 

Tidak dinafikan, usaha negarawan membangun dan memajukan negara tidak mungkin berhasil tanpa sokongan pengikut terdiri daripada rakyat biasa. Manakan ada pemimpin jika tiada pengikutnya.

 

Kelompok rakyat jelata sanggup mempertaruhkan nyawa dan harta, menjulang ideologi perjuangan mempertahankan negara bersama pemimpin mereka.

 

Wira tidak dinobatkan ini sebenarnya berjaya membangunkan sifat kenegarawanan sejati dalam diri mereka. Jelas perlu sifat negarawan dibangunkan dalam diri setiap warga sejak kecil hingga dewasa.

 

Terdapat dua alasan utama membangunkan sifat negarawan dalam diri. Pertama, ia perlu digarap untuk memperkukuhkan semangat patriotisme atau cintakan tanah air yang menjadi fitrah insaniah.

 

Syed Muhammad al-Ghazali pernah menukilkan, “Manusia mencintai tanah kelahirannya dan semua yang hidup di atasnya, walaupun tanah kelahirannya itu menjadi tanah tandus menakutkan. Cintakan tanah air itu naluri yang memiliki ikatan erat dengan jiwa. Cinta ini membuat manusia ingin menetap di tanah airnya, rindu kepadanya jika berjauhan, membelanya jika diserang, marah jika tanah airnya dihancurkan.”

 

Kedua, sifat negarawan perlu disuburkan untuk mempertahankan tanah air daripada dirosakkan dan dihancurkan anasir petualang - sama ada luar atau musuh dalam selimut.

 

Bagaimanakah sifat negarawan boleh disemai dan disuburkan dalam diri setiap warganegara? Empat langkah strategik diperlukan.

 

Pertama, seseorang perlu mempelajari sejarah dan kisah silam negara dengan teliti serta kritis.

 

Pengetahuan sejarah menyeluruh akan membimbing seseorang lebih menghayati dan menghargai kemajuan serta pembangunan, di samping memperkukuhkan patriotisme serta semangat cintakan tanah air.

 

Kedua, seseorang perlu peka dan arif mengenai aspirasi serta isi kandungan Perlembagaan yang menjadi asas penubuhan negara. Kesedaran terhadap tanggungjawab dan hak setiap warganegara yang dilindungi Perlembagaan akan membantu memudahkan proses pembangunan sifat negarawan dalam diri.

 

Ketiga, seseorang perlu membuat pilihan untuk membabitkan diri secara aktif dengan kegiatan pembangunan negara. Usaha murni itu mesti dilakukan secara kolektif, bukannya sendirian.

 

Terdapat tiga ruangan luas untuk menyumbang bakti membangunkan negara - sama ada melalui pembabitan dalam perkhidmatan awam sebagai jentera kerajaan, penggabungan diri dengan organisasi bukan kerajaan dan persatuan sivil ataupun terus terjun ke arena politik kepartian.

 

Langkah keempat banyak bergantung kesediaan individu sentiasa bermuhasabah diri dan merefleksi - menimbang tara sejauh manakah sumbangan peribadinya kepada pembangunan negara tercinta.

 

Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-35, John F Kennedy pernah berkata: “Jangan tanyakan apa yang negara boleh lakukan untuk anda. Tanyalah apa yang boleh anda lakukan untuk negara.”

 

Akhir sekali, sifat negarawan akan menjelma dalam diri seseorang melalui enam ciri. Pertama, individu itu sentiasa cuba menjadi penyelesai masalah, bukannya seorang yang menambahkan huru-hara dan kerosakan.

 

Kedua, individu itu mampu berfikiran kritis dan kreatif, bukannya hanya menurut sahaja apa diperkatakan orang lain. Ketiga, individu negarawan sentiasa bersikap adil dan saksama, tidak berat sebelah dalam perkataan dan tindakan.

 

Keempat, seseorang itu berusaha membina jambatan dan kolaborasi setiap masa, bukannya menambahkan jurang dan dinding pemisah dengan orang lain.

 

Kelima, dia sanggup mendahulukan kepentingan orang lain berbanding keperluan dirinya, tidak tamak haloba dan mementingkan diri sendiri semata-mata.

 

Keenam, berjiwa besar, mudah memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya, tidak menyimpan dendam kesumat atau busuk hati.

 

Bayangkan kemakmuran dan kesejahteraan yang bakal terhasil apabila negara sentiasa dipelihara rakyat yang mampu membangunkan sifat negarawan dalam diri masing-masing.

 

Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj
Ahli Dewan Perwakilan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia

*Artikel ini telah diterbitkan dalam akhbar Berita Harian

Read 192 times Last modified on Tuesday, 04 May 2021 10:18

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd