Print this page
Saturday, 10 August 2019 12:00

Semarakkan Pengorbanan Mencapai Ketakwaan

Rate this item
(1 Vote)

PERUTUSAN PRESIDEN IKRAM
SEMPENA AIDILADHA 1440H
10 Zulhijah 1440H / 11 Ogos 2019 

SEMARAKKAN PENGORBANAN MENCAPAI KETAKWAAN

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala Nabi dan Rasul.

Sebagai salah satu hari kebesaran Islam, kedatangan Aidiladha saban tahun mengingatkan kita tentang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihissalam sekeluarga yang menjadi pedoman bagi kita untuk mengorbankan harta dan jiwa demi mentaati perintah Allah SWT.

Sempena Aidiladha ini, marilah kita menelusuri sejarah para anbia yang sentiasa taat dengan perintah Allah SWT dan sanggup membelanjakan seluruh hartanya untuk Islam yang tercinta. Dengan kehebatan pengorbanan mereka, kita sewajarnya mengikut jejak langkah mereka dengan melakukan pengorbanan yang ikhlas hanya mengharapkan keredaan Allah SWT.

Bersama dengan peristiwa ini, ramai saudara-saudara kita melakukan ibadah haji di tanah suci Makkah al-Mukarramah dan kawasan sekitarnya, menziarahi makam Rasulullah SAW di bumi Madinah al-Munawwarah, satu ibadah yang wajib kepada umat Islam yang mampu melaksanakannya.

Ia memberi ruang kepada mereka menyaksikan perkara-perkara yang bermanfaat kepada mereka dalam tempoh beberapa hari di sana, mengingati dan memuji Allah SWT atas segala nikmat-Nnya, membesarkan syiar-Nya di sana serta melaksanakan sembelihan korban dan amalan-amalan ketaatan yang lain.

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka...” (al-Hajj: 34)

Semoga ibadat haji mereka diterima Allah SWT, memperolehi keampunan terhadap dosa-dosa yang lalu, kembali ke negara asal mereka dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa lampau dan memperolehi keredaan-Nya.

Bagi kita yang jauh pula, sambutlah Aidiladha dengan memperbanyakkan tasbih, tahmid dan takbir, menunaikan solat sunat Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban seterusnya mengagihkan daging-daging kepada saudara Muslim yang memerlukan, agar mereka dapat menyambut ketibaan hari raya ini dengan hidangan makanan yang mencukupi seperti saudara seagama lain yang menyambutnya dengan gembira.

Sebagai NGO yang prihatin, IKRAM tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban dan akikah di Malaysia dan luar negara untuk umat Islam yang memerlukan melalui program MyKorban oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan juga Qurban4Mualaf oleh Hidayah Centre Foundation (HCF) untuk golongan mualaf.

Di samping itu, program-program korban akan turut dilaksanakan di peringkat IKRAM Kawasan tertentu di seluruh negara hasil sumbangan IKRAM dan juga ahli-ahli yang dermawan.

Semoga Allah SWT menerima ibadah korban kita semua, menjadikan kita semua hamba-hamba-Nya yang soleh serta bersedia berkorban untuk umat dan negara sepanjang masa pada era membina negara Malaysia baharu di bawah naungan Islam dan syariat-Nya.

Dengan semangat pengorbanan ini, ia mampu mengukuhkan lagi kemakmuran, keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum bagi membentuk Negara Rahmah yang diimpikan, insya-Allah.

Salam Aidiladha 1440H.

“Semarakkan Pengorbanan Mencapai Ketakwaan”

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

Read 518 times Last modified on Saturday, 10 August 2019 13:01
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd