wrapper

Berita Terkini

الخميس 16 جمادى الثانية 1440   |   Friday 22 February 2019


MELAKA TENGAH - Program “Bagaimana Merangsang Perkembangan Anak Berumur 3 Hingga 6 Tahun” telah dilaksanakan dengan jayanya bagi menambah baik skil keibubapaan dan berkongsi cara merangsang perkembangan anak-anak.

Program anjuran Suri Rumah Rahmah (SRR) Melaka ini telah berlangsung pada 15 Januari lalu disertai 29 orang peserta dari seluruh Melaka di Rumah Ngaji Peringgit, di sini.

“Anak adalah amanah besar daripada Allah, mempelajari tentang perkembangan anak-anak adalah sangat mengujakan kerana kita sentiasa menambah pengetahuan tentang perkara baru,” ujar Pengarah Program, Nurul Atiqah Hassan dalam ucapannya.

Pengerusi SRR Melaka, Nisha Fatihah Islam pula menjelaskan, program ini dirancang berpandukan Modul Pembangunan Keluarga, satu daripada empat modul yang terkandung dalam Modul Pembangunan Suri.

Bagi memastikan para peserta fokus dengan penyampaian, khidmat nurseri turut diadakan malah ada daripada kalangan peserta yang turut membawa pengasuh sendiri.

Dalam pada itu, Ahli Terapi Cara Kerja yang juga merupakan pengasas bersama GymCademy Melaka, Puan Siti ‘Aisyah Rozalli, memperkenalkan akronim SMCS (Sensory, Motor, Cognitive, Social) sebagai elemen-elemen penting dalam perkembangan anak.

“Ibu-ibu perlu tahu tentang milestone mengikut umur anak bagi memastikan mereka tidak lewat dalam perkembangannya. Terlalu banyak tip dan ilmu keibubapaan di luar sana, tetapi yang paling penting adalah untuk memahami dan mengaplikasikan tip yang paling sesuai dengan anak dan keluarga kita.”

Tambahnya lagi, ibu bapa perlu melakukan aktiviti rangsangan dengan ilmu kerana keputusan proses perkembangan anak terletak di tangan ibu bapa, juga perkara yang diberi semasa anak kecil akan meninggalkan kesan apabila anak membesar kelak.

Beberapa aktiviti turut diadakan sebagai praktikal untuk para suri mengaplikasikan aktiviti tersebut bersama anak-anak di rumah, antaranya Theraputty, Bermain Belon dan The Beam.

Beliau berharap agar selepas tamat program ini, para suri dapat menilai tahap perkembangan anak mengikut borang penilaian yang telah diedarkan.

Siti ‘Aisyah turut menyarankan ibu bapa yang memerlukan terapi untuk mendapatkannya daripada ahli terapi yang diiktiraf atau bagi mereka yang mempunyai kekangan masa dan wang, digesa mencari ilmu supaya boleh melakukan aktiviti rangsangan di rumah.

“Pelbagai contoh aktiviti untuk rangsangan anak-anak boleh didapati di dalam buku dan internet. Anda boleh cari dan simpan, tetapi yang lebih penting, buat,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para peserta agar tidak terlalu menghiraukan tekanan sosial kerana ibu bapa lebih mengenali anak masing-masing.

“Saya belajar untuk kenal pasti bila anak sudah bersedia untuk sesuatu pembelajaran, tidak boleh terlalu mendesak untuk anak berada sama tahap dengan perkembangan kanak-kanak sebaya yang lain dan perlu tahu perkembangan tersendiri anak,” kata salah seorang peserta, Aishah Abdul Rashid.

Walaupun anak baru mencecah umur setahun, beliau tetap berminat untuk menghadiri program ini demi persediaan masa hadapan.

Bagi Anisha Khairul Sham pula, beliau akan cuba mempraktikkan masa berkualiti untuk setiap anak selama 15 minit sehari mengikut saranan Siti ‘Aisyah.

“Sambil beraktiviti dengan anak-anak, ibu perlu perhati tahap anxiety anak-anak kerana terlalu banyak atau sedikit input boleh membuatkan anak resah. Ini yang saya belajar daripada program ini,” katanya.

Majoriti peserta sangat gembira dan teruja dengan program ini.

“Saya berpendapat aktiviti dan perbincangan sebegini perlu diadakan dengan lebih kerap sebagai persediaan ibu bapa menghadapi cabaran yang mendatang.” demikian ujar peserta, Razulia Razali.

Suri Rumah Rahmah (SRR) adalah sebuah agensi di bawah Wanita IKRAM dan mempunyai beberapa cawangan di seluruh Malaysia termasuk Shah Alam, Bangi, Melaka, Nilai dan Manjung.

Last modified on Thursday, 07 February 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!