wrapper

Berita Terkini

الجمعة 21 شعبان 1440   |   Friday 26 April 2019
Thursday, 15 October 2015 08:00

Ikon wanita serba boleh

Rate this item
(1 Vote)

WAJAH yang polos tapi menyejukkan mata memandang dengan senyumannya. Lontaran kata-katanya yang sentiasa berhikmah dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar.

Pemilik nama Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj atau lebih mesra dengan panggilan Dr Har, 49, juga menjadi sebutan ramai apabila pandangan dan pendapat beliau dalam isu berkaitan perkembangan kendiri & profesional (PPD); perancangan keluarga dan kontrasepsi; dan kesihatan reproduksi dan seksual remaja & wanita sentiasa menjadi perhatian umum. 

Beliau yang berasal dari Sungai Besar, Selangor ini merupakan tenaga pengajar di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pakar perunding Obstetriks & Ginekologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Di sebalik kesibukan berkerjaya, wanita berjiwa kental ini turut bergiat aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) aliran Islam. Sifat kepimpinan dan kebijaksanaan beliau diperakui apabila dipilih sebagai Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) pada 1999-2009, Naib Presiden JIM (2009-2012), Naib Ketua Wanita dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) (2010-2014) dan kini sebagai Ahli Dewan Perwakilan Nasional Ikram (2014-2018).

Anak keenam daripada lapan adik-beradik ini melihat segala pencapaian hari ini adalah berkat doa kedua orang tuanya, Siraj @ Ramli dan emak, Siti Ramlah Anuar, yang sentiasa mengiringi semenjak di dalam kandungan lagi.

"Di tingkatan satu di Sekolah Menengah (SM) Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur, saya satu-satunya pelajar bertudung dalam kelas. Ada rakan menyangka saya menutup kepala kerana botak.

“Tapi kakak memujuk saya: "Kalau sayang ayah, teruskan bertudung. Jadikan diri sebagai contoh kepada orang lain". Ayah saya kadi. Oleh itu saya perlu jaga nama baik ayah selain mematuhi perintah ALLAH untuk menutup aurat.

"Saya juga suka berkongsi ilmu dengan rakan dan mengajar mereka waktu prep,” ujar penulis blog drhar.blogspot.my dan Facebook Friends of Dr Harlina Halizah Siraj.

Cenderung agama

Titik tolak perubahan hidup Dr Har apabila melalui fasa refleksi diri di tingkatan tiga. Beliau sering meneliti persoalan siapa dirinya, apa tujuan hidup, dan apa pengakhirannya nanti.
"Disebabkan perasaan ingin tahu yang tinggi, saya bermuhasabah diri. Saya menjadi semakin matang dan mementingkan mutu kerja dalam setiap apa yang dilakukan.

"Dalam pada itu, saya juga dilantik sebagai Pengawas Disiplin, Presiden Persatuan Pelajar Islam dan Ketua Pendebat di tingkatan empat," kata kolumnis di beberapa majalah agama ini.

Sekalipun Dr Har berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara, namun beliau menolak kerana tawaran biasiswa bukan dalam bidang perubatan. Jadi beliau memilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk belajar di peringkat Ijazah Doktor Perubatan UKM (1991).

Beliau kemudian mengambil Sarjana Kepakaran O&G, UKM (1997) dan pernah menjalani kursus pendek di Harvard Macy Institute, Harvard Medical School, Boston (2011). Kini beliau menjalani kursus Diploma Siswazah dalam Pendidikan Klinikal di University of Melbourne, Australia.

“Masa kecil terfikir, jika tak dapat jadi doktor, mahu jadi cikgu. Alhamdulillah saya dapat mencapai cita-cita kedua-duanya. Saya pilih bidang sakit puan kerana ingin membantu golongan wanita. Apabila kita merancang untuk mencapai sesuatu, perlu berusaha ke arah itu.

Selepas tamat pengajian, Dr Har mendirikan rumah tangga dengan teman sekampus, Zulkifli Ahmad yang mengambil bidang Pengajian Islam - Al Quran & Hadis. Pasangan ini dikurniakan anak, Syifa’ Hana Zulkifli, 22; Ahmad Sofwan Hanif Zulkifli (meninggal dunia di usia 4 bulan); Muhammad Anwar Syamil Zulkifli, 18; dan Deena Sofiyya Zulkifli, 13.

Kongsi inspirasi

Dr Har menyarankan mahasiswa untuk memberikan fokus kepada sesuatu perkara dan berikan perhatian agar boleh menjadi kenyataan; tentukan keutamaan yang jelas dalam hidup; perlu ada keyakinan diri; berakhlak mulia; mempunyai kemahiran interpersonal; dan membawa manfaat kepada manusia lain.

“Sewaktu melibatkan diri dalam JIM, saya banyak terdedah dengan isu wanita. Saya kena banyak membaca untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

“Dalam bidang kedoktoran, saya perlu berusaha untuk mendapatkan ilmu di tahap tinggi, kemudian diterjemahkan dalam penyampaian mudah untuk difahami oleh masyarakat umum,” ujar mantan Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Antara jawatan disandang Dr Har dalam NGO seperti Presiden Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (2009-2012); Ahli Jawatankuasa Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam JAKIM (2012-2014); Ahli Majlis Panel Dakwah Majlis Perundingan Islam, JAKIM (2008-2012); Ahli Jemaah Pemikir Majlis Perunding Wanita Islam (2004-2009); Ahli Majlis Daerah Sabak Bernam (2008- 2009); Pengerusi Lembaga Pengarah Induk Puteri Raudhatus Sakinah (1998-2012) dan Exco Persatuan Perubatan Islam Malaysia (1999-2001).


PENCAPAIAN PROF MADYA DR HARLINA HALIZAH SIRAJ

- 2015 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UKM 2014
- 2014 Sijil Siswazah dalam Pengajaran Klinikal, University of Melbourne
- 2011 Anugerah Siti Khadijah sempena Maulidur Rasul 1432H Negeri Selangor; Anugerah Pengajar Cemerlang PPUKM 2010; Anugerah Khidmat Masyarakat PPUKM 2010
- 2010 Anugerah Pengajar Cemerlang UKM (Perubatan) - sesi 2009
- 2009 Calon Anugerah Great Women of Our Times - Malaysian Women’s Weekly
- 2008 Anugerah Melayu Cemerlang Umno 2008 - Kategori NGO
- 2007 Anugerah Khas Kualiti UKM, Kategori Khidmat Masyarakat, 2007 (kategori Prof Madya/Prof)
- 2004 Anugerah Khas Kualiti UKM, Kategori Khidmat Masyarakat.
- 2001 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UKM tahun 2000
- 2000 Honorary Young Gynaecologists Fellowship, Federation of International Obstetricians & Gynecologists (FIGO)
- 1991 Anugerah Graduan Cemerlang, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM)
- 1986 - 1991 Biasiswa Pelajar Cemerlang Perubatan UKM (tahun 1-5)
- 1983 Pegawai Pelajar Terbaik SPM, Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur
- 1978 Pelajar Terbaik Keseluruhan Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Utama, Sungai Besar, Selangor

Sumber: Sinar Harian
Tarikh: 14 Oktober 2015

Link: http://www.sinarharian.com.my/kampus/ikon-wanita-serba-boleh-1.440206

Read 1940 times Last modified on Thursday, 15 October 2015 13:56

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!