Print this page
Wednesday, 06 March 2019 10:58

Tindakan tegas terhadap pencetus ketegagangan agama dan kaum

Rate this item
(2 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
6 Mac 2019M / 29 Jamadilakhir 1440H

TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENCETUS KETEGANGAN AGAMA DAN KAUM

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong penuh pendirian tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam isu berkaitan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW serta ketegangan agama dan kaum yang cuba dicetuskan oleh beberapa pihak termasuk melalui laman sosial.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Negara semalam, pihak polis telah menerima sebanyak 929 laporan dan sehingga kini, 16 kertas siasatan telah dibuka. Kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beberapa tangkapan telah dilakukan dan pihak yang terlibat telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

IKRAM ingin mengingatkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dan agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan. Namun, sebarang tindakan yang menghina mana-mana agama termasuk agama Islam adalah tindakan yang tertolak dan adalah natijah daripada hilangnya sifat hormat, cetek akal serta jahil tentang adab dan budaya rakyat Malaysia.

Malah, provokasi sebegini akan menimbulkan ketegangan kaum. Justeru, ia perlu ditangani secara adil, tegas dan penuh hikmah.

IKRAM juga ingin menekankan bahawa sifat reaktif yang melulu dan beremosi serta tindakan mempermainkan sebarang sentimen perlu dielakkan kerana ia menjejaskan imej agama Islam.

Sebaliknya, IKRAM menggalakkan orang ramai untuk bersifat rasional dan mengambil peluang ini untuk memperhebatkan usaha dakwah, tarbiah dan kebajikan kepada masyarakat awam.

Tindakan melaporkan pihak yang bersalah juga amat penting namun perlu disusuli dengan tindakan yang bertanggungjawab dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas mengikut proses perundangan negara.

IKRAM ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersikap peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama bagi menjamin keharmonian dan perpaduan nasional.

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 779 times Last modified on Wednesday, 06 March 2019 11:24
Our website is protected by DMC Firewall!