wrapper

Berita Terkini

الخميس 4 ذو الحجّة 1439   |   Thursday August 16 2018

SERI KEMBANGAN - Timbalan Presiden IKRAM, Haji Zaid Kamaruddin berkata, isu pelantikan Ketua Hakim Negara sepatutnya tidak menjadi isu, apalagi pelantikan tersebut tidaklah memberi kesan kepada agama Islam sebagaimana yang dimomokkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Bagi yang menimbulkannya sebagai suatu yang boleh meresahkan, ia sendiri sepatutnya perlu menjelaskan mengapa perlu diresahkan?” tegas beliau ketika ditemui IKRAMedia baru-baru ini.

Beliau berkata, jika kerana isu ia bukan orang Islam, perlulah diketahui bahawa dalam perlembagaan negara, tidak pernah ada pelantikan itu berlandaskan agama, etnik atau kaum.

“Yang pentingnya adalah berdasarkan merit beliau dalam bidang tersebut dan sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia (kecuali kita tidak menganggap beliau itu sebagai rakyat Malaysia), mempunyai hak yang sepenuhnya sebagai warganegara. Jadi sepatutnya pelantikan itu tidak menimbulkan apa-apa jua masalah.”

Jelas beliau, jika ingin dipertikaikan daripada sudut meritnya, yang mungkin boleh dipersoalkan, itu adalah wajar.

“Namun, jika itu pun nak ditimbulkan, maka ia tidak sepatutnya menjadi satu isu yang harus diolah hingga menjadi kerisauan kepada rakyat Malaysia lainnya,” tegas beliau lagi.

Beliau berkata, sekiranya pelantikan itu tidak dipersetujui, dan kemudiannya orang yang beragama Kristian atau orang yang bukan beragama Islam mempersoalkan mengapa perkara tersebut boleh berlaku, sedangkan beliau orang yang layak, maka perkara itu sama juga dalam situasi ini.

“Begitu juga tidak ada prasyarat yangpelantikan tersebut mesti daripada penganut mana-mana agama, kaum atau etnik.”

Menurutnya lagi, isu ini sebenarnya lebih melambangkan betapa isu etnik, dan agama menjadi titik pemikiran dalam masyarakat. Asalkan lain sahaja etnik dengan mereka, akan menimbulkan kecurigaan dan dianggap sebagai lawan.

“Begitu juga orang lain dengan agamanya, akan wujud persepsi atau ada agenda lain yang akan diperkatakan,” ujarnya

Zaid berkata jika itulah kekhuatirannya, rakyat Malaysia perlu melihat kepada prestasinya.

“Kerana dalam bidang ini, ia perlu mengikuti undang-undang yang ada. Mungkin pandangan dan persepsi masing-masing itu boleh berbeza.”

Jelasnya lagi, dalam prosedur judgement kes-kes mahkamah juga, kalau ada sidang hakim, ada dua bersetuju, satu tak setuju, tiga bersetuju dan sebagainya dan itu adalah satu keadaan yang biasa.

“Sepatutnya keturunan, etnik, agama itu tidak menjadi sebagai satu sebab. Dan lagi jelas, beliau yang dilantik ini juga adalah dalam kalangan Bumiputera,” kata Zaid lagi.

Tambahnya, kalau suatu waktu dulu, jika daripada etnik lain dan bukan dalam kalangan Bumiputera, tentu ia menimbulkan suatu isu lain.

“Namun, IKRAM memahami apabila isu ini ditimbul dan dipersoalkan begitu, rakyat yang mempunyai suatu pandangan atau persepsi negatif mungkin boleh termakan dengan hujah-hujah itu,” tegasnya.

Jika masyarakat kita mempunyai sikap yang baik berdasarkan kepada hujah berasas dan jelas, tentunya ia tidak akan menjadi apa-apa masalah.

“Pada pandangan IKRAM juga, pelantikan tersebut tidaklah memberi kesan kepada agama Islam sebagaimana yang dimomokkan pihak-pihak tertentu.”

Zaid menegaskan, sekiranya pihak mahkamah mengambil keputusan tidak menyebelahi mana-mana pihak, segala-galanya perlu kepada bukti.

“Katakan dalam satu kes terdapat orang Islam dan orang Kristian. Ia ada yang tertuduh dan pihak mendakwa. Kalau mahkamah berpihak kepada satu pihak, apakah maknanya itu?”

“Takkanlah sesiapa yang kalah itu akan mengatakan, ini sebab orang Islam atau ini sebab orang Kristian? Sedangkan mereka bertindak atas dasar rasional dan profesional,” demikian contoh yang dibawakannya.

Tambahnya, ada antara isu kes-kes mahkamah yang lepas diputuskan oleh mahkamah menyebelahi orang Islam ataupun tidak, menurut undang-undang yang berkuatkuasa, undang-undang yang diluluskan parlimen dan tatacara membuat keputusan dalam konteks pengadilan.

“Jadi, jika hakim seorang Kristian yang mengadili memenangkan Islam, takkanlah nanti kaumnya mempersoalkan pula ia telah khianat kepada kaum dan agamanya? Kita harus menghormati tatacara yang telah ditentukan oleh perundangan dan mahkamah,” terang Zaid.

Dalam pada itu, ujarnya, banyak masalah atau kemelut yang timbul terhadap hakim yang beragama Islam, di bawah kerajaan sebelum ini, sebagaimana baru-baru ini terbongkar.

“Jadi sebenarnya, bukan Islam atau Muslimnya yang menjadi isu. Tetapi seorang hakim ini perlulah mempunyai pendirian yang baik dan menurut lunas undang-undang.

Jelas beliau lagi, ini bukan bermakna orang kutuk ketua hakim yang sebelum ini kerana ia Muslim, tetapi kerana ia telah tidak membuat pendirian yang betul.

“Jadi isu pelantikan ini kita perlu ambil dalam konteks yang sewajarnya,” tegasnya.

Sebelumnya, pelbagai isu timbul berikutan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa 11 Julai lalu.

Last modified on Friday, 20 July 2018

Leave a comment

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!