wrapper

Berita Terkini

الخميس 16 جمادى الثانية 1440   |   Friday 22 February 2019
Monday, 11 February 2019 17:55

Integriti asas penting bagi pembinaan negara

Rate this item
(0 votes)

 

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
11 Februari 2019M / 6 Jamadilakhir 1440H

INTEGRITI ASAS PENTING BAGI PEMBINAAN NEGARA

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius berkenaan nilai integriti dalam kalangan pemimpin dan tokoh masyarakat. Ini termasuk hal memperolehi ijazah palsu dan sindiket pemalsuan ijazah (daripada universiti palsu, bogus universities, atau degree mills), mendakwa mempunyai kelayakan tertentu walaupun sebenarnya tiada, serta menggunakan gelaran-gelaran palsu berkaitan kelayakan dan kepakaran.

Tindakan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah ia menimbulkan kesangsian terhadap keperibadian individu yang terlibat, bahkan meruntuhkan reputasi ahli bidang dan institusi secara kolektif.

Ia juga dilihat mencemar nilai profesionalisme sesuatu bidang serta menghina nilai intelek individu lain yang berkecimpung dalam bidang siasah, ilmiah dan industri.

IKRAM menggesa agar tokoh masyarakat terutamanya ahli politik, ahli perniagaan, pegawai perubatan alternatif, penceramah agama, penceramah motivasi, cendekiawan dan pakar-pakar bidang yang lain dan masyarakat umumnya untuk memberi perhatian khusus dalam memelihara Integriti.

IKRAM ingin mengingatkan bahawa tokoh masyarakat berperanan besar dalam mencorak masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.

Demi memelihara integriti dan kewibawaan diri, IKRAM juga menggesa kepada sesiapa yang tersilap dalam memelihara aspek ini untuk membuat pembetulan, tidak kira dalam apa jua bentuk termasuk kad nama, laman web, media sosial dan lain-lain.

Pada masa yang sama, IKRAM mengingatkan masyarakat untuk tidak mengambil kesempatan dan memanipulasi kandungan laman web seperti Wikipedia bagi menuduh tokoh masyarakat memiliki ijazah palsu walhal mereka tidak pernah mendakwa sedemikian dalam mana-mana majlis atau saluran rasmi.

Walau bagaimanapun, perlu diakui bahawa kompetensi, ilmu dan ketrampilan individu khususnya ahli politik dan tokoh masyarakat tidak diukur melalui sijil semata-mata. Sebaliknya, ia perlu seiring dengan nilai integriti yang dipaparkan termasuklah sifar penglibatan dalam penyalahgunaan dan pemalsuan dokumen dan ijazah.

Selain itu, penggunaan istilah dan pengakuan individu sebagai pakar juga perlulah mengikut konteks dan kelayakan sebenar, bukan sekadar menghadiri kursus beberapa jam atau beberapa hari tanpa melalui seliaan tesis dan/atau seliaan praktikum daripada pakar sebenar dan akreditasi daripada institusi berautoriti.

Tindakan tegas wajar dikenakan terhadap pemalsuan atau penggunaan sewenang-wenangnya gelaran 'Profesor' yang bukan daripada universiti yang diiktiraf, gelaran 'Dr.' tanpa mendapat ijazah perubatan atau kedoktoran yang diiktiraf, gelaran 'Sir' tanpa penganugerahan daripada Ratu England, gelaran 'Datuk' tanpa penganugerahan daripada pihak yang diiktiraf, malah gelaran 'Ustaz' dan 'Ustazah' tanpa kelayakan berkaitan Pengajian Islam.

Isu integriti tidak terhad kepada ijazah dan gelaran palsu semata-mata. IKRAM menyeru supaya isu integriti yang lain merangkumi rasuah, penyelewengan harta kerajaan dan penyalahgunaan dana turut dicegah, diurus dan dihadapkan ke muka pengadilan.

IKRAM percaya nilai integriti dan kompetensi pemimpin dan tokoh masyarakat akan membantu dalam mencorak pemikiran rakyat kelas pertama, selaras dengan harapan Malaysia Baharu dan salah satu ciri Negara Rahmah iaitu kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 347 times Last modified on Monday, 11 February 2019 18:16

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!