wrapper

Berita Terkini

الأحد 12 رمضان 1439   |   Sunday May 27 2018
Wednesday, 16 May 2018 00:00

Guru Rabbani Pemacu Transformasi Pendidikan

Rate this item
(0 votes)

Perutusan Sempena Hari Murabbi IKRAM MUSLEH
16 Mei 2018 / 30 Syaaban 1439H

GURU RABBANI PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi azza wajalla atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya SWT ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT dan mendoakan moga-moga perjalanan majlis ini diberkati-Nya, amiin.

Sesungguhnya kita amat bersyukur kerana dengan rahmat dan taufik Allah SWT, kita masih lagi dikurniakan kekuatan ruhiyah, jasadiyah dan 'aqliyah untuk beribadah dan meneruskan perjuangan memperkasa pendidikan Islam ke arah memimpin barisan umat Islam dan masyarakat berasaskan syariat Islamiyah.

Kita bersyukur kepada Allah yang telah memberi peluang menyambut Hari Murabbi IKRAM MUSLEH tahun ini dalam suasana peralihan dalam iklim politik dan pentadbiran negara. Semoga pentadbiran era baharu ini akan membuahkan hasil yang lebih baik dalam usaha kita memartabatkan pendidikan Islam.

Pendidikan adalah satu proses untuk memanusiakan manusia, menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab dan cabaran yang harus digalas oleh para pendidik dalam mengembalikan sifat kehambaan ('ubudiyah) manusia kepada Penciptanya. Justeru, peranan guru menjadi semakin mencabar selaras dengan perkembangan dunia tanpa sempadan dan ledakan teknologi maklumat yang semakin canggih.

Pendidik adalah pewaris tugas Rasulullah SAW, yakni mendidik dan membentuk insan dengan akhlak yang mulia sepertimana maksud sabda Nabi SAW: “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Untuk menggalas tanggungjawab ini, para pendidik perlu mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran, 'softskills' dan menguasai perkembangan teknologi maklumat serta kekuatan rohani bagi menghadapi cabaran masa kini. Tanpa persiapan yang rapi dan mantap, maka harapan untuk membentuk peradaban mulia generasi pewaris adalah menjadi sia-sia.

Generasi muda membesar dalam dunia mereka yang tersendiri dan pendidik pula berada di suatu sudut dunia yang lain. Maka, mahu tidak mahu pendidik harus berperanan sebagai pemacu perubahan, bermaksud dengan segala persiapan yang telah dibuat dan ditingkatkan dari masa ke semasa, mereka mampu untuk menguasai dunia anak didik, menyantuni dan memimpin mereka kepada peradaban abad ke-21.

Transformasi atau 'islah' membawa maksud melakukan perubahan dari satu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang baik dan lebih baik. Perubahan dalam konteks pendidikan menjurus kepada penanaman, pembentukan, pengamalan, penghayatan dan percambahan nilai-nilai sejagat yang merangkumi aspek pengetahuan dan pemikiran aras tinggi, pandangan yang jauh dan peradaban yang mulia, keluar daripada kegelapan kepada cahaya kehidupan yang terang.

Allah SWT menggambarkan situasi ini dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Allah memimpin orang beriman, mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya, sedangkan orang kafir itu mereka dipimpin oleh toghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan...”

Oleh itu, dalam melaksanakan tugas mendidik manusia, dalam masa yang sama, pendidik juga akan sentiasa berhadapan dengan hambatan-hambatan kejahatan, nafsu yang rakus dan syaitan yang memperdayakan serta kekufuran dan kekafiran, atau ringkasnya 'toghut'. 'Toghut' dalam erti yang luas iaitu segala apa atau orang atau cara hidup yang membawa kepada melakukan maksiat dan perkara yang disukai syaitan.

Ini menjadikan tugas pendidik semakin mencabar, bukan sekadar perlu kepada kekuatan pemikiran dan kemahiran yang tinggi malah keimanan yang mantap menjadi taruhannya. Hanya mereka yang mempunyai keimanan yang tinggi dan berhikmah sahaja yang mampu menghadapi cabaran ini.

Maka, mahu tidak mahu para pendidik harus bersedia untuk dilatih dan dididik dengan kekuatan pemikiran dan keimanan yang tinggi supaya pendidikan itu bersifat 'basah' dan menyerap ke dalam hati sanubari anak didik menjadikan mereka bersifat kental dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Maka, akhirnya pendidikan itu bermula dengan pendidikan para pendidik itu sendiri. Pendidik harus bersedia pada setiap masa untuk menambahkan ilmu, meningkatkan kemahiran dan keimanan melalui wadah tarbiah yang syumul, dzatiyah (keperibadian), nizomiah (tersusun) dan ijtima'iyyah (kolektif). Semua ini hanya akan berkesan jika para pendidik berjaya menjadikan wasail-wasail tarbiah sebagai sebahagian pengisian kehidupan mereka.

Dengan adanya ciri-ciri Rabbani pada diri pendidik ini, barulah mereka akan mampu menjadi pemacu perubahan kerana perubahan itu bermula dengan perubahan pada diri pendidik itu sendiri. Pendidik yang menepati ciri-ciri ini akan sentiasa berfikiran aras tinggi, berdaya tahan, keluar daripada cara biasa dan futuristik.

Sebenarnya ini adalah di antara ciri-ciri insan Rabbani iaitu insan yang inspirasinya berakarkan nasional dan berfikiran internasional atau sejagat.

Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya berseru kepada para pendidik supaya sentiasa mengikhlaskan niat dalam menjalankan tugas dan amanah sebagai seorang pendidik dan murabbi kerana sifat keikhlasan inilah yang akan menjadikan kalian mampu bertahan dengan segala tugasan dan aktiviti pendidikan yang semakin mencabar.

Persiapkan diri dengan segala keperluan dan kemahiran pendidikan abad ke-21 bagi menghadapi dunia pelajar yang begitu dinamik dan agresif. Dengan sentuhan keimanan dan akhlak yang tinggi, akan mampu untuk mendidik generasi pelajar menjadi manusia yang mulia sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan IKRAM MUSLEH.

Jangan jemu untuk berkursus dan memberi kursus (sharing) serta ditarbiah kerana di situ adanya kekuatan dan kekuatan utama seorang pendidik ialah sabar dan solat. Sabar adalah satu seni yang perlu dipelajari secara ilmu dan amal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.”

Dalam firman ayat yang lain, Allah menegaskan: “Mohonlah pertolongan (Allah) dengan sabar dan solat.”

Akhir kata dan kesimpulannya, hanya pendidik Rabbani yang mampu untuk melahirkan anak didik yang Rabbani juga.

Moga-moga Allah SWT memberkati dan meredhai amal soleh ini dan mengurniakan rahmat-Nya ke atas para pendidik IKRAM MUSLEH.

Selamat menyambut Hari Murabbi 2018.

"Guru Rabbani Pemacu Transformasi Pendidikan"

 

Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 206 times Last modified on Wednesday, 16 May 2018 03:42

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd