wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 14 ذو القعدة 1440   |   Tuesday 16 July 2019
Thursday, 27 December 2018 00:00

Uighur, Apa Cerita?

Written by Syed Radhi
Rate this item
(5 votes)
(Uighur - ‘Wi-ger’)
 
Semalam kami berpeluang mendengar taklimat berhubung krisis yang dihadapi oleh etnik Uighur di China oleh seorang yang terkesan secara langsung dengan krisis ini.
Beliau amat berhati-hati tidak mahu identitinya didedahkan atas soal keselamatan terutama kerana keluarganya masih berada di China. Sekiranya beliau diketahui oleh kerajaan China, beliau akan dihantar pulang dan nasibnya di sana tidak akan diketahui.
 
Tambahan pula sikap kerajaan Malaysia di bawah bekas PM DS Najib dulu sangat tidak membantu sebaliknya menyebelahi kerajaan China. Mungkin dalam usaha untuk ‘berbaik’ dengan China, kerajaan Malaysia terdahulu atas permintaan China telah menghantar pulang etnik Uighur yang lari ke sini.
 
Pada September 2017, DS Zahid Hamidi mendedahkan Malaysia telah menghantar pulang secara senyap-senyap 29 orang etnik Uighur ke China sejak 2011 kerana disyaki ‘terlibat dengan keganasan dan ISIS’, satu alasan yang sering diguna pakai oleh kerajaan China untuk menindas umat Islam.
 
Pendedahan ini dibuat semasa lawatan beliau ke Beijing dan tidak disebut dalam kebanyakan media perdana Malaysia pada masa itu. DS Zahid berbangga mengatakan China memuji Malaysia atas tindakan ini.
 
 
 
Sekali lagi apabila 11 orang etnik Uighur ditahan di Malaysia pada November 2017 selepas melarikan diri melalui Thailand, DS Zahid menegaskan mereka mesti dihantar pulang ke China demi menghormati perjanjian dengan China.
 
Pelbagai pihak termasuk bekas duta Malaysia ke China Datuk Dennis Ignatius dan Human Right Watch merayu agar mereka tidak dihantar pulang kerana berkemungkinan besar mereka akan dipenjara dan diseksa atau dibunuh.
 
 
Takdir menyebelahi mereka apabila kerajaan Malaysia bertukar sebelum sempat mereka dihantar pulang. Pada 10 Oktober 2018, kerajaan Malaysia Baru menggugurkan tuduhan keatas 11 orang etnik Uighur tersebut sekali gus menolak kehendak China supaya mereka dihantar pulang.
 
Walaupun tindakan ini mengundang kemarahan China, Tun Mahathir berkata “Mereka tidak membuat apa-apa kesalahan di negara ini.” Tun M dan kerajaan mengutamakan hak umat Islam Uighur walaupun diancam China.
 
Walaupun kerajaan baru memberi harapan lebih baik kepada mereka, rakan yang menziarahi kami semalam masih berhati-hati dan belum bersedia untuk keluar secara terbuka kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa, terutama keluarga di kampung.
 
Siapa Uighur?
 
Uighur adalah salah satu etnik bangsa Cina yang mendiami daerah Xinjiang di barat China. Bersebelahan dengan negeri-negeri di selatan Rusia seperti Kyrgyztan dan Tajikistan yang mempunyai ramai penganut Islam, etnik Uighur adalah hampir 100% beragama Islam.
 
Secara rasmi terdapat 20 juta umat Islam di China dan lebih separuh (11 juta) adalah orang Uighur. Mungkin angka sebenar lebih ramai termasuk yang baru memeluk Islam dan yang tidak mengisytiharkan keIslaman mereka atas sebab keselamatan dan mengelak diskriminasi.
 
The Turkish Connection
 
Walaupun Islam dipercayai telah sampai ke China sejak zaman para sahabat RA, penerimaan Islam secara besar-besaran oleh orang Uighur dipercayai sekitar abad ke 10 hingga 12 Masihi melalui pendakwah-pendakwah Turki, sepertimana selatan Rusia menerima Islam.
 
Sebab itulah sehingga hari ini, masih banyak persamaan dalam budaya Turki dan orang Uighur. Menurut rakan kami semalam, 70% bahasa Uighur menyamai bahasa Turki dan beliau memahami bahasa Turki walaupun tidak dapat bercakap dengan fasih.
 
Sebab itu jugalah dalam krisis Uighur pada hari ini, kerajaan Turki menerima secara terbuka orang Uighur yang lari ke Turki sebagai sebahagian rakyat mereka. Kesebelas orang etnik Uighur yang dibebaskan Oktober lalu dihantar dan mendapat perlindungan di Turki.
 
Krisis umat Islam di bumi China
 
Krisis etnik Uighur khususnya dan umat Islam di China amnya, bukanlah suatu yang baru berlaku setahun-dua ini. Proses untuk ‘meneutralkan’ pengaruh agama dan budaya Islam dalam masyarakat China telah lama berlaku. Bahkan bukan Islam sahaja, agama lain juga menerima nasib yang sama sepertimana yang berlaku kepada pemimpin Buddha Tibet, Dalai Lama dan penganutnya.
 
Kerajaan China telah hampir berjaya mengekang pengaruh Dalai Lama dan orang yang sama menjadi ‘mastermind’ menentang Dalai Lama kini dipercayai mengepalai operasi terhadap etnik Uighur secara sistematik dan besar-besaran. Sekiranya ia berjaya di Xinjiang, kemungkinan ia akan dilaksanakan kepada umat Islam di kawasan lain di China.
 
Ribuan keturunan Han dibawa masuk di Xinjiang untuk menukar demografi yang selama ini majoritinya penduduk Islam Uighur dan ini telah membawa kepada kekacauan kaum pada 2009 di Urumqi, ibu negeri Xinjiang yang membunuh 197 orang.
 
Umat Islam Uighur mula merasakan mereka dianak tiri, didiskriminasi, layanan yang tidak adil, peluang kerja disekat, penghijrahan orang Han secara berleluasa dan kebebasan beragama yang semakin disekat.
 
Bermula daripada protes aman, ia bertukar menjadi ganas. Inilah bahaya bermain dengan api perkauman dan adu domba. Ia seolah tindak balas semulajadi kepada sesiapa sahaja, majoriti atau minoriti apabila hak dan keadilan dinafikan.
 
Memang terdapat segelintir kecil ‘golongan pemisah’ Uighur yang mahu Xinjiang keluar dari China tetapi ianya tidak diterima oleh masyarakat umum Uighur. Itu dijadikan alasan oleh kerajaan China untuk menahan etnik Uighur secara besar-besaran.
 
Terkini Uighur
 
Isu Uighur mula mengambil tempat kembali di media antarabangsa apabila seorang wanita Uighur, Mihrigul Tursun mula mendedahkan secara terbuka bagaimana beliau ditangkap dan diseksa di penjara China antara tahun 2015 hingga 2018.
 
Diringkaskan, Mihrigul Tursun pergi ke Mesir pada 2011 untuk melanjutkan pelajaran. Beliau kemudian berkahwin dengan pemuda Mesir dan dikurniakan anak kembar tiga. Pada 2015, beliau pulang ke China membawa tiga anaknya yang baru berusia dua bulan.
 
Sebaik sampai di China dia ditangkap, dipenjara di kem tahanan dan dipisahkan daripada tiga anaknya. Tiga bulan kemudian dia dibebaskan kerana dikatakan anaknya sakit. Beliau keluar menemui seorang anaknya seorang mati dan dua lagi sakit.
 
Pada 2017, Mihrigul ditahan lagi selama tiga bulan; disoal siasat dan diseksa, kemudian dilepaskan kerana sentiasa sakit dan tidak sedarkan diri. Pada Januari 2018 beliau ditahan lagi, dipenjara, dibogelkan dan diseksa. Tiga bulan kemudian dibebaskan selepas menandatangani pengakuan taat setia kepada China dan menafikan pernah ditahan dan diseksa.
 
 
 
Anak-anaknya yang dilahirkan di Mesir berkerakyatan Mesir menyebabkan kerajaan Mesir meminta dibawa pulang selepas ditekan. Mihrigul ke Mesir dengan janji akan pulang ke China dengan ugutan, jika tidak, keluarganya akan menerima padah.
 
Tetapi beliau mengambil keputusan untuk lari ke Amerika Syarikat pada September 2018 dan mendedahkan apa yang berlaku kepada media dan kewujudan ratusan kem-kem yang menahan ratusan ribu etnik Islam Uighur. Mereka di’brainwash’ dan ‘diprogram’ semula untuk meninggalkan amalan dan budaya Islam dan diserapkan budaya kebangsaan China. Jika menentang, mereka diseksa.
 
Selama ini China menafikan kewujudan kem-kem tahanan tetapi terpaksa mengakuinya selepas pendedahan ini tetapi mengatakan ianya adalah ‘pusat-pusat latihan vokasional’ yang mengajar kemahiran kepada etnik Uighur agar mereka boleh mencari kerja dengan lebih baik.
 
Apa kita boleh buat?
 
Etnik Uighur tidak memerlukan ‘bantuan kemanusiaan’ dalam bentuk makanan atau pakaian. Tetapi mereka memerlukan bantuan kemanusiaan untuk membolehkan mereka hidup secara aman, bebas mengamalkan agama, tidak dianaktirikan bahkan mereka ingin menjadi rakyat China yang baik.
 
Mendedahkan dan memberi kesedaran terhadap apa yang berlaku adalah langkah pertama yang boleh kita lakukan agar kita cakna sama ada atas dasar kemanusiaan apalagi atas dasar persaudaraan Islam dan tanggungjawab agama. Samada secara berkumpulan, NGO bahkan kerajaan boleh memberi pelbagai tekanan kepada kerajaan China agar menghentikan penindasan ini serta-merta.
 
Etnik Uighur di Malaysia tidak ramai dan kebanyakan mereka tidak akan mengaku mereka Uighur secara terbuka demi keselamatan. Tetapi mereka akan menghadapi masalah over-stay. Apabila pasport mereka tamat, kedutaan tidak akan menyambung paspot mereka bahkan dihantar pulang.
 
Tanpa pasport dan visa, mereka menjadi pendatang tanpa izin. Mereka juga tidak akan mendapat kemudahan kesihatan atau pelajaran untuk anak-anak mereka. Kerajaan harus peka dengan keadaan ini dan memberi jalan keluar demi keselamatan mereka.
 
Ar Hj Syed Muhammad Radhi Syed Sakkaf
Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
9 Disember 2018
Read 4981 times Last modified on Friday, 28 December 2018 12:17

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!