Print this page
Friday, 24 May 2019 12:00

Tiada keperluan subjek khusus kenali agama selain Islam

Rate this item
(0 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
24 Mei 2019M / 19 Ramadan 1440H
TIADA KEPERLUAN SATU MATA PELAJARAN KHUSUS UNTUK MENGENALI AGAMA LAIN SELAIN ISLAM

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) meyakini keperluan seseorang untuk meningkatkan keupayaannya memahami dan menghormati agama lain dan penganutnya.

Objektif kefahaman terhadap agama lain adalah supaya seseorang berfikiran dan bertindak seimbang sehingga hidup masyarakat lebih harmoni.

Namun, cadangan untuk mewujudkan satu mata pelajaran khusus untuk mengenali agama lain selain Islam seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi Majlis Belia Malaysia baru-baru ini perlu dikaji dengan mendalam lagi.

IKRAM berpandangan, cadangan tersebut sukar dilaksanakan kerana memerlukan perubahan besar dalam sistem pendidikan negara.

Cadangan ini akan membabitkan perubahan kepada Fasal 51, Akta Pendidikan 1996 seperti berikut:

Pengelola institusi pendidikan bantuan kerajaan boleh mengadakan pengajaran bagi agama selain daripada agama Islam untuk murid institusi pendidikan itu atau mana-mana daripada mereka tetapi

a. pengadaan sedemikian tidak boleh dibiayai dengan wang yang diperuntukkan oleh Parlimen;

b. dan tiada murid boleh mengikuti pengajaran agama selain daripada agama yang dianutinya, kecuali dengan keizinan bertulis ibu bapanya.

Cadangan ini juga tidak praktikal kerana akan terdapat kesukaran dalam mendapatkan guru-guru terlatih bagi agama selain Islam.

Ia memerlukan satu proses overhaul sistem pembangunan guru; sesuatu yang terlalu besar dilakukan.

Untuk mencapai hasrat murni yang dinyatakan, IKRAM mencadangkan perkara berikut yang lebih mudah dilaksanakan:

a. Aktiviti di bawah program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) dipertingkatkan dengan melibatkan semua sekolah seluruh negara.

b. Kefahaman terhadap agama lain dimasukkan ke dalam subjek Pendidikan Sivik di Tingkatan 4 dan 5.

Profesor Dr Hj Omar Yaakob
Pengerusi
Kluster Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 556 times Last modified on Friday, 24 May 2019 11:12
Our website is protected by DMC Firewall!