wrapper

Berita Terkini

الجمعة 18 ربيع الأوّل 1441   |   Friday 15 November 2019


SUNGAI BULOH - Program 'Variasi Itu Indah' menampilkan keunikannya yang tersendiri dengan menghimpunkan kanak-kanak normal dan kelainan upaya dalam satu acara pada Sabtu, 12 Oktober lalu di sini.

Program asimilasi yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Unit Keprihatinan Orang Kelainan Upaya (OKU) Yayasan Ikram Malaysia dengan kerjasama Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Seramai 48 orang kanak-kanak dan 30 orang ibu bapa turut serta menjayakan program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak normal atau kelainan upaya untuk sama-sama berinteraksi, mengenali dan memahami antara satu sama lain.

Ketua Unit Keprihatinan OKU Yayasan Ikram Malaysia, Dr Wan Najwa Wan Mohd Zohdi menekankan tentang perlunya ibu bapa untuk memberi pengetahuan kepada anak-anak normal tentang wujudnya insan berkelainan upaya supaya mereka lebih senang mendekati rakan mereka.

"Peranan memperkasakan dan mencapai kelestarian warga kelainan upaya sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan yang membentuk polisi dan merancang peruntukan, institusi pendidikan iaitu sekolah dan kolej, majikan-majikan dan seterusnya masyarakat umumnya," jelas beliau yang juga Pensyarah Perubatan Pemulihan di UiTM.

“Jadikan tekanan yang dihadapi sebagai kawan dan bukannya musuh,” kata Rajvin Kaur, 34, salah seorang motivator yang mengalami cerebral palsy sejak kecil.

Sepanjang program, ibu bapa dan kanak-kanak diasingkan dalam dua aktiviti yang berbeza. Aktiviti bersama kanak-kanak dikendalikan oleh Pegawai Terapi Carakerja dari Gym Academy Child Development Center, Pn Siti Aisyah Rozalli.

Beliau turut dibantu oleh sukarelawan fasilitator-fasilitator yang datang daripada pelbagai latar belakang antaranya guru-guru Program Pendidikan Khas Integrasi, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, jururawat dan pelajar-pelajar perubatan UiTM.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti solat, bersenam, menari, menyanyi dan mewarna bersama-sama berjaya menarik minat kanak-kanak untuk turut serta.

“Ibu bapa perlu menerima, reda dengan cepat dan mencari cara untuk membantu anak-anak kita. Satu harapan saya untuk anak-anak saya adalah supaya mereka dapat berdikari dan berpeluang menyumbang kepada masyarakat,” luah Pn Suriyati, ibu kepada kembar anak kelainan upaya.

“Belajar mensyukuri, berlapang dada dan merendahkan jangkaan, sangat membantu agar kita sebagai ibu bapa tidak merasa kecewa atau stres. Jangan pernah berputus asa pada anak kita,” kata Dr Siti Aishah Wan Mohd Hasni, ibu kepada anak sulung yang didiagnosis dengan masalah autisme.

Kedua-dua mereka amat menekankan peri pentingnya untuk ibu bapa menyertai mana-mana kumpulan sokongan tanpa mengira NGO, NGi atau perkongsian melalui media sosial untuk mendapatkan pandangan dan belajar pengalaman mereka yang menghadapi situasi yang sama.

Semua pihak termasuk kerajaan serta warga masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan agar kualiti hidup warga kelainan upaya dapat ditingkatkan.

Sumber: http://yayasan.ikram.org.my
Lagi foto program: http://bit.ly/31k8cP6

Last modified on Wednesday, 16 October 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd