Print this page

PUTRAJAYA - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menyerahkan kertas kerja berbentuk cadangan dan pandangan mengenai pendidikan di Malaysia kepada Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik semalam.

Rombongan IKRAM yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Profesor Dr Haji Omar Yaakob telah berbincang dengan beliau mengenai isu-isu pendidikan negara dan mengemukakan pelbagai cadangan penyelesaian.

Antara cadangan dan pandangan yang dikemukakan ialah pelaksanaan sepenuhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendirian mengenai Bahasa Inggeris dalam pendidikan dan bantuan perkapita untuk semua sekolah bukan kerajaan.

“IKRAM juga mencadangkan usaha penambahbaikan sekolah agama rakyat dan pondok dengan syarat-syarat tertentu,” kata Dr Omar.

Tambahnya, IKRAM turut menyatakan pendirian kita mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), cadangan penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan, autonomi Universiti Awam, kajian semula silibus Sejarah dan permulaan persekolahan diselaraskan dengan IPT.

“IKRAM mengucapkan terima kasih atas kesediaan YB Menteri menerima kunjungan ini serta kesediaan beliau mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan,” ujarnya.

Delegasi IKRAM yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Puan Hajah Kamaliah Noordin, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Profesor Dr Sahrim Ahmad (IKRAM Akademia), Pengarah Eksekutif IKRAM MUSLEH, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor dan Pengerusi Unit Kokurikulum & KRS MUSLEH, Mejar KRSM Abd Rahaim Md Isa.

Kertas Cadangan (PDF): http://www.musleh.edu.my/images/IKRAM-KPM.pdf

Last modified on Tuesday, 12 June 2018
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd