Print this page
Friday, 08 March 2019 18:26

Mansuh hukuman mati mandatori, kekalkan hukuman mati

Rate this item
(0 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
8 Mac 2019M / 1 Rejab 1440H

MANSUH HUKUMAN MATI MANDATORI, KEKALKAN HUKUMAN MATI

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti perkembangan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), YB Datuk Liew Vui Keong untuk memansuhkan kesemua hukuman mati di Malaysia sejak tarikh pengumumannya pada 10 Oktober 2018 sehingga ke hari ini. Satu rang undang-undang untuk memansuhkan kesemua hukuman mati tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen dalam sesi akan datang, bermula pada 11 Mac 2019.

Dalam isu ini, IKRAM bersetuju untuk pihak Kerajaan memansuhkan semua hukuman mati mandatori yang sedia ada selari dengan Janji 27 Buku Manifesto Pakatan Harapan yang melibatkan 32 peruntukan daripada lapan (8) akta iaitu Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Penculikan 1961, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010, Akta Senjata 1960 dan Akta Angkatan Tentera 1972.

Pemansuhan ini demi memberikan pilihan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang lain selain hukuman mati bagi kesalahan tersebut sekiranya mahkamah mendapati ia adil untuk diputuskan sedemikian memandangkan nyawa seorang manusia adalah sangat berharga yang tidak boleh diambil dengan sewenang-wenangnya.

Walau bagaimanapun, IKRAM menegaskan bahawa hukuman mati tetap perlu dikekalkan memandangkan hukuman mati adalah tetap relevan dalam mencapai tujuan hukuman tersebut diberikan iaitu balasan (retribution), menakutkan (deterrence), pencegahan (prevention) dan perlindungan masyarakat (protection of society) setimpal dengan keberatan kesalahan jenayah tersebut.

IKRAM merasa bimbang, jika hukuman mati dimansuhkan secara keseluruhan, maka kadar peningkatan jenayah bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan akan meningkat dengan lebih tinggi akibat ketiadaan hukuman yang boleh menggerunkan masyarakat sekali gus boleh mengancam kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Pada masa yang sama, IKRAM juga bersetuju bahawa peruntukan dan/atau perlaksanaan hukuman mati dalam negara ini perlu ditambah baik lagi demi menambahkan keberkesanannya. Untuk tujuan itu, IKRAM mencadangkan lima perkara yang berikut:

a) Hukuman mati hendaklah dikekalkan sebagai pilihan hukuman bagi kesalahan jenayah yang membawa kepada kematian atau pun kerosakan yang jauh lebih besar daripada kematian;

b) Bagi kesalahan yang tidak membawa kepada kematian ataupun kerosakan yang jauh lebih besar daripada kematian, IKRAM bersikap terbuka untuk peruntukan-peruntukan tersebut dikaji semula oleh kerajaan dengan mempertimbangkan keberatan setiap kesalahan tersebut dan tujuan hukuman;

c) Peruntukan perlu disediakan bagi membolehkan keluarga memberikan kemaafan kepada pelaku kesalahan disertai dengan penerimaan bayaran pampasan sebagai alternatif kepada hukuman mati bagi kesalahan yang membawa kepada kematian individu;

d) Piawaian pembuktian (standard of proof) ditingkatkan daripada melangkaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) kepada melangkaui sebarang keraguan (beyond any doubt) untuk membolehkan hukuman mati diberikan sekali gus boleh mengelakkan mahkamah daripada menjatuhkan hukuman mati kepada yang tidak sepatutnya; dan,

e) Hak pembelaan yang terbaik perlu disediakan kepada setiap Orang Kena Tuduh (OKT) termasuklah memberikan akses kepada OKT untuk mendapatkan khidmat guaman yang terbaik bagi membantu mahkamah membuat keputusan yang adil dan setimpal.

Namun pada masa yang sama, IKRAM ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak meletakkan pergantungan secara mutlak kepada hukuman mati semata-mata untuk membanteras jenayah dan kadar peningkatannya di negara ini.

Sebaliknya, IKRAM menyeru supaya usaha untuk membanteras jenayah dalam negara ini hendaklah dilakukan secara bersepadu yang melibatkan semua elemen penting dalam pembangunan modal insan khususnya pendidikan, penghayatan kepada agama, penerapan akhlak dan nilai moral, pembangunan keluarga, peningkatan taraf ekonomi rakyat, pembangunan kesihatan mental dan psikologi, dan pematuhan undang-undang.

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 726 times Last modified on Friday, 08 March 2019 18:47
DMC Firewall is a Joomla Security extension!