wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 3 ربيع الأوّل 1439   |   Wednesday November 22 2017
Thursday, 17 August 2017 00:00

Hari Terbaik Di Dunia

Rate this item
(1 Vote)

Menjelang bulan Zulhijjah yang bakal tiba beberapa hari saja lagi, eloklah kita saling ingat mengingati bahawa 10 hari terawal daripada Zulhijjah merupakan hari terbaik di dunia, hari paling afdhal di sisi Allah 'Azza wa Jalla.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA bahawasanya Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

“Amal soleh yang paling disukai Allah ialah amalan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya pada hari-hari ini (10 hari pertama bulan Zulhijjah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikit pun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah).”

Daripada Jabir bin Abdullah RA, dia berkata bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya: “Hari yang paling afdhal di dunia ialah hari-hari 10, iaitu 10 hari (yang pertama) bulan Zulhijjah.” (Hadith dikeluarkan oleh al-Bazzar. Menurut al-Haitsami, rawi-rawinya tsiqah)

Salah satu daripada 10 hari tersebut adalah Hari 'Arafah. Ketika para tetamu Allah SWT sedang berwuquf di 'Arafah, mereka yang tidak berpeluang untuk sama-sama berwuquf disunatkan berpuasa.

Daripada Abi Qatadah RA, Nabi Salallahu Alaihi Wasallam ditanya tentang puasa pada Hari ‘Arafah. Baginda menjawab maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu, dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Muslim)

Dan pada hari ke-10 pula (serta hari ke 11, 12 dan 13) disunatkan menyembelih binatang korban bagi mereka yang berkemampuan.

Diriwayatkan bahawa baginda Salallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada hari Nahar ialah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan-haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk-tanduk, kuku-kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka laksanakanlah korban dengan sepenuh hatimu.” (Hadith Riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Dalam hadith yang lain, para sahabat RA bertanya Nabi Salallahu Alaihi Wasallam:

“Apakah maksud ibadah korban ini?” Baginda Salallahu Alaihi Wasallam menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita perolehi daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu-bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu-bulu yang halus itu satu kebaikan.” (Hadith Riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Selain daripada puasa pada Hari 'Arafah (hari ke-9) dan korban pada Hari Nahar (hari ke-10), hari-hari lain bermula daripada 1 Zulhijjah wajar dimanfaatkan sebaik-sebaiknya dengan pelbagai amal soleh sama ada yang wajib mahupun sunat seperti solat, puasa, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik, melarang berbuat jahat dan banyak lagi.

Yang penting dan utama, tanamkan azam dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana jua dan pada bila-bila masa. Apabila telah tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.

Penulis: Ustazah Maznah Daud

Read 790 times Last modified on Thursday, 17 August 2017 10:25

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd