wrapper

Berita Terkini

الإثنين 20 ذو القعدة 1440   |   Monday 22 July 2019
Tuesday, 19 March 2019 11:51

Pantau pencemaran secara sistematik - IKRAM ACADEMIA

Rate this item
(0 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN AKADEMIA IKRAM MALAYSIA (IKRAM ACADEMIA)
18 Mac 2019 / 12 Rejab 1440H

INSIDEN PENCEMARAN SUNGAI KIM KIM DI PASIR GUDANG

Negara kita telah dikejutkan dengan insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang Johor pada 7 Mac 2019 yang telah menyebabkan keresahan kepada penduduk setempat akibat gangguan kesihatan serta masalah lain yang berkaitan.

IKRAM ACADEMIA amat bersimpati dan prihatin kepada mangsa yang terlibat. Pembuangan sisa toksik dikatakan dilakukan oleh pengusaha kilang tayar kitar semula. Jabatan Alam Sekitar telah mengesahkan lima bahan kimia utama yang dikenal pasti iaitu D-limonene, benzene, toulene, ethylbenzene dan xylene.

Kertas pertuduhan ke atas individu yang bertanggungjawab dijangka akan dibuat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi lima (5) tahun dan denda tidak lebih RM500,000.

Bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim tersebut merupakan bahan yang mudah meruap dan memberi kesan akut kepada kesihatan manusia, terutama mengganggu sistem pernafasan dan boleh menyebabkan radang kulit.

Semua bahan kimia tersebut tidak mudah larut dalam air, maka sisa toksik tersebut juga akan memberi kesan kronik atau jangka panjang. Sebagai contoh, sisa toksik tersebut boleh melarut dalam lapisan lemak contohnya lapisan kulit, serta bahan organik dalam sedimen dan air.

Bahan tersebut akan juga melalui proses pemendapan dalam sedimen lalu memberi kesan jangka panjang terutama apabila dasar sungai terhakis oleh arus deras dan mobilisasi semula bahan tersebut oleh hidupan akuatik dalam ekosistem tersebut.

Sebelum insiden pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, kajian saintifik menunjukkan bahawa sungai tersebut telah pun mengalami pencemaran yang serius (rujuk Pertanika Journal of Science & Technology, 26(1), 95-120, 2018).

Antara bahan pencemar toksik yang telah dikenal pasti ialah Polycyclic Aromatic Hyrocarbon (PAHs), najis manusia dan najis binatang ternakan dan linear alkylbenzenes (LABs) (rujuk Environmental Forensics 17(1), 36-47, 2016). PAHs dan LABs adalah merupakan ejen pemusnah sistem endokrin manusia.

IKRAM ACADEMIA menyokong kenyataan Yang Berhormat Menteri Kesihatan bahawa mereka yang terdedah dengan bahan kimia dipantau untuk memastikan tiada kesan kesihatan jangka panjang.

Justeru, insiden pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim yang telah sekian lama tercemar perlu diambil sebagai satu peringatan dan bukan hanya satu reaksi sentak atau spontan. Malah, Jabatan Alam Sekitar setiap tahun mengeluarkan senarai sungai-sungai yang tercemar di seluruh Malaysia dan mendapati kebanyakan sungai kita mengalami pencemaran yang serius.

51 buah sungai dikategorikan tercemar dengan 25 daripadanya dikategori sebagai sungai mati di empat negeri. Setakat ini 25 buah sungai (iaitu 16 di Johor, 5 di Lembah Kelang, 3 di Pulau Pinang dan 1 di Melaka) di kategori sebagai Kelas 5 (pencemaran teruk) sementara 7 buah sungai tersenarai dalam Kelas 4.

Persoalannya ialah apakah kita kekurangan akta dan perundangan alam sekitar? Jawapannya adalah tidak sama sekali! Malaysia mempunyai Akta Kualiti Sekeliling 1974 (Akta 127 Peraturan-peraturan alam sekeliling (Buangan Terjadual (2005)) dan Akta Sungai (Pencegahan dan Pencemaran, Seksyen 2(1)(a)).

Apakah kita kekurangan pengawasan dan pemantauan terhadap alam sekitar? Jika jawapannya adalah positif, maka pihak berwajib perlu meningkatkan pemantauan ke atas pengusaha kilang terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Kajian menunjukkan bahawa IKS adalah penyumbang terbesar bahan buangan di negara ini (rujuk Laporan Mesyuarat Jabatan Alam Sekitar 2018/02, Dasar penggubalan baru Akta Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar di www.doe.gov.my).

Oleh itu, fokus utama pemantauan perlulah ditumpukan kepada sektor tersebut. Pihak berwajib perlu mengambil inisiatif dan anjakan paradigma untuk meneruskan usaha membenteras pembuangan sisa toksik ke dalam badan air secara berterusan dan bukan secara bermusim atau hanya apabila berlaku insiden seperti di Sungai Kim Kim.

Pengetahuan lengkap mengenai pencemaran alam sekitar perlu dijadikan subjek khusus dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah untuk melahirkan rakyat yang peka dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan alam sekitar.

Contohilah Sungai Thames di England dan Sungai Hans di Korea yang mana sungai-sungai tersebut dianggap paling tercemar di dunia pada suatu ketika dahulu tetapi sekarang merupakan sungai-sungai yang paling bersih di dunia.

IKRAM ACADEMIA berpendirian bahawa pemantauan pencemaran alam sekitar secara umumnya perlu dilaksana secara berterusan dan sistematik. Kerjasama dalam pemantauan alam sekitar antara agensi pemantauan dan penguatkuasaan sama ada di peringkat kebangsaan, negeri dan kerajaan tempatan harus dipertingkatkan untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang.

IKRAM ACADEMIA menyeru semua rakyat Malaysia sama-sama menzahirkan sifat rahmah di dalam kehidupan harian kita dengan melaksanakan amalan yang baik yang diredhai Allah serta menghindari dari membuat kerosakan kepada orang lain dan alam sekeliling.

Profesor Dato’ Dr Mohd Ali Hassan, FASc
Pengerusi IKRAM ACADEMIA
Profesor, Universiti Putra Malaysia

Kredit foto: Berita Harian

Read 315 times Last modified on Tuesday, 19 March 2019 12:03

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd