wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 ربيع الثاني 1442   |   Wednesday 25 November 2020
Thursday, 29 October 2020 15:56

Renungan Maulid musim pandemik

Written by Awang Ilham
Rate this item
(1 Vote)


Hak asasi manusia di bawah panji Kebebasan

Pembunuhan Samuel Paty, seorang guru sejarah di Perancis pada 16 Oktober 2020 rentetan daripada keputusannya menayangkan imej karikatur Nabi Muhammad SAW sewaktu pengajaran subjek Kebebasan Bersuara telah menyaksikan respons keras kerajaan Perancis terhadap warganegara mereka yang beragama Islam.

Komuniti Muslim di Perancis kini sedang berdepan dengan tindakan kerajaannya, dengan siri-siri serbuan oleh pihak berkuasa untuk mencari suspek ekstremis Islam, penutupan masjid-masjid utama dan penamatan operasi beberapa kumpulan kebajikan Islam.

 

Kartun-kartun Charlie Hebdo turut dipancarkan ke bangunan-bangunan utama sekitar Perancis atas semangat solidariti terhadap Samuel Paty dan meraikan kebebasan bersuara.

 

Pada masa yang sama, China sedang berusaha keras menafikan tuduhan dan dakwaan komuniti global terhadap jenayah yang sedang dilakukan terhadap Muslim Uighur di daerah Xinjiang.

 

Beberapa orang senator di Amerika Syarikat (AS) pula sedang berusaha mengeluarkan resolusi Senat untuk mengklasifikasikan tindakan kerajaan China sebagai pembunuhan beramai-ramai (genocide) yang akan memberi kesan terhadap hubungan AS dan China.

 

Laporan-laporan media utama dunia serta kumpulan hak asasi manusia mencatatkan hampir sejuta orang Muslim Uighur telah menjadi tahanan di kem-kem ‘pemulihan’ atas alasan ‘pendidikan semula’ atau ‘pendidikan vokasional’.

 

Atas nama ‘memerangi ekstremisme’, pemantauan dan serbuan oleh pihak berkuasa dilakukan di samping pengumpulan sampel DNA, rampasan pasport dan penggunaan teknologi untuk mengikuti rutin harian mereka.

 

Apa yang berlaku di Perancis dan China merupakan ‘sekelumit anekdot’ daripada senarai panjang penindasan yang terpaksa dilalui oleh Muslim di setiap belahan dunia di samping contoh-contoh kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin sejak tahun 1948 ataupun pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya sejak 2017.

 

Mencicip nikmat demokrasi di dunia Islam 

Demokrasi dan kebebasan di dunia Islam juga tidak lekang dengan cabaran-cabaran tersendiri. Kita sudah tentu boleh mengimbau bagaimana nuansa demokrasi yang dinikmati oleh rakyat Mesir selama setahun telah dirobek oleh rampasan kuasa tentera diketuai As-Sisi pada tahun 2013.

 

Julai 2016 mencatatkan, Erdogan di Turki juga hampir tersungkur oleh rampasan kuasa tentera yang digagalkan oleh rakyatnya sendiri. Ulama pembaharuan Saudi, Dr Salman Audah sedang berhadapan dengan hukuman mati atas tuduhan terlibat dengan gerakan anti-kerajaan manakala Jamal Kashoggi,  jurnalis Saudi yang lantang mengkritik polisi-polisi Saudi telah menemui ajal di Kedutaan Saudi di Istanbul, Turki.

 

Di Malaysia, pensejajaran politik pada Februari 2020 telah menyebabkan kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri bertukar tampuk pemerintahan.

 

Ketidakstabilan kerajaan akibat majoriti tipis blok pemerintah yang telah berlanjutan dilihat memberi kesan yang besar dari sudut keyakinan rakyat bagi mengharungi pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta isu sara hidup seharian.

 

Menggali pengajaran daripada Muhammad SAW 

Melakukan refleksi terhadap apa yang berlaku kepada dunia secara umum dan dunia Islam secara khusus, tidakkah pernah terlintas dalam fikiran kita mengenai persoalan, “Apakah yang telah Nabi Muhammad SAW ajarkan supaya kita dapat bertindak dalam situasi sebegini?”

 

Sebagai seorang Nabi yang telah diturunkan dengan membawa rahmah untuk sekalian alam (rahmatan ‘lil ‘alamin) yang lengkap dan menyeluruh mencakupi segala aspek kehidupan dunia dan akhirat, sudah tentu bergunung pengajaran yang boleh kita ambil sepanjang 23 tahun tempoh kerasulan baginda.

 

Sebagai seorang Muslim, beriman bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir Allah adalah pelengkap kepada dua ikrar kesaksian setelah lafaz mengesakan Allah sebagai satu-satunya Tuhan.

 

Mencintai Nabi SAW pula melangkaui bukan sekadar mengambil simbol-simbol keagamaan untuk dipamerkan akan tetapi turut memberikan keutamaan memahami intisari ajaran baginda dan menterjemahkannya dalam bentuk yang praktikal.

 

Kesenjangan antara memahami konsep-konsep ajaran agama dan perlaksanaannya secara praktikal ini disinggung oleh Sayyid Qutb dalam halaman pengenalan tulisannya yang terkenal iaitu ‘Petunjuk Sepanjang Jalan’ (Milestones).

 

Salah satu peranan yang dimainkan oleh Nabi Muhammad SAW sepanjang tempoh kerasulannya adalah memimpin. Bahkan peranan ini sudah mula dipupuk sejak sebelum baginda diangkat menjadi seorang Rasul dan teladan ini diteruskan oleh Khalifah Ar-Rasyidin.

 

Penjelasan panjang mengenai aspek ini telah banyak dikupas oleh ratusan jika tidak ribuan ilmuan baik dari Timur dan Barat.

 

Oleh kerana kepimpinan merupakan satu keperluan universal yang dituntut ke atas setiap Muslim mengikut kapasiti dan posisi masing-masing, adalah lebih baik kita mula mengguna pakai cara fikir (mindset) sebagai pemimpin yang aktif mencari solusi kepada permasalahan kehidupan dan pada masa yang sama membentuk kecekapan (competency) dan kejujuran (integrity) secara bertahap (gradual).

 

Dalam menyelesaikan masalah yang semakin kompleks ini, pendekatan dan polisi yang tepat serta pelaksanaan yang berkesan menjadi satu keutamaan yang perlu diberikan perhatian selain ‘strategic fit’ yang turut memainkan peranan penting.

 

Umumnya, terdapat contoh-contoh tertentu yang dapat kita pelajari daripada kepimpinan Nabi Muhammad SAW, antaranya pemilihan (atau tidak memilih) sahabat baginda untuk dihantar menjadi duta-duta dan panglima perang.

 

Bagi mencapai tujuan ini, metodologi yang efektif perlu dimanfaatkan dengan mengadunkan proses pendidikan yang didokong oleh tenaga pendidik yang berkualiti, generasi baru yang bersedia (talent pool) untuk melalui proses pendidikan tersebut serta ekosistem yang meraikan pendekatan ini.

 

Kesimpulan 

Memperingati Maulidur Rasul dalam suasana pandemik sudah tentu sambutannya tidak seperti tempoh normal. Namun, ia memberikan sedikit ruang untuk kita menilai kembali dan bermuhasabah, adakah kita memperingati Nabi Muhammad SAW dengan memberikan fokus kepada esensinya atau sekadar hanya sambutan tahunan. Salam Maulid.

 

Awang Ilham

        

Read 203 times Last modified on Thursday, 29 October 2020 16:08

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!