wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 7 شوّال 1442   |   Tuesday 18 May 2021
Wednesday, 14 April 2021 16:00

Meneladani keperibadian Saudah binti Zam’ah dalam berpoligami

Written by Syuhara Suriati
Rate this item
(1 Vote)

Hidup berpoligami ialah suatu perkara yang tidak asing lagi bagi wanita-wanita yang reda bermadu dan rela berkongsi suami. Menyedihkan pula, ramai dalam kalangan kita sendiri khususnya kaum wanita dibadai api kemarahan sehingga mencetuskan kemahuan suami untuk melafazkan talak.

Antara punca yang sering dikumandangkan mutakhir ini para isteri menuntut cerai dek sikap cemburu yang keterlaluan dan tidak memahami erti hak giliran yang wajib ditunaikan oleh seorang suami kepada isteri-isteri yang lain.

 

Walau bagaimanapun, dalam soal ini kita dapat mempelajari bagaimana cara menjalankan tugas sebagai isteri yang hidup bermadu dalam keluarga Rasulullah SAW melalui isteri baginda yang telah dimuliakan Allah Taala iaitu Saudah binti Zam'ah radiallahuanha.

 

Saudah ialah wanita kedua yang menjadi suri hati Rasulullah SAW selepas Khadijah radiallahuanha. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, Saudah pernah dikahwini oleh As-Sakran bin Amr. 

 

Imam Adz-Dzahabi menyebut:

"Beliau orang yang pertama kali dinikahi oleh Nabi SAW setelah Khadijah dan beliau hanya menikahi dengannya selama kurang lebih tiga tahun atau lebih hingga beliau menggauli Aisyah." [1]

 

Saudah dan suaminya ialah yang termasuk kumpulan yang berhijrah kepada Rasulullah SAW. Beliau adalah wanita yang luhur jiwanya kerana reda memilih Islam sebagai teras dan tunjang agama di saat kaum kafir Quraisy berterusan menghembuskan kejahilan merata-merata.

 

Saudah bersama para pengikut yang lain daripada Bani Amir melarikan diri dan meninggalkan kampung halaman daripada api kesesatan yang sedang bermaharajalela menuju ke Habsyah. Malang sekali nasib Saudah apabila suaminya tumpas dan akhirnya bertukarlah status beliau sebagai janda.

 

Saudah dinikahi oleh Rasulullah SAW dan kemudian disusuli pula kehadiran Aisyah sebagai madunya. Saudah merupakan seorang wanita yang amat memahami kehadiran Aisyah dan menyayanginya, tidak pernah pun membuat onar sehingga memutuskan hubungan di antara madu-madunya. 

 

Namun, Saudah mengakui usianya yang sedang lanjut dan tua agak sukar mengerjakan sebarang pekerjaan termasuklah dalam urusan hal-hal rumah tangganya. Inilah Saudah binti Zam'ah, wanita yang dikurniakan kelembutan sehingga dia disenangi oleh Aisyah.

 

Terbukti bahawa Saudah binti Zam'ah menjadi isteri yang memiliki keperibadian terbaik apabila beliau memberikan hak gilirannya kepada Aisyah melalui petikan hadis berikut.

 

Daripada Aisyah RA bahawasanya, "Saudah binti Zam'ah, menghibahkan giliran harinya kepada Aisyah. Kerana itu, Nabi ﷺ membahagi harinya untuk Aisyah dan giliran Saudah juga untuknya." (Hadis Riwayat Bukhari [No. 5212] dan Muslim [No. 1463])

 

Dalam riwayat lain menyatakan bahawa Baginda sedang melakukan undian bersama isteri-isterinya. Jika salah seorang terpilih, maka dialah yang akan menjadi teman seperjalanan di sisi Rasulullah SAW. Akan tetapi, Saudah tetap mendahulukan Aisyah.

 

Bahawa Aisyah isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW apabila hendak berpergian, baginda mengundi di antara para isterinya, siapa di antara mereka yang keluar undiannya maka baginda keluar bersamanya. Dan beliau membahagi-bahagikan untuk setiap isteri satu hari satu malam, hanya saja Saudah binti Zam'ah telah memberikan harinya untuk Aisyah. (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 2138]

 

Dalam diri Saudah binti Zam'ah terdapat nilai-nilai positif yang dapat memberikan sumber kekuatan dan inspirasi. Kaum wanita Muslimah diminta dan dituntut mempelajari teknik memperbaiki hubungan suami isteri dan terhadap madu-madu yang lain.

 

Antara pelajaran dalam kisah singkat mengenai Saudah binti Zam'ah ini ialah:

 

1. Poligami yang baik datang daripada sikap toleransi yang wujud dan terbina kerana hasil saling bertolak ansur. Saudah mempunyai sikap sedemikian atas kesedarannya sebagai wanita yang berumur senja.

 

2. Sebahagian berpendapat dalam riwayat Abu daud menyatakan bahawa Saudah memberikan hak giliran kepada Aisyah kerana bimbang diceraikan oleh Rasulullah. 

 

3. Keindahan berpoligami ini terbukti bukan sekadar kerana tanggungjawab suami yang adil tetapi juga disebabkan kelakuan para isteri yang mudah memahami.

 

4. Saudah lebih mendahulukan orang lain berbanding dirinya sendiri. Nyata, beliau ialah wanita yang baik kerana sentiasa itsar atau melebihkan orang lain.

 

5. Islam merupakan agama keselamatan di dunia dan akhirat. Saudah ialah termasuk antara wanita terawal yang memeluk agama Islam.

 

6. Saudah binti Zam'ah wafat pada akhir pemerintahan Umar bin al-Khattab radhiallahuanhu. Pemergiannya menjadi ingatan dan laungan Aisyah yang sering terkesan akan kehebatan dan perilaku Saudah sehinggakan Aisyah memujinya.

 

Daripada oleh Aisyah RA dia berkata, “Tidak ada seorang wanita yang lebih aku sukai sebagai contoh teladan selain Saudah binti Zam'ah, iaitu seorang yang berfikiran tajam.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 1463)

 

Binalah ikatan perkahwinan atas dasar takwa dan ibadah kepada-Nya. Pelajarilah ilmu-ilmu yang melibatkan urusan-urusan poligami dan mengetahui hal-hal yang wajib dilakukan bagi setiap isteri. Perkahwinan Nabi Muhammad SAW menjadi sebaik-baik pedoman dan ikutan bagi pasangan yang hidup berpoligami. Janganlah dicemari keindahan berpoligami disebabkan tindakan manusia yang tidak mengikuti kehendak dan ketetapan dalam beragama.

 

Islam mementingkan keadilan dan menjauhi apa sahaja bentuk penindasan dalam institusi keluarga. Justeru, sekiranya seorang isteri dianiaya, dicederai, tidak diberi nafkah sepanjang tempoh perkahwinan, maka si isteri diminta untuk tampil membela diri. Usah berdiam diri kerana ini merupakan perbuatan daripada suami yang tidak adil. 

 

Poligami itu indah andai disirami dengan pintu-pintu kebaikan. Ianya juga boleh menjadi malapetaka andai disirami dengan pintu-pintu kejahatan. Firman Allah Taala yang bermaksud:

 

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” (Surah An-Nisaa':4)

 

Syuhara Suriati adalah penulis buku, artikel dan resensi buku.

 

Rujukan:

[1] Ringkasan Siyar A'lam An-Nubala hal. 400, Jil 1. Pustaka Azzam. Imam Adz-Dzahabi. Penyusun : Dr. Muhammad Hasan bin Aqil Musa Asy-Syarif.

Read 220 times Last modified on Wednesday, 14 April 2021 18:31

1 Comment

  • Comment Link Syuhara Suriati Wednesday, 14 April 2021 17:04 posted by Syuhara Suriati

    Alhamdulillah..terima kasih. Semoga artikel ini bermanfaat.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd