wrapper

Berita Terkini

الإثنين 24 المحرّم 1441   |   Monday 23 September 2019
Tuesday, 10 September 2019 11:23

4 persoalan isu kempen 'Buy Muslim First'

Written by
Rate this item
(0 votes)

Perkataan kempen amat sinonim dengan masyarakat Malaysia. Setiap tahun pelbagai kempen dilakukan bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat. Kempen 'Cintai Sungai Kita' dilancarkan sewaktu hidupan akuatik nazak dek kerana sikap manusia sehingga matinya penyu akibat tertelan beg plastik. 

Kempen 'Berhati-Hati di Jalan Raya' ingin menyedarkan masyarakat yang sibuk berhari raya, kempen 'Tanpa Beg Plastik' konon menyelamatkan alam sekitar bertukar kepada kempen beli beg plastik yang hanya menguntungkan perniaga.

Senaraikanlah 1,001 kempen sekalipun, akhirnya kempen hanya tinggal kempen. Jika kita lihat, setiap kempen ini mempunyai tujuan yang murni. Namun, natijahnya tidak seindah yang dijangka. Sebab itu, apabila Malaysia digemparkan dengan kempen 'Buy Muslim First', penulis berpendapat kita perlu meneliti kesan dan kewajaran perkara tersebut dilakukan.

Jangan sampai 'pisang berbuah dua kali', kita pernah melaungkan kempen boikot McDonald’s suatu ketika dahulu. Kini, kita orang pertama beratur sewaktu McDonald’s mengadakan promosi. Penulis secara peribadi bersetuju dengan jenama 'Buy Muslim First' (BMF) tanpa memboikot produk non-Muslim. Konotasi sebegini lebih mesra dalam keadaan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Kempen bukan hanya berdasarkan semangat semata-mata. Kempen perlu berobjektif dan membuahkan hasil. Kehidupan pelbagai bangsa ini perlu diurus seperti 'menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berselerak'. Oleh itu, suka untuk penulis melontarkan empat persoalan sebagai renungan kita bersama dalam mendepani isu tersebut.

1. Kenapa kita perlu 'Buy Muslim First' (BMF)?

Secara umumnya, BMF bertujuan untuk pembangunan ekonomi Muslim. Hipotesis mudahnya ialah semakin ramai Muslim yang kaya, semakin banyak zakat yang dikeluarkan, semakin ramai golongan asnaf yang dapat dibantu. Perkara ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW, daripada Abdullah bin Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menegaskan agama Islam mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, kita bersaudara dengan pertalian akidah. Bukan itu sahaja, hadis ini turut menjelaskan kewajiban dan tanggungjawab Muslim untuk membantu Muslim yang lain.

Di sinilah kita akan lihat objektif mengapa ingin mengutamakan produk Muslim demi membantu ekonomi Muslim. Jika kita mengutamakan atas sebab ingin membantu Muslim berdasarkan hadis ini, barulah semangat kempen itu berkekalan, tidaklah seperti 'hangat-hangat tahi ayam sahaja'. Malah, jika kita lihat statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pada Disember 2017, penguasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Melayu hanya 37 peratus daripada 548,267 PKS di Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, 88.3 peratus daripadanya hanya terlibat dalam sektor mikro, 10.5 peratus lagi bersaiz kecil dan baki 1.2 peratus bersaiz sederhana. Dengan mengutamakan produk Muslim kita mengharapkan penguasaan ekonomi Muslim boleh meningkat.

2. Kenapa tidak boikot produk non-Muslim?

Sebut memang mudah tetapi secara praktikalnya hampir mustahil. Hal ini kerana majoriti produk di pasaran ialah milik non-Muslim, malah produk-produk tersebut mendapat status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Januari 2018 menyaksikan bumiputera ketinggalan dalam perniagaan francais. Keseluruhannya, bukan bumiputera mendaftar 628 perniagaan francais berbanding hanya 236 bumiputera.

Daripada statistik ini, kita boleh lihat perkembangan perniagaan non-Muslim dua kali ganda lebih tinggi daripada Muslim. Tindakan memboikot produk non-Muslim seolah-olah kita mengisytiharkan perang ekonomi kepada non-Muslim sedangkan kita juga tidak mempunyai kekuatan ekonomi yang kukuh.

Kita perlu juga berfikir dari segi peluang pekerjaan. Syarikat non-Muslim ini juga mengambil pekerja daripada golongan Melayu Muslim. Tindakan memboikot ini akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada masyarakat kita sendiri. Kerisauan penulis apabila respons balas syarikat non-Muslim seperti memberhentikan pekerja Muslim.

Jika berlarutan sehingga ke tahap itu, maka benarlah kata pepatah 'sudah jatuh ditimpa tangga', sudahlah ekonomi Muslim tidak berkembang, pekerja Muslim pula terpaksa berhenti kerana persepsi negatif masyarakat kepada mereka yang bekerja dengan non-Muslim.

3. Apakah kesan jika masyarakat terus memboikot produk non-Muslim?

Jika tindakan boikot ini terus berlaku maka akan wujud keadaan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Ketegangan antara kaum boleh berlaku secara tidak sedar sehingga menyempitkan ruang dakwah kita terhadap non-Muslim. Selama ini pengguna bebas untuk memilih sesuatu produk berdasarkan kemampuan dan keinginan tersendiri.

Apabila kita memboikot produk non-Muslim, secara tidak langsung akan menyukarkan urusan seharian kita. Hal ini demikian kerana kebanyakan produk yang kita guna dikeluarkan oleh non-Muslim dan lebih malang tidak ada syarikat Muslim yang mengeluarkan produk tersebut.

4. Apakah langkah ke hadapan bagi masyarakat Muslim?

Bagi meningkatkan ekonomi Muslim kita boleh untuk bersama berganding bahu menyokong produk Muslim. Perkara yang perlu dilakukan ialah mengutamakan produk Muslim tanpa memboikot produk non-MuslimSebagai contoh, jika terdapat produk milik Muslim dan non-Muslim maka belilah produk Muslim. Jika produk tersebut tidak dikeluarkan oleh Muslim, maka belilah produk non-Muslim.

Daripada kita memboikot produk non-Muslim, lebih baik kita menerangkan kepada masyarakat apa bagus dan baiknya produk keluaran Muslim. Kita selalu mencari buruk orang sehingga terlupa pada diri sendiri. Produk Muslim perlulah berkualiti dan mempunyai harga yang berpatutan. Jika produk Muslim tidak berkualiti, dijual pula dengan harga yang tinggi, sudah pasti masyarakat akan membeli produk non-Muslim yang jauh lebih baik.

Perkara seperti hasrat dengki sesama perniaga Muslim juga perlu dibuang jika ingin maju ke hadapan. Perniaga Muslim juga seharusnya saling membantu sesama mereka dalam perniagaan supaya boleh berkembang maju. Semua pihak perlu mengikut setiap garis panduan dalam urusan perniagaan seperti yang telah ditentukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan juga prosedur halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengguna juga perlu memainkan peranan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana perniaga yang melakukan kesalahan dalam urusan perniagaan. Dalam keadaan kita mempromosikan produk Muslim, kita juga perlu memperkemaskan akhlak dan adab perniaga Muslim. Perniaga Muslim perlu ke hadapan dalam menjaga hak-hak pengguna seperti:

1. Hak mendapatkan keperluan asas
2. Hak untuk membuat pilihan
3. Hak untuk mendapatkan maklumat
4. Hak untuk mendapatkan ganti rugi
5. Hak untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang selamat
6. Hak untuk menyuarakan pendapat
7. Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna dan
8. Hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat

Penjagaan lapan hak pengguna ini akan menyebabkan produk Muslim menjadi pilihan pengguna di Malaysia.

Kesimpulannya, mari kita kembali kepada akar yang mendasari perbincangan kempen 'Buy Muslim First'. Perkara ini penting, terutama matlamat atau objektif yang kita ingin capai daripada kempen tersebut. Kita perlu renungkan, adakah objektif kempen ini untuk memajukan perniagaan orang Islam? Atau objektifnya untuk menjadikan perniagaan non-Muslim gulung tikar? Atau sekadar semangat tanpa sebarang hala tuju yang jelas?

Ingatlah, mencari yang halal itu wajib bagi seorang Muslim seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (al-Baqarah: 168).

Namun, dalam kita mencari yang halal, jangan sampai kita mewujudkan permusuhan sesama manusia. Bertindaklah dengan hikmah terhadap semua perkara bertepatan dengan ajaran Islam itu sendiri yang bersifat rahmah kepada semua.

Mohd Hafiz Abd Hamid
Ketua IKRAM Muda Pusat

Kredit foto: https://images.app.goo.gl/SYLvkVM2xtYoxcJc6

Read 850 times Last modified on Tuesday, 10 September 2019 11:51

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd