wrapper

Berita Terkini

الإثنين 11 صفر 1440   |   Monday October 22 2018
Monday, 02 April 2018 00:00

Jadilah wanita yang melakar perubahan

Written by  Hafidzah Mustakim
Rate this item
(1 Vote)

Abraham Lincoln (Presiden Amerika Syarikat ke-16) menghuraikan maksud demokrasi sebagai “Dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”. Namun, demokrasi dipandang biasa oleh kebanyakan orang.

Ramai yang berpandangan bahawa prinsip utama dan yang terpenting daripada demokrasi adalah kebebasan bagi setiap individu untuk bertindak dan memilih. Hal ini berkembang dari perdebatan awal falsafah antara realisme dan nominalisme pada akhir abad pertengahan di Eropah.

Demokrasi berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud demos - rakyat dan kratos - kekuasaan = kekuasaan rakyat. Maka, maksud secara nyatanya adalah kekuasaan rakyat.

Para realisme mengambil sudut pandang yang umum yang menganggap bahawa spesis-spesis alam adalah nyata, sedangkan para nominalisme mempunyai pandangan yang lebih spesifik yang berpandangan hanyalah manusia adalah tunggal yang sebenarnya.

Dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, maka pilihanraya yang diadakan lima tahun sekali adalah salah satu ciri utama dalam memilih pemimpin untuk mengurus tadbir negara ini secara benar lagi adil mengikut lunas-lunas perlembagaan.

Sejarah penglibatan wanita dalam politik dan proses pemilihan kepimpinan negara bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Pada era 50-an sekumpulan wanita menubuhkan angkatan wanita sedar (AWAS).

Pada umumnya tujuan mereka ketika itu adalah untuk membangkitkan semangat menentang penjajah. Selepas kemerdekaan, wanita terus mengorak langkah melibatkan diri dalam proses pilihanraya.

Penglibatan ini boleh dikategorikan sebagai penglibatan umum seperti penyertaan sebagai pengundi, juru kempen mahupun ahli parti atau pertubuhan.

Penglibatan khusus pula adalah penglibatan langsung menjadi kepimpimpinan organisasi politik atau NGO serta menjadi calon dalam pilihan raya. Penglibatan secara khusus ini seterusnya melayakkan wanita untuk menganggotai badan pembuat dasar tertinggi negara dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Walaupun sudah berjuang selama lebih 60 tahun, penglibatan wanita dalam politik ini masih jauh dari sasaran 30% wanita dalam pembuat dasar tertinggi  kerana bilangan anggota Parlimen wanita Malaysia hari ini baru mencapai 10.81 %.

Usaha perlu terus dilakukan di pelbagai peringkat untuk menyediakan wanita dan masyarakat agar penglibatan wanita dalam proses demokrasi pemilihan pemimpin peneraju negara ini dapat dioptimumkan kerana penglibatan wanita akan menambahkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

Sebenarnya, wanita memiliki keperluan khusus yang hanya dapat difahami dengan baik oleh perempuan itu sendiri. Maka, penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan politik dapat mencegah daripada berlakunya diskriminasi terhadap wanita yang selama ini sering terjadi dalam masyarakat di negara ini.

Sebagaimana Setiausaha Agung Persatuan Ahli Parlimen Negara Komanwel (CPA), Akhbar Khan berkata (8 Julai 2017: Utusan), hanya Ahli Parlimen wanita yang berupaya membantu mengurangkan ketidakstabilan jantina dengan menggubal dan menguatkuasakan undang-undang membela hak serta kebajikan golongan berkenaan.

Beliau turut mendedahkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencatatkan bilangan ahli Parlimen wanita di peringkat dunia mencecah sebanyak 9,000 orang atau 23.3 peratus hujung tahun (2016). Ternyata jumlah itu telah meningkat dua kali ganda namun ia masih terlalu kecil jika diukur dengan peratusan kaum wanita yang ada.

Lebih menyedihkan apabila bilangan Ahli Parlimen di peringkat negara-negara Komanwel pula dikuasai oleh golongan lelaki sebanyak 82 peratus manakala 17 negara di wilayah yang lain langsung tidak memiliki Ahli Parlimen wanita dan jumlahnya hanya 18 peratus Ahli Parlimen Komanwel adalah wanita.

Parti politik disaran menampilkan lebih ramai calon wanita dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam usaha mencapai sasaran 30 peratus Ahli Parlimen wanita di negara ini. Ketika ini hanya 10.81 peratus atau 24 daripada 222 Ahli Dewan Rakyat adalah wanita, manakala di Dewan Negara, hanya 22 peratus ahlinya adalah wanita.

Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP), Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata (7 April 2017: Berita Harian) sasaran 30 peratus untuk negara ini selaras dengan matlamat yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian, ketua-ketua kerajaan bagi negara Komanwel perlu mengambil tindakan bagi mencapai 30 peratus wanita sebagai penggubal undang-undang, iaitu sasaran yang sama diletakkan di Malaysia.

Sebagaimana yang dikatakan Khairy Jamaluddin (4 Disember 2017: Berita Harian), pembabitan wanita dalam bidang politik di negara ini dianggap 'menyedihkan' dan perlu dipertingkat seiring nisbah jantina yang hampir seimbang.

Golongan wanita perlu melihat bidang politik sebagai cabaran besar, sejajar usaha Malaysia menjadi antara 20 negara maju menjelang 2050. Bidang kerjaya lain ramai wanita sertai tetapi dalam politik tidak begitu dan sesuatu perlu dilakukan.

Tahukah kita, sebenarnya, bukan sahaja Malaysia yang ingin mencapai 30% wanita di Parlimen dan pembabitan dalam politik tidak hanya menjadi agenda di Malaysia, malah turut dilaksanakan di negara-negara Komanwel.

Menelusuri sejarah negara lain, realitinya hanya dengan jumlah yang signifikan, wanita mampu menghasilkan perubahan yang sangat bermakna untuk negaranya seperti perubahan kebijakan dan peraturan undang-undang yang turut memasukkan keperluan-keperluan khusus yang menjadi nilai tambah kepada wanita sebagai sebahagian daripada agenda nasional.

Sesekali kita bercermin kepada sosok pemimpin wanita di pelbagai negara yang berhasil membawa dunia ke peringkat yang jauh lebih baik daripada biasa, tentunya sungguh menginspirasikan (Artikel Atriza Umar: Wanita Perubahan & Politik, 26 September 2017: Sinar Harian).

Mungkin sahaja, kepimpinan negara untuk sesi Pilihanraya Umum Ke-14 akan datang, Malaysia dipimpin oleh wanita sebagaimana negara Republik Singapura? Paling tidak, Timbalan Perdana Menterinya wanita serta jemaah kabinetnya tidaklah sedikit dalam kalangan wanita sebagaimana barisan kabinet yang ada kini.

Di India, Indira Gandhi, Perdana Menteri wanita pertama negara itu berjaya membawa perdamaian. Walaupun kontroversi, kepemimpinan Indira Gandhi banyak membawa perubahan, salah satunya adalah memerangi kelaparan di India.

Kelaparan kronik yang terjadi ini diperangi dengan cara memperkenalkan bibit unggul kepada para petani. Menariknya pada masa pemerintahan beliau, India juga mula mengembangkan teknologi nuklear.

Pada masa kepimpinannya, Indira Gandhi berjaya membawa perubahan besar dalam program pertanian sehingga mampu menurunkan angka kemiskinan negaranya.

Beliau juga menandatangani Perjanjian Shimla untuk menyelesaikan sengketa Kashmir secara damai. Selain itu, ia juga memimpin sebuah gerakan yang disebut Revolusi Hijau untuk mengatasi kekurangan makanan di Punjab.

Wanita pertama yang memimpin sebuah negara Islam ialah Benazir Bhutto, pada masa pasca penjajahan. Beliau yang berkarismatik terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada tahun 1988 dan pernah dipaksa turun daripada jabatannya sebanyak dua kali. Di samping penolakan-penolakan yang terjadi, Benazhir Bhutto berjaya mencatat sejarah sebagai pemimpin wanita Muslim yang sangat berpengaruh!

Apa yang menariknya, dalam kempen pilihan raya, beliau menyuarakan keprihatinan mengenai masalah-masalah sosial kaum wanita, masalah kesihatan dan diskriminasi terhadap wanita. Selain itu, beliau mengumumkan rancangan untuk membentuk pejabat polis wanita, kehakiman dan bank-bank pembangunan khusus untuk wanita.

Sebenarnya, banyak lagi contoh lain yang boleh kita hamparkan, akan tetapi dengan dua kisah ini, tentunya negara ini wajar memberi ruang dan peluang khusus untuk wanita memimpin dan menyerlah ke hadapan.

Ya, sejak 1955 sehingga kini, bilangan wanita di Parlimen terdapat peningkatannya. Jika pada tahun 1955, hanya seorang yang dipilih ke Parlimen, dan hari ini kita dapat lihat ada 23 orang iaitu dalam lingkungan 10.4%. Hari ini, ada tiga menteri dan lima timbalan menteri wanita. Di Dewan Negara, 28.8% adalah Senator wanita.

Di rantau ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan yang terkebelakang dengan peratusan 10.4 ini. Di Filipina contohnya, 27.3% di Parlimen adalah wanita; Singapura (25.3%), Laos (25%); Vietnam (24.3%); Cambodia (20.3%); Indonesia (16.8%). Kedudukan Malaysia hanya mengatasi Thailand (6.1%) dan Myanmar (5.6%).

Manakala di peringkat seantero dunia, Rwanda mempunyai 63.8% wanita di Parlimen diikuti dengan Andorra (50%), Cuba (48.9%), Sweden (40.8%) dan Afrika Selatan (43%).

Menelusuri sejarah lampau negara, banyak suara-suara gah seorang wanita mampu merubah corak politik negara. Ya, memang bukan mudah, namun tidaklah susah.

Utamanya warga negara ini perlu diberikan pendedahan yang benar berkaitan politik. Bukan politik sampah, kotor dan busuk sebagaimana yang berlaku kini. Setiap hari ada sahaja isu politik yang ‘jengkel’ didengar.

Dalam akhbar Straits Times pada 20 Julai 1947, artikel pertama Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kolum C.H.E Det adalah tentang ‘Malay Women Make Their Own Freedom.’

Pada 1949, Dato’ Onn Jaafar, Presiden pertama parti UMNO menyatakan, suara wanita akan menjadi as powerful as that of the men - the voice of both will determine the shape of the administration of the country.

Wanita telah memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya seperti Khadijah Sidek dan Rahimah Abdul Rahman serta isteri dan anak perempuan pemimpin lainnya.

Namun, tidak ada wanita yang turut serta dalam proses rundingan kemerdekaan sehinggalah pemilihan Halimahton Abdul Majid, calon Ulu Selangor dalam pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955 dan seterusnya Tan Sri Aishah Ghani menjadi Senator pertama pada 1962 manakala anggota Kabinet pertama wanita ialah Tun Fatimah Hashim pada tahun 1969.

Sungguh kita dapat lihat hari ini, telah ada wanita yang rasional, bijak, berkemampuan, berintegriti dan bersedia untuk mengemudi kepimpinan baik di peringkat tempatan mahupun nasional.

Akan tetapi kita perlulah berusaha untuk memberi pendedahan yang mudah tentang politik, agar masyarakat negara ini terbuka mindanya dalam membuat pilihan ketika pilihanraya nanti dalam membantu proses pembangunan negara.

Maka wajarlah wanita-wanita Malaysia melibatkan diri dalam ‘pesta demokrasi’ yang akan berlangsung di negara ini. Bukan itu sahaja, wanita juga perlu menjadi kaum yang bersedia dan bersama-sama menyongsong perubahan yang lebih cemerlang bagi melakar sebuah Negara Rahmah yang diidam-idamkan semua dengan merealisasikannya melalui peti undi.

Dr Hajah Hafidzah Haji Mustakim
Ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN)
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 3241 times Last modified on Monday, 02 April 2018 09:30

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd