wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 7 شوّال 1442   |   Tuesday 18 May 2021
Monday, 19 April 2021 12:50

Mengapa Ramadan seolah-olah berlari?

Written by Dr Hamidah Mat
Rate this item
(2 votes)

Saban tahun Ramadan datang menemui kita dengan taat tanpa lewat walau sesaat. Sama ada kita bersedia atau tidak, Ramadan tetap menjelma dengan membawa seribu keberkatan dan rahmat.

Tuntutan kehidupan pada masa kini menjadikan kehidupan manusia semakin rencam terutamanya bagi mereka yang berada di bandar. Kos sara hidup yang tinggi menuntut komitmen dan disiplin terhadap pekerjaan. 

 

Ditambah lagi dengan tanggungjawab sosial terhadap keluarga dan masyarakat, manusia seolah-olah menjadi seperti robot, hidup yang mempunyai rutin seharian yang sibuk.

 

Lalu, rahmat Ramadan dilihat dari celah-celah kesibukan tersebut. Janji gandaan pahala menjadi rebutan antara amalan dan tuntutan pekerjaan dan komitmen terhadap kehidupan.

 

Namun, manusia dikurniakan hati dan jiwa yang boleh terbuka seluas-luasnya menyambut kedatangan tetamu yang mulia. Lantas, ibadah dan tuntutan kehidupan boleh diselaraskan. 

 

Hitunglah Ramadan bukan dengan hari, tapi dengan detik dan saatnya. Setiap detik akan terasa pergerakannya. Setiap hela nafas seolah-oleh kita melepaskan peluang keemasan untuk bertaubat, mengharap dan berdoa.

 

Ramadan peluang untuk kita bertaubat dan memohon keampunan atas dosa-dosa yang lalu, tidak kira sebanyak mana. Maha Suci Allah Yang Maha Penyayang. 

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

 

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat Bukhari [38] dan Muslim [760])

 

Apa lagi yang diharapkan oleh seorang pendosa melainkan keampunan percuma pada bulan yang mulia!

 

Justeru, Aisyah RA berpesan kepada kita bahawa beliau bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan?” Nabi SAW bersabda:

 

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

“Ya Allah, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (Hadis Riwayat Tirmidzi [3513], Ibnu Majah [3850] dan Ahmad [25384])

 

(Imam Tirmidzi menilai hadis ini sebagai hasan sahih, manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum sanad hadis ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah).

 

Melihat kepada keberkatan yang dibawa oleh makhluk bernama Ramadan ini, seorang Muslim yang waras seharusnya mempersiapkan diri dengan pelan tindakan yang boleh dicapai. Janganlah diletakkan cita-cita Ramadan sebagai harapan semata-mata. Harapan akan tinggal harapan dan kenangan yang sia-sia tanpa perancangan yang baik dan teliti.

 

Semuanya bermula dengan azam yang kecintaan yang menebal terhadap Ramadan yang menjadi wasilah untuk kita menjana TAKWA kepada Allah Taala. Sambutlah Ramadan dengan hiba dan rendah diri, temanilah Ramadan dengan zikir dan istighfar sepanjang kedatangannya, dampingilah Ramadan dengan ibadah yang tidak kenal jemu.

 

Hanya dengan takwa manusia akan selamat di akhirat kelak. Malah di dunia juga, takwa akan menjadi perisai daripada perbuatan dosa. Takwa jugalah yang akan melonjakkan peribadi dan sahsiah mulia seorang manusia apabila berurusan dengan manusia lain. Bukankah takwa juga yang membezakan manusia di sisi Allah Yang Esa?

 

Saidina Ali RA mengungkapkan takwa dalam makna dan kesannya ke atas peribadi seorang Muslim: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

 

Ibadah puasa merupakan ibadah klasik yang unik kerana seorang Muslim hanya perlu meninggalkan rutin dan kesukaannya pada waktu sedia kala. 

 

Kedua-dua kesukaan itu tertumpu kepada dua keinginan manusia sejak azali iaitu keinginan makan dan minum serta keinginan syahwat. Dua perkara ini merupakan konstruk utama kepada latihan untuk mencapai takwa.

 

Allah Yang Maha Kaya juga maha mengetahui bahawa manusia perlukan masa untuk melatih diri dan nafsu untuk tunduk kepada iman dan akal yang sahih. Sebulan telah diperuntukkan sebagai satu medan untuk Muslim berperang, bukan dengan orang lain tetapi dengan diri dan nafsunya sendiri.

 

Ramadan sewajarnya diperuntukkan untuk kita merenung diri dan menilai semula hubungan dengan Yang Maha Pencipta. Ramadan adalah tempoh yang terbaik untuk melakukan amalan yang lebih daripada biasa.

 

Pahala puasa hanya layak ditentukan oleh Allah SWT. Pintu syurga yang khusus juga disediakan untuk orang yang berpuasa. Pintu al-Rayyan menjadi idaman insan berpuasa yang rindukan Tuhan yang Maha pencipta.

 

Jika enjin dianggap penggerak kepada sebuah kereta, maka takwa ialah dinamo yang menggerakkan manusia supaya berusaha menjadi hamba yang bermanfaat kepada orang lain.

 

Jika kereta memerlukan penyelengaraan berkala untuk memastikannya berfungsi dengan baik, maka Ramadan dan ibadah puasa ialah pakej penyelenggaraan takwa yang akan menjadi tali ampuh penghubung hamba dengan Tuhannya. Takwa jugalah yang akan menjadi pemangkin kepada manusia untuk menjalankan misinya khalifah di atas muka bumi.

 

Justeru, hari ini sudah hari keenam kita menemui Ramadan, tidakkah kalian merasa Ramadan seolah-olah berlari pergi sedangkan kita masih bertatih-tatih dengan harapan?

 

Dr Hamidah Mat
Cyberjaya, 6 Ramadan 1442H

Read 314 times Last modified on Monday, 19 April 2021 13:23

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd