wrapper

Berita Terkini

الأحد 10 صفر 1440   |   Sunday October 21 2018


KUALA LUMPUR - Seramai kira-kira 600 orang saudara baru telah diraikan dalam Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC 2018) ‘Journey to Jannah’ yang telah diadakan di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen Telekom Malaysia.

Lebih menarik, majlis ini juga turut dihadiri sebahagian ahli keluarga saudara baru pelbagai latar belakang yang belum Islam bagi meraikan dan merasai bersama suasana berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Selain itu, wakil syarikat korporat, individu penaja sumbangan dan sukarelawan Rakan Hidayah juga hadir memeriahkan majlis iftar yang dianjurkan Hidayah Centre Foundation (HCF) dengan kerjasama Badan Kakitangan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) dan Kumpulan Media Karangkraf.

Menurut Pengerusi HCF, Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah, majlis yang lebih 1,000 hadirin ini diadakan bagi meraikan individu yang baru memeluk Islam, khususnya mereka yang pertama kali menjalani ibadat puasa.

"Majlis ini diadakan untuk menyatakan saudara baru tidak keseorangan dalam menjalani proses perubahan dalam hidup mereka.”

"Ini juga adalah sebahagian daripada program dakwah bagi ahli keluarga mereka yang belum memeluk Islam, dengan menunjukkan keindahan Islam yang tidak memutuskan hubungan kekeluargaan walaupun berbeza agama.”

"Sebagai organisasi yang mahu melihat negara harmoni, kami mengalu-alukan mereka yang bukan Islam untuk melihat sendiri bagaimana kita raikan saudara baru dan bagaimana kita mengamalkan syiar Islam, seperti ibadat puasa ini," jelas beliau.

Pihaknya turut membuka ruang kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti korporat dan agensi kerajaan untuk menjalinkan kerjasama dalam menjayakan penganjuran majlis seperti ini.

Majlis iftar tahunan ini juga telah diadakan dibeberapa buah negeri antaranya Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu.

Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Ustaz Hanifuddin Roslan. Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang majlis tersebut dijalankan antaranya bacaan tafsir ayat al-Quran empat bahasa, forum, jamuan iftar, solat tarawih berjemaah, persembahan kumpulan nasyid Far East dan pemberian duit raya kepada saudara baru.

Forum yang dikendalikan oleh Tuan Fakharuddin yang berkisar mengenai pesanan Lukman al-Hakim telah dikupas dengan baik ahli panel yang berpengalaman yang terdiri daripada Ustaz Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah dan saudara baru, Muerell Everel Robert.

Dalam majlis ini juga, turut disampaikan Anugerah Saudara Baru Harapan kepada Muhammad Irfan Abdullah, 25, dan Anugerah Saudara Baru Teladan kepada Ainul Mardhiah Palau, 29.

Seusai anugerah ini disampaikan, telah diadakan pula majlis syahadah secara tertutup salah seorang tetamu majlis berbuka puasa ini yang turut dihadiri oleh ahli keluarganya yang belum Islam.

Semoga majlis seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada tahun-tahun mendatang dengan mendapat kerjasama lebih banyak pihak yang ingin turut bersama-sama menjayakan usaha murni ini, insya-Allah.

Last modified on Tuesday, 05 June 2018

Leave a comment

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!