Print this page
Saturday, 04 June 2016 08:00

Hentikan Jenayah Pedofilia, Tingkatkan Kepekaan

Rate this item
(0 votes)

Hentikan Jenayah Pedofilia

Di kemeriahan musim cuti persekolahan pertengahan tahun, media utama kembali hangat dengan berita yang menggemparkan seluruh negara apabila seorang pedofilia warga Britain, Richard Huckle mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia dari kalangan keluarga miskin yang tinggal di pinggir Kuala Lumpur. Mangsa yang terdiri dari hampir 200 kanak-kanak dari usia seawal 6 bulan sehingga 12 tahun dilaporkan mengalami serangan dan penderaan seksual melibatkan rogol dan pencabulan di antara tahun 2005 hingga 2014. Huckle dilaporkan mengambil gambar dan rakaman video dirinya mendera kanak-kanak secara seksual yang kemudiannya dimuat naik ke laman sesawang gelap yang mempunyai komuniti pedofilia atas talian melibatkan 70,000 ahli di seluruh dunia. Lebih 20,000 imej tidak senonoh membabitkan kanak-kanak telah ditemui di dalam komputer milik beliau.

Wanita Ikram Wilayah Persekutuan melalui Unit Pembangunan dan Pembelaan Kanak-Kanak memandang serius jenayah pedofilia yang sangat membimbangkan ini.Tiada peruntukan hukuman berat untuk jenayah pedofilia dalam perundangan di Malaysia menjadikan jenayah ini semakin berleluasa. Akta Kanak-Kanak 2001 tidak menyatakan secara jelas sebarang peruntukan untuk melindungi kanak-kanak dari jenayah pedofilia. Perkara 17(2) (c) Akta Kanak--Kanak 2001 menyatakan bahawa kanak-kanak yang teraniaya dari segi seks atau terlibat dalam apa-apa aktiviti berunsur seks harus diberikan perlindungan. Namun tidak dinyatakan bagaimana pencegahan harus dibuat supaya jenayah ini dapat dihindarkan.

Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan prihatin terhadap situasi ini dan ingin menyarankan beberapa tindakan berikut:

  1.  Meminda Akta Kanak-Kanak 2001 dengan menambah peruntukan untuk melindungi kanak-kanak dari jenayah pedofilia. Pelaku yang disabitkan dengan jenayah pedofilia ini perlu dikekang oleh undang-undang daripada berurusan atau bekerja di tempat yang melibatkan kanak-kanak seperti pusat penjagaan, institusi pendidikan dan taman-taman rekreasi.
  2. Meningkatkan kawalan sekuriti siber dengan mewujudkan pasukan polis siber yang mengawasi secara serius dan mengambil tindakan terhadap laman sesawang lucah yang mengeksploitasi kanak-kanak.
  3. Menyediakan sistem sokongan yang padu, kaunseling dan tempat perlindungan yang selamat untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa.
  4. Menitik beratkan pendidikan tentang ruang peribadi (personal space) dan sentuhan selamat serta tidak selamat (safe and unsafe touch) yang perlu difahami dengan jelas oleh kanak-kanak bermula di alam pra-sekolah lagi.
  5. Meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa, penjaga dan guru tentang bahaya yang mungkin menimpa kanak-kanak dibawah pengawasan mereka, dengan sentiasa berwaspada dan prihatin terhadap tingkahlaku di luar kebiasaan kanak-kanak.
  6. Mewujudkan pelan pemulihan (rehabilitasi) dan kaunseling untuk pesalah yang terlibat di dalam jenayah seksual kanak-kanak agar jenayah ini tidak diulangi lagi oleh pelaku.

Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan melalui inisiatif ‘Mothers Against Pornography’ (MAP) bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi merangka modul pendidikan ‘Rahsia Peribadi’ untuk kanak-kanak sebagai langkah pencegahan dan keselamatan. Usahasama yang kemas dan bersepadu di antara kerajaan dan badan bukan kerajaan akan membantu mengawal jenayah ini dari terus menular.

Sudah tiba masanya untuk setiap pihak melihat secara serius isu jenayah pedofilia yang sungguh mencemaskan ini. Mengambil langkah menghentikan jenayah yang menjijikkan ini adalah tanggungjawab dan urusan semua pihak. Sejauh mana sesebuah masyarakat itu memelihara keselamatan kanak-kanak dan melindungi mereka melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan sejauh mana masyarakat tersebut menghargai dan menyayangi kanak-kanak. Semoga bumi Malaysia ini selamat dan terhindar dari sebarang bentuk keganasan khususnya terhadap kanak-kanak selaku golongan yang tidak berdaya.


Hjh Susilawati Hamzah
Ketua Wanita
Wanita Ikram Wilayah Persekutuan
3 Jun 2016

Read 2901 times

Related items

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd