wrapper

Berita Terkini

الإثنين 8 رمضان 1442   |   Monday 19 April 2021
Wednesday, 03 March 2021 11:34

Lebih takut CCTV daripada Tuhan?

Written by Atriza Umar
Rate this item
(0 votes)

“Benda ini haram, tidak boleh. Maknanya, kalau dia seorang Islam, dia bukan sahaja tipu pengundi, tapi dia juga tipu Tuhan!” tegas Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato' Hussamuddin Yaacub.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton mengenai isu ADUN dan Ahli Parlimen yang melompat parti dalam program Bicara Bina Negara ‘Hapuskan Rantaian RASUAH’ anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Sinar Harian pada 1 Mac lalu.

 

Sedarkah kita dengan isu yang macam ‘virus’ yang terjadi lagi baru-baru ini dalam politik negara kita? Setelah seorang wakil rakyat melompat parti, seorang dan seorang lagi pun berbuat tingkah yang sama hingga mencalarkan imej parti yang telah dimenanginya dalam pilihan raya umum (PRU) lalu. Sungguh jelek sekali!

 

Kerana kepentingan diri, mereka sanggup menuding bermacam-macam terhadap parti yang telah memenangkannya demi untuk ‘melompat’ ke parti yang lain.

 

Boleh sahaja untuk kita sebagai rakyat tidak ambil peduli, namun sebenarnya isu itu perlu juga kita ketahui. Ia adalah berkaitan tentang integriti dan juga akhlak atau adab sebagai seorang yang telah dipilih rakyat ketika pilihan raya.

 

Sampai bila ia akan berterusan begini? Walaupun terdapat aku janji sebagai wakil rakyat, membawa suara-suara rakyat ketika PRU lalu, namun setelah ‘tidak suka’ dengan parti sendiri atau ‘ditawarkan’ sesuatu daripada parti yang lain, ia pun meninggalkannya tanpa rasa bersalah.

 

Menegakkan benang yang basah

 

Amanah dan tanggungjawab terhadap parti perlu dijadikan pegangan kepada setiap pemimpin yang dipilih rakyat. Bukan semudah kata, jika suka bersama, jika tidak suka ditinggal, dibiarkan saja.

 

Sebagaimana kata Dato' Hussamuddin dalam program tersebut, mereka lebih takut lagi dengan CCTV daripada Tuhan. Situasi ini perlu dibendung dengan lebih awal dan terperinci oleh setiap parti agar isu seperti ini tidak terjadi lagi.

 

Sedarlah wahai yang berhormat sekalian, apa yang dilakukan itu jelas bertentangan dengan etika seorang Islam apalagi integriti sebagai seorang yang dipilih rakyat.

 

Sewajarnya perkara ini tidak berlaku. Walaupun terdapat pergeseran dalam parti yang disertai, tanganilah dengan hikmah dan rasional, bukan ‘lompat’ ke parti yang lain dengan meninggalkan jutaan tanda tanya daripada rakyat serta pelbagai persepsi dan telahan di pihak parti yang ditinggalkan.

 

Sangat menjijikkan

 

Kudis lompat parti dalam kalangan ahli politik ini adalah amat menjijikkan kerana ia boleh menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat sama ada di peringkat pusat mahupun negeri, jatuh.

 

Tanpa ada rasa bersalah kepada rakyat apalagi kepada Tuhannya, mereka lakukan demikian.

 

Kononnya pelbagai hujah yang ingin membenarkan diri mereka ketika melakukan tindakan yang jahat itu. Seperti peribahasa yang mengatakan, “menegakkan benang yang basah”.

 

Kalau orang yang percaya kepada Tuhan, takut kepada Tuhan, apabila menjadi wakil rakyat, dia tidak akan lompat parti. Ini kerana dirinya dapat jawatan itu kerana amanah. Jadi ia tidak boleh dipersia-siakan, ia amanah yang diserahkan kepadanya oleh rakyat dan merupakan tanggungjawabnya.

 

Tinggalkanlah juga kerusi yang dimenangi

 

Sepatutnya apabila ia meninggalkan parti yang memilih dan mengangkatnya sebagai wakil rakyat, mereka perlulah meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kerusi Parlimen yang dimenanginya.

 

Ini tidak, mereka membawanya bersama tanpa ada rasa malu. Sedarlah para wakil rakyat yang telah berbuat demikian.

 

Fenomena ini bukanlah baru terjadi. Ia telah berlaku di negara kita ini dengan rancaknya. Apalagi sejak tragedi yang mencemarkan politik Malaysia,  Langkah Sheraton pada Februari 2020 hingga tersungkurnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

 

Ia seterusnya merebak pula ke beberapa negeri seperti Melaka, Kedah dan Johor hingga menyebabkan kerajaan negeri-negeri tersebut jatuh ke tangan kerajaan yang memerintah kini.

 

Di mana suara dan #HerdikanSosial rakyat terhadap yang berhormat lari membawa sekali kerusi yang dimenangi?

 

Ayuh kita tegaskan, kita tolak politik yang jahat sebegini, tidak kira daripada parti apa pun.

Read 145 times Last modified on Wednesday, 03 March 2021 17:22

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd